Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 04, 2011

Apa Ada Dalam 'H.A.H.'


Salam

Ramai yang ingin tahu apa ada dalam Hingga Akhir Hayat atau HAH. Okeylah, saya akan ceritakan sikit-sikit supaya anda tidaklah tertanya-tanya sangat... hehe.

Sebenarnya ada tiga bahagian atau tiga segmen yang saya bincangkan dalam HAH ini. Yang pertama ialah 'Pra-Perkahwinan', isu-isu penting yang anda perlu tahu semasa ingin mencari dan memilih calon.

Orang putih kata, "Marriage is a gamble", perkahwinan itu adalah satu perjudian dan ramai yang percaya macam itu. Tapi bagi saya, kita harus fikirkan positif tentang hal satu ini dan sebagai sebahagian dari ibadah kita, seharusnya kita ambil berat dan berniat untuk kekal berkahwin sehingga akhir hayat. Sebab itulah bila kita doakan perkahwinan teman-teman yang baru mendirikan rumah tangga, kita minta agar mereka kekal hingga akhir hayat, tidak hanya sampai ke anak cucu sahaja.

Biasalah, kadang-kadang kita terdengar tentang perkahwinan yang gagal bila usia pasangan sudah meningkat. Kerana itulah kita harus beri perhatian tentang perhubungan kita suami isteri tak kira masa dan umur. Selagi ada hayat, selagi itulah kita perlu ambil berat.

Dalam hal 'pra perkahwinan', kita kena tahu kenapa kita mahu berkahwin atau perlu berkahwin. Jangan pula kita berkahwin kerana kita tengok orang lain sibuk mencari pasangan untuk berkahwin, jadi kita pun sibuk sama. Tak mahu ketinggalan. Memang betul kita perlu usahakan agar kita bertemu dengan pasangan yang boleh dijadikan jodoh kita. Tetapi jangan pula kita lakukannya kerana kita terdesak!

Apa pun, kita perlu ingat bahawa 'perhubungan seksual' antara lelaki dan perempuan hanya boleh berlaku secara halal. Kerana itulah kita semua digalakkan untuk berkahwin agar generasi akan datang merupakan umat-umat yang dihasilkan secara halal.

Kisah 'berkahwin' bukan merupakan sesuatu yang mudah dan boleh diambil ringan. Namun demikian, kita tak perlulah merumitkan apa-apa yang mudah dan senang. Ada ketika, kita tak perlu perbesarkan apa-apa yang kecil. Tak perlu susahkan apa-apa yang senang. Misalnya dalam hal hantaran dan majlis perkahwinan. Hal ibu bapa, hal kaum kerabat termasuk kaum kerabat pasangan. Isu cinta. Isu kekeliruan. Kisah-kisah mitos dalam perkahwinan. Isu-isu tabiat dan perangai. Semua ini saya bincangkan dalam segmen 'pra perkahwinan', agar pembaca mendapat tip dan idea tentang pelbagai isu dan konflik yang perlukan penyelesaiannya. Segmen ini juga mengisahkan 'persediaan' yang perlu anda lakukan bila mahu berkahwin.

Segmen pertama inilah yang sedang berada di Appstore atau apa yang kita panggil Apple Application Store... dan apa yang disajikan adalah dalam bentuk interaktif. Saya percaya kemungkinan besar ini adalah antara karya awal (ebook) dalam bahasa Melayu yang dihasilkan secara interaktif. Kalau anda ingin tahu, cubalah beli dan guna melalui iPod atau iPad anda. Cari Aina Emir: Hingga Akahir hayat. Anda juga boleh masuk website KarnaDya, www.karnadya.com.my untuk melihatnya. Buat masa ini, ada promosi istimewa yang ditawarkan. Malah, macam-macam ada yang boleh membantu anda untuk kekal bahagia sehingga akhir hayat. Insya-Allah.