Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, May 21, 2015

Jadi Orang Yang Bijak

Assalam

Seperti biasa, banyak yang perlu saya lakukan. Tapi syukur alhamdulillah, Allah berikan tenaga, berikan waktu dan kesihatan yang baik untuk lakukan semuanya. Semoga banyaklah ibadah yang dapat kita lakukan untuk akhirat kita, insyaa-Allah.

Semalam, saya berkesempatan untuk menonton sebuah program agama di sebuah stesen TV dan progaram yang diaturkan itu membicarakan tentang kedudukan wanita di dalam Islam. Dunia luar selalu menganggapkan bahawa jadi wanita Islam, mereka akan ditindas, dibuli dan dizalimi lelaki. Mungkin kerana kejahilan yang dilihat sedang berleluasa atau bermaharajalela di kalangan penduduk Islam, di mana wanita sering tertindas akibat kezaliman sang lelaki.

Namun sebenarnya, Islamlah yang paling membela wanita dan memberi penghormatan yang teradil, supaya wanita dilindungi sentiasa. Malah, Allah swt memberi hak yang sama pada kaum Hawa. Bila kita sentuh tentang hak yang sama, bukanlah bermaksud bahawa wanita itu serupa dengan lelaki. Wanita mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan begitu juga lelaki. Namun Allah telah jadikan Hawa untuk tidak mensunyikan hidup Adam dan kerana itulah manusia dijadikan serupa dengan haiwan yang mempunyai pasangannya. Pun begitu, fitrah alam tidak semestinya segala-gala itu seimbang, kerana itulah kita mempunyai neraka dan syurga.

Ada yang mahu buat baik dan ada yang suka pada kejahatan. Di situlah kerap kelihatan seolah-olah wanita Islam ditindas sedangkan dalam al-Quran, Allah menyediakan satu surah ia itu surah An  Nisa' untuk bicarakan tentang hal-hal 'wanita' dan tentang hal anak-anak yatim. Istimewanya surah itu kerana Allah bangkitkan tentang hal masalah yang timbul setelah perang Uhud di mana banyak yatim dan balu yang ditinggalkan oleh para Syahid. Allah mahu pastikan bahawa anak-anak yatim terpelihara dan dilindungi, termasuklah hak dan harta mereka.

Namun hari ini, muncul pula istilah 'Payung Emas' untuk kaum wanita, konon-kononnya wanita yang ikut sahaja kehendak suami mereka, pasti akan ke syurga, termasuklah kalau suami mahu bernikah lebih daripada satu. Perkara 'Payung Emas' hanyalah satu dogeng manusia yang mempunyai kepentingan. Perbincangan dalam program TV itu menyentuh tentang hal-hal salah anggap dan tafsiran yang dilakukan oleh manusia sewenang-wenangnya untuk kepentingan masing-masing, kerana Allah sudah letakkan tanggungjawab yang berat buat kaum lelaki untuk menjaga famili mereka sebaik mungkin, termasuk menjadi imam dan khalifah, bukan sesuka hati untuk berkahwin lagi hanya kerana perkara itu ada disebutkan dalam surah ke empat itu. Sebenarnya surah itu perlu difahami rohnya, di mana perkara penting yang Allah sentuhkan ialah tentang penjagaan anak-anak yatim.

Namun masing-masing hari ini, konon-kononnya mahu mengikut sunnah nabi berkahwin lebih daripada satu, sedangkan Nabi Muhammad saw menikahi wanita-wanita untuk jadikan isterinya di atas sebab 'Dakwah'. Melalui isteri-isterinya Nabi junjungan kita mampu untuk berdakwah pada kaum Hawa yang ketika itu sangat jahil dan ketinggalan. Nabi tidak memilih untuk berkahwin lagi kerana mahu melindungi wanita (kerana bukan sedikit yang ditinggalkan sebagai balu ketika itu), jauh sekali kerana nafsu. Kewajipan utama baginda ialah untuk berdakwah.

Hari ini, umat Islam banyak yang pilih untuk memutar-belitkan ayat-ayat al-Quran bagi keuntungan dan kemudahan peribadi mereka hinggakan yang wajib itu mereka ketepikan dan yang sunnat itu mereka dahulukan. Astaghfirullah. Kalaulah orang Islam yang ada hari ini memilih untuk menjadi manusia yang bijak, mereka akan fikirkan tentang segala kebaikan yang Allah susunkan dalam ayat-ayat-Nya agar mereka yang menjadi orang Islam tidak hidup dalam kepincangan kerana salah tafsir ayat-ayat Allah itu.

Kalau kita bijak, maka kita ikut apa yang diminta Allah swt dalam al-Quran, maka kita tidak sesat dan tidak nanti datang ke padang mahsyar, jalan berat sebelah atau bertingkut-tingkut kerana terlalu banyak dosa yang kita pikulkan.

Perceraian tidak pernah dikatakan salah dan itu juga merupakan hak manusia yang memilih untuk lakukannya di atas alasan kebaikan. Allah izinkan apa-apa yang baik, yang elak daripada kemudaratan. Kadang-kadang, perceraian dipilih kerana kalau diteruskan itu akan memudaratkan kehidupan. Wallahuaklam.

Semoga kita jadi orang yang bijak, yang tidak hanya terima apa-apa sahaja tanpa berfikir dahulu kerana hari ini, terlalu banyak pekara karut-marut yang disokong oleh mereka yang mempunyai kepentingan, termasuklah mereka yang konon-kononya ada ilmu agama. Allahuakbar!

Wassalam