Assalam.
Hari ini lambat update blog. Pagi tadi saya kesibukan mengemas dapur. Adoii... saya memang tak suka kerja mengemas ni... tapi tak ada pilihan kot, kena buat juga sebab tak ada yang membantu. Insyaa-Allah saya akan cuba dapatkan pembantu 'part-time', sebab saya rimas kalau ada orang luar duduk serumah dengan kami.
Kebetulan hari ini hujan sepanjang pagi, syukur alhamdulillah. Segarlah pokok-pokok saya. Tak payah saya sibuk-sibuk siram. Siram yang tak kena hujan sahaja.
Okeylah, petang ni sambil relaks-relaks saya nak bersembang-sembang tentang kehidupan kita. Biasalah tu kan... kita semua ambil berat tentang kehidupan selagi nyawa masih di badan. Kalau tak ambil berat tentang dunia, akhirat pun mungkin hanyut. Sebab semua perbuatan yang baik di dunia inilah yang mampu membawa kita ke syurga bila akhirat nanti.
Saya mempunyai seorang kawan perempuan yang sangat ambil berat tentang persediaan akhirat. Suatu ketika dahulu, beliau pernah memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat ternama. Namun malang tak berbau, kawan saya ditimpa kemalangan. Sebaik sahaja keluar hospital, dia ditimpa satu lagi kemalangan. Kami semua sangka ketika itu yang mungkin umurnya tak akan panjang. Tetapi alhamdulillah, Allah beri dia peluang. Kawan saya sihat seperti sedia kala setelah berada di hospital bertahun-tahun lamanya. Sebaik sahaja pulih, kawan saya tak minat nak kerja lagi. Hari ini dia banyak ke luar negara untuk menimba ilmu agama. Ke Mesir, ke India, ke Bandung... dalam pada itu, dia rajin melawat rakan-rakan walaupun berada jauh di luar negara. Bila tahu dia ada di Malaysia, saya rajin ajak berjumpa. Seronok berbual dengannya. Dia buat kita rasa tenang dan seronok. Paling best, dia hanya bercakap benda yang baik-baik sahaja tentang orang lain. Dia juga tidak pernah bercakap besar atau memandang rendah pada sesiapa. Kami semua senang berada dengannya. Kawan-kawan suka melayannya walaupun rakan saya ini tak pernah berkahwin seumur hidupnya. Namun dia sentiasa bersyukur.
Semoga semangat kawan saya ini dapat menjadikan contoh yang baik buat kita semua dalam mengejar dunia dan akhirat. Aamiin.
Wassalam.