Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 07, 2015

Antara Bangi Dan Nilai

Assalam

Anak sulung saya merungut-rungut, katanya dia tak selesa sangat-sangat apabila isterinya ajak pergi shopping di kawasan Bangi Central (kawasan shopping yang baru) di Bandar Baru Bangi hujung minggu yang lepas. Katanya lagi, "Menyampah betul tengok orang berpusu-pusu mencari pakaian macamkan dah tak ada tempat lain atau mungkin dah nak habis dah barang-barang yang dijual kat situ! Merenyut-renyut orang!" Memang anak saya yang seorang itu, jenis tak suka dengan keadaan yang sebegitu. Dulu-dulu pun saya ingat ketika kami di UK, dia tak suka bila saya ajak dia untuk mencari barang! Malas nak shopping.

Apa pun, suatu ketika dahulu Bandar Baru Bangi memang merupakan 'port' tempat tinggal kami. Tapi sekarang ini, kami dah tinggalkan tempat itu lalu berhijrah ke Nilai. Anak sulung saya juga tinggal di Bandar Baru Bangi dan baru awal tahun ini turut berpindah ke Nilai. Kami tak sanggup dengan kawasan yang sesak dua puluh empat jam! Padahal suatu ketika dulu, Bangi adalah tempat 'Jin Bertendang'! Hahaha... masa dah berubah. Kini, semua orang berebut-rebut nak beli rumah dan harta di Bangi dan mahu tinggal di Bangi.

Entahlah... walaupun Bangi merupakan satu kawasan yang penuh nostalgia buat kami, tapi saya tidak lagi tertarik dengan kawasan itu. Apatah lagi hari ini... nak masuk susah, nak keluar pun susah!

Saya jangkakan Nilai juga akan turut berubah. Malah sekarang ini sudah mula berubah apatah lagi dengan dua lapangan terbang besar tak jauh dari tempat kami. Bila petang sahaja dah mula sesak. Tetapi alhamdulillah, rumah kami terletak di kawasan yang masih sunyi. Masih dengar burung berkicauan setiap pagi, malah setiap hari. Masih segar dan tenang di kawasan ini dan kami suka kerana kawasan kami mempunyai banyak jalan keluar dan masuk, jadi payah nak sesak. Depan rumah saya, ada tasik... jadi tidaklah sibuk.

Saya juga suka dengan kawasan tempat tinggal kami sekarang ini kerana masih ada banyak lagi perkampungan orang-orang Melayu yang tak jauh dari kawasan ini. Jadi... mood kampung sangat segar dan dekat dengan jiwa saya. Malah, ramai juga kenalan kami mula berpindah kawasan dari Bangi ke Nilai.

Semoga kawasan ini tak berubah jadi macam kawasan lain yang sesak dua puluh empat jam. Saya tak suka bila angin dan udara yang masuk ke dada saya dah mula berubah rasa. Kalau boleh biarlah kita menghidu udara segar setiap hari, bukan udara yang polluted!

Wassalam.

                                                   Tempat tinggal kami
                                                     Bangi Central