Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, December 31, 2013

Ada Beza Ke 2013 dan 2014?

Assalam

Sesungguhnya kita semua berada dalam kerugian kecuali sekiranya kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Allah SWT telah mengingatkan kita agar jangan membuang masa. Pun begitu, pastikan masa itu digunakan untuk kebaikan dunia akhirat, bukan sekadar untuk dunia sahaja.

Masa berjalan dengan pantas, dari saat ke saat, minit ke minit, hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Mengikut kalendar yang kita gunakan, esok akan berubah tahun. Mungkin tak ada bezanya tahun depan dengan tahun ini, kerana masa tetap berjalan seperti biasa, cuma kita sahaja mungkin akan terasa perbezaannya kerana setiap kali masa berubah, hidup kita pasti akan turut berubah juga. Tidak pernah statik.

Semoga kita jadilah insan yang sentiasa bertakwa, sentiasa mengingati Allah SWT, semoga kita menghargai masa, menghargai semua yang ada di sekeliling kita, menghargai waktu anugerah Ilahi dan kesempatan untuk berada di bumi ini. Semoga kita menjadi manusia yang tidak leka, tidak tamak holaba, tidak jahil dan zalim, tidak bakhil, tidak hanya fikirkan diri sendiri, tidak menjadi manusia yang suka mengambil kesempatan pada orang lain untuk kepentingan diri. Apa jua yang kita lakukan, kita wajib ingat bahawa Tuhan sentiasa melihat bukan sekadar perbuatan kita tetapi hati dan jiwa kita.

Semoga tahun 2014 menjadi tahun yang jauh lebih baik buat kita semua. Amin.


Monday, December 30, 2013

Kuat Buat Hutang

Assalam

Sudah berkali-kali saya ceritakan hal ini dalam blog saya. Sebenarnya, ini merupakan satu tabiat buruk yang boleh hinggap pada manusia. Memang biasalah kalau kita berhutang, kerana kadang-kadang kita terpaksa berhutang untuk beli aset. Kadang-kadang juga kita berhutang kerana bisnes. Semestinya kita faham hal ini. Tapi apa yang kita takut bila manusia kuat berhutang kerana hal personal. Maknanya sanggup berhutang untuk tingkatkan imej di mata masyarakat. Nak kahwin, awal-awal dah buat hutang. Lepas tu apa kawan ada, kita pun nak ada sama. Orang ada gadjet canggih, kita pun ikut sekali. Jiran ada TV besar, kita pun mesti ada juga. Ada tu pulak, memang tabiatnya suka berhutang. Beli benda murah pun mesti berhutang. Beli baju berhutang, beli kain berhutang, beli tas tangan pun nak berhutang, apatah lagi beli barang kemas. Kad kredit sangat aktif. Subhanallah.

Ada itu pula, berhutang kerana suka main judi. Maknanya ada dua 'tahi' yang dia ada. Suka main judi dan bila tak berduit, pergi pinjam. Maka terjadilah 'hutang'. Bila tak boleh bayar hutang, mulalah cari jalan untuk menipu. Begitu juga orang berhutang kerana nak beli dadah. Bila tak dapat dadah, hatinya bergelora dan kerana itu, terpaksalah cari jalan untuk dapatkan duit. Mula meminjam sana sini. Lepas tu pening kepala bila tak dapat bayar hutang. Mulalah mencuri sana sini, meragut sana sini. Kebanyakan tabiat buruk ini, dipunyai lelaki. Dalam novel saya, "PUKUL 3.00 PAGI" itulah antara kisahnya, tentang lelaki yang kaki hutang kerana suka berjudi, akhirnya sanggup mengguna isteri untuk dapatkan wang yang cukup!

Tapi kita jangan ingat bahawa lelaki sahaja yang suka buat hutang. Ramai juga perempuan yang macam ini. Mereka buat hutang kebanyakannya untuk hal-hal personal. Mungkin untuk persiapan diri, atau juga barang-barang rumah, mungkin juga untuk ahli keluarganya. Tapi... memang jenis suka buat hutang! Pada hal gaji dah ada, tapi pengurusan diri sangat lemah. Dia mahu hidup lebih daripada kemampuan. Apa agaknya akan terjadi nanti? Mestilah pening kepala kerana setiap bulan bila dapat gaji banyak yang terpaksa diketepikan untuk bayar hutang. Akhirnya juga, gaji jadi tak cukup. Mulalah menggelabah. Bila dah jadi macam tu, mulalah cari jalan untuk perolehi duit.

Sebab itulah ada juga perempuan yang sanggup cari mangsa untuk tolong bayarkan hutang mereka!

Biasanya kalau anda masih muda, mungkin tak adalah teruk sangat, tapi kaki hutang ni biasanya juga bermula dari usia muda. Bila dah berumur nanti, tabiat itu tak mahu pergi-pergi. Ada tu pula bertambah menjadi. Saya tahu juga tentang kisah di mana kaum wanita yang kaki hutang ni sanggup cari mangsa tak kira siapa, janji dapat menaja untuk bayar hutangnya! Ada yang cuba cari lelaki bujang, ada yang cari duda, kalau tak dapat juga, ada yang sanggup cari suami orang! Janji... dapat bayar hutang!

Jadi... anda di luar sana, berjaga-jagalah, bukan sekadar jangan jadi mangsa si tukang hutang, jangan juga jadi manusia yang suka buat hutang! Bahaya tu. Kalau kita berada dalam keadaan yang terdesak, kita akan buat apa sahaja, sekalipun terpaksa jual maruah. Wallahuaklam.

Wassalam.


Sunday, December 29, 2013

Yang Istimewa

Assalam,

Sudah tengah malam dan saya saja seronok update blog ini. Kebetulan saya baru pulang dari makan malam bersama sang suami yang baik hati yang sudi meraikan hari jadi saya di Restaurant Thirty8, Grand Hyatt. Memang bestlah... makan secara 'fine dine' dan berlatarkan twin towers atau KLCC.

Pada siangnya, kami sekeluarga meraikan hari lahir saya di rumah. Suami saya dan anak bongsu menyediakan makan tengah hari secara western. Kami makan lamb chop dan pelbagai masakan yang enak-enak belaka. Anak saudara saya dan keluarganya juga hadir sekali. Alhamdulillah. Bagi saya ini adalah nikmat dan anugerah Ilahi, memberi umur dan kesihatan serta rezeki. Yang penting ialah keamanan di jiwa, semoga akan terus kekal hingga akhir hayat dan ke jannah, amin.

Terima kasih buat semua pembaca saya yang saya sayang, yang mengucapkan hari lahir buat saya sejak malam semalam lagi. Terima kasih kepada semua ahli keluarga dan anak-anak yang tak melupakan diri ini. Terima kasih kepada sang suami kerana bermurah hati menghadiahkan sesuatu yang teramat istimewa. Semoga Allah SWT merahmati kami dunia dan akhirat, semoga Allah SWT melindungi kita semua. Amin.

Wassalam.










Saturday, December 28, 2013

Happy Birthday To Me...

Assalam

Hari ini adalah hari lahir saya. Ya... saya dilahirkan hampir di hujung tahun dan saya sangat suka dengan tarikh ini. Syukur alhamdulillah, Allah berikan nikmat untuk dilahirkan dan menjadi seorang insan yang beragama Islam. Thank you, Allah.

Peluang yang Allah berikan ini saya sentiasa hargai dan sentiasa berdoa agar Tuhan akan merahmati hidup dan akhirat saya, amin. Bagi saya, tiada harga dan tiada harta yang dapat tanding dengan rahmat Allah SWT. Sekalipun harta dan wang ringgit kita setinggi gunung, kalau Allah tidak berikan keamanan dan keimanan, tiada harga apa-apa buat diri ini. Alhamdulillah ya Tuhan... di atas segala kurniaan-Mu buat hamba-Mu ini.

Hari ini saya sudah ada perancangan. Sebenarnya bukan saya yang rancang tetapi mereka yang menyayangi saya yang merancang. Saya bukannya budak-budak untuk beria-ia, tetapi ada ketika bila ada yang seronok untuk meraikannya, saya hanya mampu untuk bersyukur sahaja.

Di pagi hari ini, ada beberapa lagu istimewa yang menjadi hiburan buat saya dan di antaranya ialah  "Can't Take My Eyes Off You." Lirik lagunya:

You're just too good to be true. 
Can't take my eyes off you. 
You'd be like heaven to touch. 
I wanna hold you so much. 
At long last love has arrived. 
And I thank God I'm alive. 
You're just too good to be true. 
Can't take my eyes off you. 
Pardon the way that I stare. 
There's nothing else to compare. 
The sight of you leaves me weak. 
There are no words left to speak. 
But if you feel like I feel. 
Please let me know that it's real. 
You're just too good to be true. 
Can't take my eyes off you. 
I need you baby, and if it's quite all right, 
I need you baby to warm a lonely night. 
I love you baby. trust in me when I say ok: 
Oh pretty baby, don't let me down I pray. 
Oh pretty baby, now that I found you, stay. 
And let me love you...


PS: Lagu kat atas ni adalah lagu cinta kesukaan buah hati saya.

Friday, December 27, 2013

Sayang... Apa Khabar Mu?

Assalam

Memang seronok berjumpa dengan teman-teman lama. Bertambah seronok mendengar cerita kawan-kawan. Maklumlah, dah lama saya tak jumpa mereka. Suatu ketika dahulu, kami memang selalu minum bersama-sama, ada yang pergi kerja bersama saya, bincang tentang kerja dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, kawan-kawan saya di UKM semuanya sihat. Sempatlah saya makan tengah hari di UKM, walaupun saya pilih untuk makan sedikit sahaja kerana saya juga mempunyai janji dengan pembaca saya.

Kemudianya, saya telah ke kawasan Seremban untuk lepak dengan pembaca saya yang sangat baik hati. Syukur alhamdulillah, saya mempunyai pembaca-pembaca yang budiman dan menjadi rapat dengan saya. Dah rasa macam adik-beradik pulak. Tapi memang seronoklah. Kalau di UKM Bangi saya ke kelab golf untuk makan tengah hari, di Seremban kami ke Restaurant Arab.

Terima kasih, sayang.... kerana baik hati untuk belanja saya makan.

Hari ini pula, saya juga bercadang untuk berjumpa kawan baik saya, mungkin di sebelah petang kot. Bukannya apa, kadang-kadang waktu-waktu begini, saya berasa senang untuk bertemu kawan-kawan. Tiap-tiap tahun bila hampir untuk saya meraikan hari lahir saya, saya cuba berjumpa kawan-kawan. Esok ialah hari lahir saya, tentunya sudah ada perancangan yang disediakan. Esok juga, seorang lagi teman baik saya pulang dari mengerjakan ibadah umrah. Adoii... mungkin saya akan kesibukan kot.

Apa-apa pun, saya doakan kebaikan untuk anda semua, saya doakan yang baik-baik juga untuk saya dan keluarga, teman-teman yang saya sayang, kepada anda yang ke mari dengan niat yang suci murni, semoga kita diberkati Allah SWT dan dilindungi dunia dan akhirat. Kebahagiaan yang kita cari bukan untuk diri kita sahaja tetapi untuk semua yang kita sayang.

Wassalam.

    Sharifah Niloufar - Kesayangan Kami

Thursday, December 26, 2013

Maruah Yang Tak Terletak Harganya

Assalam

Sekejap lagi saya akan ke kampus UKM Bangi, nak lepak dengan kawan-kawan. Lepas tu, mungkin nak berjumpa dengan seorang pembaca saya, kebetulan dia bercuti hari ini dan dah lama kami berjanji nak lepak sama-sama. In syaa Allah.

Apa-apa pun, mungkin elok juga saya bangkitkan hal ini, satu isu yang penting buat kaum wanita, tak kiralah anda anak dara, janda, balu, muda atau tua, cantik atau tidak. Di mana-mana sahaja anda berada, kita perlu ingat bahawa sebagai kaum wanita kita wajib jaga maruah kita kerana nilai yang tinggi terletak pada maruah kita, tidak pada pangkat, tidak pada glamor, tidak pada kecantikan kita. Harga diri kita ialah pada maruah kita. Kalau kita jaga maruah, kita sendiri akan rasa bangga, tapi kalau kita tak jaga maruah, sekalipun orang lain tak tahu, kita akan tetap berasa malu teramat sangat.

Maruah kita ada bila kita peliharanya. Maruah kita ada bila kita tidak meletakkan harga padanya. Kita tidak menjual maruah kita, kita tidak memberi secara percuma pada siapa-siapa, kita tidak memalukan diri kita, kita tidak biarkan orang lain ambil kesempatan pada kita. Yang paling penting, janganlah kita yang melelong diri kita dengan apa jua caranya. Janganlah kerana duit, kita jatuhkan maruah kita. Nauzubillah min zalik. Semoga Allah SWT menolong kita kaum wanita untuk menjaga maruah kita. Amin.


Tuesday, December 24, 2013

Kesalan Yang Membeban

Assalam

Dalam mood untuk relaks ni, saya juga nak ambil kesempatan untuk bercerita pada pembaca semua, agar apa yang saya sampaikan ini menjadi pengajaran buat kita semua. Sebagai manusia, kita selalu buat kesilapan dan kesalahan, tetapi kalau kita juga rajin beringat, mungkin kita tak terus terjerumus dalam hidup yang penuh dengan kesesalan.

Pernah tak kita buat sesuatu yang sebelum ini kita tak pernah rasa mahu lakukannya? Tiba-tiba, entah macam mana kita tercebak dalam suatu insiden atau keadaan yang kita tak sedar dah kita lakukan? Macam kisah orang yang mengambil dadah. Pada hal dia tak tahu pun merokok, dan dibesarkan dengan pegetahuan bahawa dadah itu sangat berbahaya. Tetapi satu hari, tanpa sedar tahu-tahu dia sudah pun mengambil dadah. Kemungkinan besar kerana ada yang mengajak. Mungkin ada yang suruh dia mencuba. Mungkin juga dia tidak mahu ketinggalan, bila melihat ada teman-teman yang buat, dia pun terasa mahu buat. Malangnya keseronokan itu tak bertahan. Tahu-tahu dia menyesal teramat sangat. Apatah lagi bila orang lain tahu atau dirinya tertangkap. Hanya Tuhan yang tahu betapa dirinya menyesal. Dia mahu kembali seperti dulu dan tentu sekali proses untuk mencuci dirinya bukan sesuatu yang mudah! Tapi alhamdulillah kalau dia sedar yang dia sudah mengambil langkah yang salah dan kini ingin kembali ke pangkal jalan.

Kadang-kadang, bila kita ada sesuatu yang berharga dan cantik dan bila terlalu lama menyimpannya, satu hari kita mungkin terasa mahu mengubah keadaan dan kerana itu kita pun pergilah mencari yang lain, konon-konon mungkin dapat mengubah rasa yang ada pada diri. Malangnya, bila kita cuba yang lain ini, kita dapati bahawa kualitinya tak serupa apa yang kita dah ada tu. Kita pun rasa menyesal dan kerana itulah kita mula kembali kepada apa yang kita ada. Yang lain tadi itu, kita terpaksa tolak ke tepi kerana kita rasa terbeban menyimpan sesuatu yang tak ada kualiti!

Hati dan jiwa yang kesal boleh menjadi sesuatu yang sangat membebankan. Kita sedar yang kita dah buat sesuatu yang sebenarnya bukan kita suka pun, tetapi kadang-kadang kita buat kerana ada yang merayu, atau ada yang buat drama sedih, atau mungkin pandai buat dongeng. Kita kesian dan kita ingatkan bahawa dengan menolongnya kita akan rasa lebih baik. Rupa-rupanya bila sudah masuk perangkapnya, baru kita sedar bahawa kita sedang dipergunanya. Bila kita tersedar, kita pun angkat kaki serta merta. Kita jadi kesal teramat sangat.

Manusia memang begitu. Bila mahu lakukan sesuatu, kita lupa untuk membuat kajian dan penilaian terlebih dahulu. Tapi bila dah terkena, barulah kita jadi kesal.

Semoga Allah SWT selamatkan kita di dunia ini dan juga akhirat.


Monday, December 23, 2013

Doa Untuk Anak-Anak

Assalam

Saya percaya ramai yang sedang bercuti-cuti atau dalam mood untuk berehat sambil menghabiskan cuti rehat yang masih ada. Almaklumlah cuti sekolah, mungkin ramai ibu-ibu yang sibuk dengan urusan persekolahan anak-anak. Nak beli baju, kasut, beg dan macam-macam lagi, persiapan untuk masuk sekolah nanti. Jadinya, mungkin bercuti tetapi ada juga yang kesibukan. Saya memang dah lama tak sibuk dengan persekolahan anak-anak sebab dah lama anak-anak saya tinggalkan alam persekolahan. Anak bongsu saya sedang berada di tahun akhir pengajian di universitinya.

Apa-apa pun, sebagai seorang ibu, saya ingin berkongsi rasa dengan anda semua terutama ibu-ibu di luar sana. Bila anak-anak masih bersekolah, tentu sebagai ibu kita juga jadi stres kerana mahukan anak-anak kita cemerlang. Masa dulu-dulu, saya juga pernah begitu terutama dengan anak sulung saya, Faiz. Kebetulan, Faiz cemerlang dalam bidang pengajian dari darjah satu hinggalah tamat universiti. Selepas itu, saya tak ambil kisah lagi. Alhamdulillah, saya melihat anak-anak membesar dengan kebolehan masing-masing. Ada yang malas, ada yang rajin.Ttetapi yang malas itu tidak bererti bahawa mereka tidak mampu untuk cemerlang.

Dua orang anak-anak saya sangat rajin ketika di sekolah, mungkin mengikut tabiat suami yang juga rajin di sekolah. Dua orang lagi agak-agak kaki ponteng, tentunya mengikut ibu mereka yang dulunya juga ala-ala kaki ponteng. Tetapi, walaupun kaki ponteng, saya tetap cemerlang dalam bidang pengajian bila masuk universiti. Malah, sarjana saya adalah satu distinction, apatah lagi sarjana itu saya mengambilnya di United Kingdom. Alhamdulillah. Syukur, anak-anak saya juga begitu. Mereka yang tak rajin di sekolah, tetap cemerlang di universiti dan mungkin kerana itu, saya sentiasa menasihati ibu-ibu agar tidak panik kalau melihat anak-anak mereka tidak cemerlang sangat di sekolah. Kadang-kadang, kanak-kanak mengambil masa untuk 'appreciate' apa yang ada di sekeliling mereka. Kadang-kadang juga, kanak-kanak yang cemerlang di sekolah tidak mampu untuk kekal cemerlang bila tinggalkan dunia persekolahan. Kalau anak-anak selalu sangat ditekan, mereka payah untuk 'menjadi' kerana tak sanggup hidup dengan tekanan.

Okeylah, sebagai ibu dan ayah, biarlah kita jadi manusia yang juga bertimbang rasa, tidak memaksa anak-anak untuk cemerlang sentiasa. Selain daripada memberi semangat kepada mereka, kita juga perlu beri contoh yang baik-baik agar anak-anak kita jadi insan yang baik. Kalau kita tunjukkan contoh yang tak baik buat anak-anak, mereka akan membesar dengan perasaan yang tertekan dan berkemungkinan untuk jadi orang yang kurang baik atau cemerlang. Semoga kita sentiasa berdoa agar anak-anak kita akan berjaya dunia dan akhirat. Amin.

Wassalam.




Sunday, December 22, 2013

Jom Ke Hatyai

Assalam

Memang dah lama saya tak update blog ini. Bukan sengaja nak buat macam tu, tapi tiba-tiba sahaja kami buat rancangan untuk ke Hatyai atau Haadyai, negara Thailand. Hari Rabu tu, suami saya kata, "Jom kita pergi shopping kat Hatyai!" Sebenarnya dia memang seronok pergi ke department store Robinson. Ketika kami di Phuket, itulah yang kami lakukan, banyak bershopping di Robinson Patong dan bandar Phuket. Tanpa buang masa, kami buat booking penerbangan dan hotel dan terus ke sana esok paginya. Itu yang saya tak sempat nak update blog!

Memang seronok ke sana. Saya bukan tak biasa ke Hatyai, memang ada juga pergi sana untuk lepak-lepak dan shopping. Masa saya kerja di UKM lagi saya pernah ke sana. Kebetulan kali ini, kami sempat ke 'Floating Market' nya. Floating Market di Hatyai sangat berbeza daripada Floating Market di Bangkok. Di Bangkok saya dah banyak kali ke Floating Marketnya, tapi inilah pertama kali saya ke Floating Market Hatyai. Kesemua penjual makanan di Floating Market adalah orang Islam dan semua makanan (pelbagai jenis yang sangat berbeza daripada apa yang kita biasa) adalah halal. Malah, cara hidangan pun sangat berbeza termasuk minumannya. Kebanyakan pengunjung pula, majoriti adalah orang Malaysia, rata-rata datang dengan keluarga masing-masing. Saya pergi dengan suami sahaja kerana kebetulan anak-anak ada yang sedang bercuti dengan keluarga dan ada yang tak dapat ikut kerana ada kerja.

Yang pasti, memang ramai sungguh orang Malaysia yang bercuti ke sana. Hotel yang kami duduk pun penuh dengan orang Malaysia (majoriti datang dengan keluarga atau kawan-kawan). Malah, di sebelah malamnya, semasa kami lepak-lepak, memang berlambak orang Malaysia yang turut melepak di bandar Hatyai. Yang menariknya, semua bangsa ada. Melayu ada, Cina ada, kaum India pun ada, seolah-olah kita masih berada di Malaysia.

Selain daripada shopping (department store dan juga gerai-gerai), makanan sangat murah dan sedap. Ada banyak restoran Muslim di sana. Malah, makanan yang dijual di tepi jalan pun sangat sedap dan dengan harga yang sangat berpatutan. Walaupun hanya dua malam sahaja kami di sana, tapi kami 'enjoy'. Sempat juga saya buat 'leg massage'. Bagi saya, Hatyai sangat menarik dan bagi anda yang tak tahu hendak ke mana ketika bercuti, jom pergi Hatyai! Tak jauh dari bandar Hatyai, memang ada pantai dan laut, bolehlah berkelah juga. Ada juga zoo dan aktiviti lasak untuk anda yang suka buat aktiviti begitu.

Wassalam.

                       Floating Market
                       Minuman dengan bekas yang unik
           Beraneka kuih-muih
                    Tepi pantai
                 Minum air kelapa dalam buluh
                        Berpusu manusia di Floating Market
                   Kuih yang berwarna-warni
                      Pelbagai jenis makanan
                    Nasi Lemak dalam bungkusan yang stail
                          Bila nak bayar- macam ni lah
                  Akak Hatyai menjual manisan
                    Kawasan Floating Market
  Pelbagai jualan yang ada tak jauh dari Floating Market
    Kuih sepit yang berwarna-warni
                     Floating Market - bila matahari dan turun
       Anak gajah di kawasan Floating Market
                 Udang galah di Restoran Salma
                   Masakan ikan kukus yang sangat sedap

Wednesday, December 18, 2013

Lelaki Oh Lelaki

Assalam

Semoga anda sekelian berada dalam keadaan yang aman lagi tenteram. Alhamdulillah, saya masih berada di sini, sihat walafiat. Syukur ya Allah.

Semalam, saya berada di studio stesen radio eWana.fm. Sebenarnya salah seorang pembaca saya yang beria-ia mahu saya ke sana lalu menghubungi DJ yang bertanggungjawab di atas urusan slot novel. Kebetulan juga saya memang dah kenal pun dengan DJ berkenaan kerana suatu ketika dahulu pernah menjadi tetamunya di stesen radio yang berlainan.

Okeylah, pagi ini saya nak beralih kepada isu lelaki pula. Sejak kebelakangan ini saya banyak bercerita tentang wanita dan kelakuan mereka, biar kita kembali pada lelaki pula. Saya percaya ramai pembaca saya yang terdiri daripada wanita muda yang tidak arif tentang perangai lelaki di luar sana. Saya pun bukanlah pakar sangat, tetapi saya memang dikelilingi oleh pelbagai ragam lelaki yang terdiri daripada abang-abang, adik-adik, sepupu-sepapat, anak-anak, anak saudara, juga rakan dan kenalan. Jadi, sedikit sebanyak tu, bolehlah saya berkongsi cerita.

Kebanyakan lelaki ni, mereka mempunyai satu sifat yang agak pelik. Bila mula-mula berkenalan dengan wanita dan mungkin kerana cuba untuk menarik perhatiannya, mereka suka 'menunjuk-nunjuk' seolah-olah mereka sangat ambil berat, prihatin dan konon-konon sangat baik hati. Biasanya mula-mula macam tu lah. Ada yang baik hati tu, kadang-kadang suka bagi hadiah walaupun baru lagi berkenalan. Ada pula suka cari tempat makan yang mewah. Maklumlah nak impress kan sang wanita tadi. Tapi bila mereka dah tak berkenan atau dah 'hilang steam' pada wanita tadi, siaplah... macam-macam pula yang dikatakan tentang wanita itu. Tak cantiklah, tak best lah, kampunglah, macam mak ciklah... malah tak ada apa-apa pun yang elok yang masih ada lagi. Kadang-kadang tu, sampaikan sebut nama pun dah nak termuntah! Nauzubillah.

Jadi, macam mana ya? Bagi wanita yang belum biasa lagi, belajarlah tentang sifat lelaki yang begini. Lelaki juga memang mudah 'MELUPAKAN' tentang wanita yang pernah konon-konon 'macam mereka tertarik'  tu. Kalau lelaki dah tak suka pada seseorang wanita itu, memang begitu caranya. Macam cerita kawan saya dulu, mereka anggap wanita itu macam daki sahaja atau kain buruk yang tak ada nilainya. Tetapi, kalau mereka suka dan betul-betul sayangkan seseorang wanita itu, mereka akan cuba 'BERTAHAN' all out! Mereka sanggup dihentam dan apa sahaja, asalkan wanita itu menjadi hak miliknya. Itu bila 100% sayang!

Adoiii... lelaki, lelaki...

Okeylah, hingga berjumpa lagi, salam sayang buat semua yang saya sayang. Wassalam.



                               Sekadar hiasan

Monday, December 16, 2013

Deskripsi WANITA MATA DUITAN

Assalam

Masih lagi saya nak bualkan tentang perkahwinan, kerana kebetulan ada seorang pembaca lelaki saya (masih muda lagi) yang sedang mencari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan pasangannya. Dulu, dia pernah ada awek, tetapi malangnya awek dia tu berubah hati lalu berkahwin dengan orang lain. Pun begitu, pembaca saya ini mahu berfikiran positif dan percaya ada yang lebih baik buatnya di luar sana. Dalam begitu, dia juga takut kalau-kalau nanti dia terperangkap dengan wanita yang mata duitan, bukan ikhlas untuk mengawininya. "Kak... macam mana kita nak tahu perempuan tu ikhlas hendakkan kita atau... sekadar nakkan duit kita sahaja?"

Kebetulan juga, pembaca saya ini sudah sangat stabil dengan pekerjaannya di sebuah syarikat IT yang berjaya dan semestinya ekonominya juga sudah teramat kukuh.

"Hmmm... sebenarnya memang ramai yang mata duitan ni, tak semesti perempuan sahaja. Tetapi kita boleh baca karakter mereka ini dari mula-mula lagi. Kalau kita bijak, kita tidak akan terperangkap." Itulah kata saya.

Kebetulan juga, ada sebuah cerita yang baru sahaja saya mendengarnya, iaitu tentang karakter insan yang mata duitan. Inilah dialognya.

"Saya pun bukannya kenal sangat dengan wanita ni, saya lebih pada simpati kerana dia tu seorang ibu tunggal. Mula-mula tu nampak macam kesian. Tapi dia ada kerja dan sangat stabil pun, tapi mungkin memang dia ni memang tak fikir lain, cuma kepentingan dirinya sahaja. Awal-awal lagi dia kata pada saya yang dia nak suruh saya sponsor dia pergi umrah (macam bagus sangat). Lepas tu, dia nak saya tolong tukarkan kereta dia, dia nak upgrade kereta yang sedang dipakainya kepada standard yang lebih tinggi. Dia tahu saya mampu. Kemudian pula... dia tunjuk 'pay slip' dia dan perbelanjaan dia... dia mintak saya tolong bayar hutang-hutang dia. Mula-mula tu, saya tak terlintas pun dia ni jenis mata duitan, mungkin kerana saya bersimpati, jadi mata dan hati saya turut jadi kabur. Tapi kemudian... barulah saya tersedar dari mimpi... perempuan ni memang jenis jahat hati, bukan hendakkan saya pun, hanya nak ambil kesempatan di atas kemampuan saya sahaja. Agaknya kalau saya ni pemandu bas ke, atau kerja buruh ke... dia tak akan pandang pun!"

Saya ceritakan situasi itu pada pembaca saya agar dia juga akan berjaga-jaga bila berkawan atau berkenalan dengan wanita nanti. Kalau kita orang bijak, kita akan sedar akan 'karakter' mereka yang mata duitan ni. Wanita, kalau jenis suka meminta-minta, memang nampak sangat buruk perangainya, apatah lagi kalau dia sendiri ada pendapatan sendiri. Buat apa nak mintak duit orang? Takkan sampai nak belanja kawan-kawan makan pun nak mintak duit orang kot? Memang sahlah perangai mata duitan tu... tak fikir benda lain, semuanya nak kena berupah. Kalau kita perhatikan betul-betul akan terlihat simbol duit di mata orang yang macam ini. Jadi berjaga-jagalah. Berwaspadalah dengan orang yang asyik meminta-minta. Sebenarnya kalau kita baik hati, kita tak payah minta pun kita akan dapat. Tapi kalau suka minta-minta ni... memang jenis 'low class' lah.

Semoga kita dilindungi Allah SWT dan dijauhkan daripada insan-insan yang mata duitan. Wallahuaklam.

Wassalam.


Sunday, December 15, 2013

'Performance' Wanita Yang Lebih Berusia Daripada Pasangan

Assalam

Dah banyak hari saya tak update blog ini... sibuklah katakan. Apa-apa pun, saya terasa nak bangkitkan beberapa perkara tentang perkahwinan untuk entree kali ini. Mungkin anda pun perasan bahawa sejak kebelakangan ini memang ramai benar pasangan yang berkahwin di mana pasangan perempuannya jauh lagi tua daripada pasangan lelaki. Macam dah jadi trend. Memang tak salah pun, Nabi junjungan kita Muhammad S.A.W. juga mempunyai isteri yang jauh lagi tua daripada umurnya dan mereka sangat aman dan damai berkahwin. Malah, Nabi sangat menyayangi Siti Khadijah, isteri pertamanya itu, tiada yang dapat menandingi baginda.

Mungkin kita tertanya-tanya, boleh ke kalau usia si wanita itu jauh lagi banyak daripada suaminya, boleh bertahan ke? InsyaaAllah, saya percaya tiada masalah sebenarnya. Banyak orang perempuan, walaupun usianya sudah matang, namun keupayaan fizikalnya, mental dan emosi sangat okey, malah mungkin jauh lagi muda daripada mereka yang lebih muda. Inilah dikatakan kelebihan yang merupakan nikmat anugerah Ilahi. Malah, kadang-kadang perempuan yang muda dan bersuami dengan lelaki yang jauh lebih berumur, tidak mampu bertahan kerana mungkin di luar sahaja kelihatan berusia muda, tetapi 'performance' nya lagi teruk daripada orang yang matang! Wallahuaklam. Mungkin juga kerana wanita yang 'bersemangat muda' ini, mereka lebih senang untuk mencari pasangan yang muda kerana tahu pasangan yang tua daripada mereka tak mampu untuk 'cope' kemahuan mereka! Adoii... tapi ini memang satu realiti.

Saya tahu bahawa ramai wanita matang yang inginkan pasangan muda daripada mereka kerana walaupun usia mereka sudah lebih, namun hati dan jiwa mereka tetap muda. Satu keistimewaan sebenarnya. Tak perlulah kita berdalih dan buat-buat macam tak benar kerana kita tahu perkara ini mampu terjadi pada siapa-siapa.

Ada juga wanita muda daripada pasangan lelaki mereka, tetapi tak berdaya untuk memuaskan hati pihak lelaki dan kerana itu, walaupun berjarak usia, tetapi akhirnya mereka ditinggalkan juga, mungkin kerana 'performance' yang tidak seperti 'expectation'. Saya bukan bercerita tentang apa-apa yang lucah, tetapi satu realiti yang sebenarnya memang wujud dalam kehidupan kita dan dalam masyarakat kita.

Don't judge a book by its cover.... kita tak tahu apa yang ada di dalam. Kadang-kadang di luar nampak macam okey, rupa-rupanya 'hampeh'! Tapi kadang-kadang yang kelihatan matang itu, jauh lagi hebat... dan itulah yang menjadi tarikan pasangan mereka. Wallahuaklam.

Wassalam.


                           Sekadar hiasan

Thursday, December 12, 2013

Kalau Bukan Kita Punya

Assalam

Semalam, kami semua enjoy sangat-sangat kerana dapat meluangkan masa di rumah abang saya di Behrang. Alhamdulillah, cuaca sangat baik dan kami dapat berBBQ (suami saya yang prepare) dan makan nasi berlauk (kakak ipar saya yang sediakan), kemudian pula makan buah durian yang sedap-sedap. Memang nikmat sungguh, alhamdulillah. Angin di sana lebih dari sepoi-sepoi bahasa hingga membuatkan suami saya tertidur di kamar tetamu. Katanya, "tak boleh misslah angin best macam ni". Memang kalah aircond. Rumah abang saya itu memang macam resort dan mengadap gunung-ganang membuatkan kami terasa macam sedang bercuti di mana-mana. Di sebelah petangnya, setelah kenyang dan solat, kami melepak pula di kebun abang saya dan melawat semua tanam-tanamannya. Dapatlah kutib buah pulasan, limau nipis, buah ciku dan juga pisangg raja. Kebetulan adik saya datang di sebelah petangnya. Semasa pagi, sepupu saya juga datang bersama teman-temannya. Kami ke rumah abang saya pada jam 9.00 pagi dan pulang pada malam harinya. Memang terbaek!

Sempat juga saya dan kakak ipar (yang merupakan dua pupu saya) bersembang-sembang. Dia bercerita tentang kenalannya yang merupakan dua beradik perempuan. Mereka hanya berdua sahaja, tetapi ketika umur dah matang, kedua-duanya tak bertegur sapa, gara-gara berebut harta ayah mereka. Kebetulan, ayah mereka itu adalah orang berada dan sebelum mati, sudah dibahagi-bahagikan hartanya, namun kedua-duanya tak puas hati lalu memilih untuk bermasam muka. Adoii...

Memang tak faham kan? Kenapa perlu bermusuhan hanya kerana harta yang asalnya bukan kita punya pun? Lainlah kalau kita yang usahakan dan orang tipu kita, bolehlah nak marah-marah. Tapi memang biasa macam ni, kan? Kita suka berebut harta orang. Kita selalu terlupa kalau wang ringgit atau harta itu bukan kita punya dan bila orang bagi tu, ambillah dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Bukan jadi manusia yang tamak, yang mahukan orang punya tak tentu pasal! Kenapa kita tak rasa malu terutama dengan Tuhan? Walaupun mungkin orang tak tahu akan kelakuan kita, bukankah Tuhan tahu dan melihat kelakuan buruk kita itu?

Bukan hanya anak-anak, tetapi isteri juga atau suami. Bila ada yang memberi, ambil sahajalah, jangan banyak sangat songeh. Jangan jadi orang yang tamak yang mahukan harta orang tanpa fikirkan orang lain. Jangan jadi manusia yang tak menghargai nikmat yang Tuhan beri. Kalau kita terlupa mungkin satu hari nanti Tuhan akan ambil semuanya dan biarkan kita melopong sahaja! Nauzubillah.

Bila jadi seorang isteri atau suami, bila orang bagi tu... syukurlah. Jangan minta yang lebih-lebih, akhirnya nanti tak dapat apa-apa pun!

Wassalam.











Tuesday, December 10, 2013

Dunia Digital

Assalam

Bagi mereka yang bekerja di Selangor, esok cuti lagi kerana menyambut hari keputeraan baginda Sultan Selangor. Jadi... esok, kami sekeluarga akan ke Behrang, ke rumah abang saya untuk makan-makan. Sekarang ini musim buah, jadi di sana memang banyak sungguh dan kami juga akan ber BBQ... harap-harap tak hujan, insyaa Allah.

Okeylah, hari ini saya dah ada mood untuk bersembang-sembang. Alhamdulillah, saya dah dapat balik manuskrip saya (sebahagian kecil) yang terhilang tu. Mujurlah pihak KD ada menyimpannya, kalau tak saya mesti terkantoi. Jadinya, harap-harap cepatlah saya sudahkan bahagian akhir manuskrip saya ini.

Dah lama benar saya tak bercerita tentang buku digital, mungkin ramai tak sedar bahawa sekarang ini, perjalanan buku digital semakin rancak. Malah, kami difahamkan bahawa Indonesia juga sedang merancang untuk mengarah kepada bahan-bahan digital ini, bukan sekadar buku-buku biasa-biasa tetapi bahan-bahan persekolahan juga. Di Malaysia, kita sudah pun bersedia untuk mengarah ke situ. Pihak-pihak perpustakaan di negara ini juga sedang bersedia untuk ke arah itu juga. Sudah ada banyak perpustakaan sudah menyediakan buku-buku digital untuk ahli-ahlinya. Canggih tu. Malah, sudah ada banyak majalah yang digitalkan dan diinteraktifkan digitalnya. Bertambah canggih. Sudah ada banyak pihak yang bersetuju untuk mengiklankan syarikat mereka dalam majalah-majalah yang canggih ini. Jadi, tak perlulah kita bawa majalah yang besar atau kecil, sekadar bawa tablet atau smartphone sahaja!

Untuk makluman anda, pihak KarnaDya kini tidak aktif lagi dalam bahan bacaan biasa-biasa, tetapi mereka sedang bersedia untuk mengarah kepada dunia digital. Walaupun belum kelihatan ketara di negara ini, kita patut bersedia agar kita tidak ketinggalan nanti. Kalau pihak pendidikan negara sedang bersedia ke alam digital, kita juga patut bersedia untuk ke alam itu. Suka atau tidak suka, itulah trend nya!

Semoga kita semua bersedia secara mental untuk menerima perubahan yang akan berlaku ini. Untuk makluman anda, di negara-negara seperti di dunia Barat dan juga China, bahan-bahan digital sangat popular. Malah, penjualan buku fizikal di India (antara negara besar yang aktif) sudah menurun dengan ketara.

Sekadar berkongsi maklumat dengan anda semua, agar kita semua akan menerima perubahan ini sebaik mungkin, insyaaAllah.

Wassalam.