Assalam
Saja saya nak sentuh sesuatu yang agak sensitif dalam dunia fesyen hari ini. Buat suatu ketika dahulu, bertudung menjadi satu fenomena fesyen. Ramai yang pakai tudung kerana selesa memakainya untuk tidak dipandang serong dalam masyarakat. Akibat perbuatan itu, ramai yang memakai tudung bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana mulut manusia dan kesannya pula, masing-masing tidak menghormati imej yang ingin ditonjolkan. Sebab itulah, ada yang beria-ia bertudung, tetapi sanggup melakukan maksiat, tak kira di depan orang lain atau di belakang! Astaghfirullah...
Namun hari ini, berniqab atau sesetengah orang panggil 'purdah' dan yang mulut nakal pula panggil 'ninja' sudah dijadikan fesyen sesetengah orang muda (mungkin tua pun ada). Berniqab (tutup muka hanya melihatkan mata) menjadi trend sesetengah orang, hinggakan ada yang sanggup beria-ia pakai niqab menutup muka, tetapi pakaian yang dipakai pula agak kelihatan melampau seksi. Beria-ia tutup muka hanya tinggal sepasang mata, tapi pakai baju yang ketat sendat, ada yang yang memakai warna terang dan lembut, bermaterial jersi, atau satin atau kain jarang, hinggakan nampak bayang seluar dalam (disengajakan). Bagi saya, perbuatan seperti ini tentunya merosakkan imej 'Islam'. Buat apalah kita nak mempersendakan pakaian yang sepatutnya menaikkan imej Islam, tetapi dengan sengaja dibuat mainan sekadar berfesyen, hinggakan kita tergamak untuk rosakkan imej Islam?!
Ketika saya di Timur Tengah, termasuk di negara Yemen, sememangnya 'berniqab' merupakan budaya pakaian orang perempuan di sana. Namun, mereka pastikan bila berniqab, tiada aurat (termasuk pakaian ketat sendat) ditonjolkan oleh si pemakai.
Tidakkah kita berasa malu pada Tuhan kerana dengan sengaja mahu memberi imej yang tidak elok pada masyarakat tentang pakaian yang kita pakai lalu menwujudkan fitnah di dalam masyarakat? Tidakkah kita berasa segan dan bersalah kerana mahu berfesyen dengan sesuatu yang boleh memalukan agama kita sendiri? Mungkin jauh lagi baik, kalau kita tidak bertudung dan tak tutup muka, tetapi kita juga tidak menjatuhkan maruah dan imej kita sebagai orang Islam!
Berniqab - Sekadar Hiasan
.jpg)
