Assalam
Saya tersenyum membaca sebuah ungkapan seorang professor dunia Barat yang mengatakan bahawa kebanyakan kita memang suka minum kopi, tapi bila dihidang dalam pelbagai jenis cawan, rata-rata akan memilih cawan yang cantik dan mahal dan cawan murah akan diketepikan, padahal semua cawan menghidangkan kopi yang sama. Begitulah kita manusia, kan? Kita selalu tertipu dengan apa yang ada di luar sana. Kerap kali kita tercebak dengan pilihan yang salah kerana mata kita dikaburi dengan luarannya.
Jadi... bila kita memilih, pastikan kita pilih betul-betul kerana bila kita buat salah pilihan, mungkin nasib tidak akan menyebelahi kita lagi. Nauzubillah min zalik. Kata seorang pujangga orang putih, "Life is between B and D. B is for birth and D is for Death. In between B and D is C. C is the Choice that a person has to make." Kalau kita buat pilihan yang tak tepat, takkan kita nak salahkan nasib, kan?
Sungguh Allah swt yang menentukan nasib kita, tetapi kita yang membuat pilihannya kerana Allah swt memberi kita akal untuk berfikir. Jadi... fikirlah baik-baik dan jangan tersalah pilih bila kita mahu memilih. Kadang-kadang, kerana terlalu memilih, kita sekadar dapat yang serpih, yang baik-baik sudah diambil orang lain!
Dalam begitu, jangan pula kita menyombong diri kerana merasakan bahawa diri punyai lebih daripada orang lain, mungkin pasangan kita sendiri, kerana hebat mana sekalipun, semuanya adalah pinjaman belaka. Pun begitu, jangan pula kita jadi manusia yang suka ambil kesempatan lalu menjadi penyebab untuk menyesatkan orang lain dalam membuat pilihan. Apa-apa pun, tanyalah pada diri sendiri, "Aku nak apa dalam hidup ini? Nak hidup di dunia tanpa pedulikan akhirat?"
Itulah pilihan yang kita kena selalu buat, jangan sampai kerugian dunia dan akhirat. Salah pilih, kita terlepas kebahagiaan. Kadang-kadang bila kita salah pilih, kita akan menjeratkan diri lalu terjerumus dalam kancah maksiat! Betapa ruginya kita. Nauzubillah min zalik. Namun kalau kita mahukan kebahagiaan, pilihlah untuk bahagia dunia akhirat.
Semoga Allah swt melindungi kita dunia akhirat, aamin ya Rabbal alamin.
Wassalam.