Assalam
Kita biasa dengar terma 'hukum karma', kan? Malah, walaupun perkataan karma itu berasal daripada kepercayaan agama Hindu, namun perkataan itu juga melambangkan maksud 'denda' atau 'hukum' kerana perbuatan yang tak baik yang dilakukan oleh seseorang ketika masih hidup. Saya percaya, perkataan 'karma' itu kalau digunakan tidaklah bermaksud kita (yang beragama Islam) sudah jadi songsang, kerana 'karma' yang diguna ini adalah sekadar bahasa, bukan ada niat untuk mempercayai 'karma' dalam agama Hindu. Wallahuaklam.
Pun begitu, dalam agama kita juga ada perkataan 'Kaffarah' atau dalam kamus Dewan disebut sebagai 'Kifarat'. Perkataan ini disebut dalam kitab suci al-Quran, surah Anfaal, ayat 29, yang membawa maksud "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan 'furqan' (kemampuan membedakan antara yang hak dan batil) kepada mu dan menghapuskan segala kesalahan mu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Allah memiliki karunia yang besar."
Perkataan itu membawa maksud kepada 'membuang' atau 'memadam' dosa yang kita lakukan dengan cara membayar denda. Denda yang dimaksudkan pula ada macam-macam cara. Yang penting ialah niat dan tujuan kita melakukannya.
Saya bukan ahli pakar agama, tetapi saya tertarik dengan penggunaan bahasa dalam mengatur ayat-ayat kita. Kadang-kadang kita mahu gambarkan kejadian 'hukuman' ketika kita masih hidup. Kita percaya bila kita buat baik, akan ada balasan yang baik, bila buat dosa, akan ada juga balasannya. Pun begitu, dalam Islam, setiap perbuatan 'dosa' yang kita lakukan kita wajib bertaubat, minta Tuhan ampunkan dosa kita itu. Salah satu cara untuk melambangkan niat kita, itulah munculnya 'kiffarah', perbuatan yang baik bagi menggantikan perbuatan tak baik yang kita lakukan.
Setiap hari, kita tak lari daripada perbuatan yang tak baik. Ada-ada sahaja, kadang-kadang tak berniat pun untuk melakukannya. Kerana itu juga, kita sepatutnya lakukan perkara-perkara baik seperti bersedekah, menolong orang lain yang memerlukan dan sebagainya, untuk 'cover' semua perbuatan yang tak baik kita dah lakukan dengan sedar ataupun tidak.
Dalam hidup ini, kita selalu bayar denda, kan? Kalau bawa kereta laju, kita akan disaman. Kalau kita langgar orang pun, kita kena bayar. Kita putus tunang (kerana kesalahan kita), pun kena bayar ganti rugi. Maca-macam yang kita bayar kerana 'denda' buat silap. Begitulah kehidupan. Insyaa Allah, segala 'kaffarah' dapat menebus dosa-dosa kita, termasuklah kesakitan yang kita hadapi setiap hari, semoga Allah kurangkan dosa-dosa kita. Wallahuaklam.
Wassalam.
