Assalam
Alhamdulillah hari ini masuk hari keenam kita berpuasa. Semoga Allah swt terima ibadah kita ini. Semoga kita sama-sama berusaha untuk tingkatkan amalan kita di bulan yang mulia ini, insyaa-Allah.
Alhamdulillah juga tahun ini saya telah menjadi tukang masak di rumah. Biasanya ibu saya yang lebih memasak di rumah kami, tetapi tahun ini untuk bulan Ramadhan, saya pilih untuk memasak pula. Bukannya apa, tetapi mahu ibu saya lebih berehat. Walaupun ibu saya masih tegap lagi, tetapi kadang-kadang mungkin imaginasi untuk memasak makanan yang berbeza-beza agak merumitkannya. Kebetulan, saya kurang sibuk, jadi saya pilih untuk memasak pula, apatah lagi anak-anak mempunyai pelbagai cita rasa yang ibu saya tak mudah untuk melayan. Mujurlah suami saya jenis yang tak cerewet, apa sahaja yang kita siapkan, dia mesti senang, alhamdulillah. Saya tahu apa yang suami saya suka makan, jadi memang tiada masalah, alhamdulillah. Saya juga 'enjoy' siapkan pemanis mulut, ada macam-macam resepi yang saya keluarkan... haha... macam lah terer sangat! Apa-apa pun, memang saya seronok untuk masak. Di rumah saya, ketika buka puasa, memang ramai yang ada. Anak-anak dan menantu-menantu, dan juga cucu-cucu. Hujung minggu pula, pasti akan ada tetamu yang berbuka sekali, insyaa-Allah.
Sejak beberapa tahun yang lalu, saya memang tak suka berbuka di luar. Bagi saya, jauh lagi selesa berbuka di rumah sahaja. Banyak yang boleh dilakukan bila berada di rumah. Saya juga tak suka ke pasar Ramadhan kerana tak mahu membazir. Biasanya makanan yang dibeli di pasar Ramadhan tidak memuaskan rasa di tekak, jadi kalau beli juga, pasti akan ada pembaziran. Apa tah lagi bila melihat pelbagai makanan yang dijual, pasti akan membeli lebih daripada keperluan. Wallahuaklam. Jadi masak di rumah 'is the best'!
Dalam kesibukan memasak, saya juga curi-curi untuk menulis. Ada skrip yang perlu saya uruskan dan saya pun sedang duduk fikirkan tentang novel akan datang yang saya akan mula menulis. Maklumlah, seorang penulis tak akan mudah untuk lupakan tugasnya, alhamdulillah.
Semoga kita teruskan aktiviti baik-baik untuk hari-hari yang mendatang ini. Elakkan diri daripada melakukan kerja-kerja buruk yang akan rosakkan akhlak dan iman. Sebagai orang Islam, biarlah kita jadi orang Islam yang baik budi pekertinya. Buat apa pun, ingat pada Allah swt, jangan jadikan iblis teman baik kita. Nauzubillah.
Wassalam.
Pelbagai jenis pudding untuk berbuka puasa.
.jpg)

.jpg)