Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, September 20, 2011

Biar Cerita Betul-Betul


Salam semua

Pagi ini saya nak bercerita tentang beberapa drama Melayu yang saya tengok kat TV. Bukanlah saya rajin sangat tengok drama ni, tapi kadang-kadang saya tengok juga kerana nak tahu perkembangan industri perfileman di negara ini. Kalau tak tengok langsung, macam mana saya nak tahu okey ke tak okey, kan?

Okeylah... saya pun pilih-pilih juga nak tengok drama ni, bukan semua saya tengok. Lagipun, saya tak ada masa nak tengok semuanya. Ada kala, saya tengok dramanya macam okeylah jugak, tapi ada ketika saya jadi bengang, terutama bila ada yang kata drama itu sangat baik sedangkan saya nampak banyak 'kekurangannya'. Hah, apa yang kurang?

Salah satu drama yang saya tonton (tak ingat saluran mana), tetapi drama itu telah diarah oleh seorang pengarah terkemuka (sebab itulah saya nak tengok sangat), tetapi sangat mendukacitakan kerana banyak fakta yang ada dalam drama itu tidak tepat. Misalnya, drama itu yang menceritakan tentang pelajar perubatan telah menggambarkan bahawa sebaik sahaja pelajar mendapat ijazah, mereka boleh membuka klinik swasta dan fakta ini sangat salah kerana setahu saya, pelajar perubatan di Malaysia terpaksa berkhidmat di hospital dahulu (sebagai syarat untuk menjadi doktor) dan tidak mudah untuk terus membuka klinik swasta. Lagi satu, biasanya pelajar-pelajar perubatan, mereka terdiri dari kumpulan yang kecil semasa mengikuti program ijazah, dan kerana itu mereka sentiasa mengenali pelajar lain dalam bidang yang sama. Drama itu telah menonjolkan sesuatu yang agak luar biasa dan kurang tepat. Pelajarnya tak kenal satu sama lain.

Begitu juga tentang sebuah drama yang mengambil latar belakang negara Sepanyol. Dalam drama itu, tak habis-habis para pelakon menceritakan tentang lawatan ke Madrid, dan bukan Sepanyol, tetapi ceritanya ialah tentang sesuatu yang berlaku di Cardoba. Kota Cardoba terletak di Andalusia dan pernah menjadi ibu negeri Andalusia ketika Kalifah Ummayyad menakluki Sepanyol dan ketika itulah Andalusia atau Al-Andalus menjadi terkenal. Ini berlaku pada tahun 711 hinggalah kejatuhan kerajaan Andalusia dan jatuhnya Granada pada tahun 1492. Pembinaan masjid Cordoba telah berlaku pada abad kesepuluh. Namun, setelah pihak Kristian menakluki Sepanyol, masjid itu telah diubah untuk dijadikan sebuah cathedral, dan musatahil sekitar 20-25 tahun yang lepas, masjid Cardoba kekal sebagai masjid, kerana Sepanyol telah menjadi sebuah negara sosialis buat sekian lamanya. Hanya baru-baru ini sahaja terdapat pembinaan masjid-masjid dengan lebih banyak, begitu juga dengan restoran-restoran Islam di tempat seperti Madrid dan Granada.

Jadi, saya tak tahu macam mana cerita itu boleh mengisahkan pertemuan ibu bapa heroin di Masjid Cardoba (tentunya berlaku sekitar 20-30 tahun yang lalu), sedangkan ketika itu, masjid itu bukan merupakan sebuah masjid (sekadar nama sahaja), dan tentunya Cardoba ialah sebuah kota yang terletak di Andalusia dan bukan berhampiran dengan Madrid. Bila saya tonton drama yang saya maksudkan ini, saya jadi bingung dan sangat keliru.

Bagi saya, tak kiralah apa cerita yang hendak kita buat (skrip drama atau novel), tetapi faktanya mestilah tepat. Kalau tak tahu, eloklah kita buat research dan jangan main hentam sahaja. Yang peliknya, tak ada siapa pun kisah yang cerita sebegitu tidak melihatkan fakta-fakta yang tepat.

Kalau kita nak buat cerita, biarlah kita cerita betul-betul. Janganlah keliru tentang tempat-tempat di luar negara dan jangan main hentam sahaja.