Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, July 27, 2011

Menumpang Kesedihan Orang Lain



Salam

Saya masih kesibukan tetapi tak puas hati kalau tak menulis di blog ini. Mungkin dah biasa kot, dah jadi habit melepak di blog ini. Kalau tak lama, sekejap pun jadi, kecualilah saya keluar. Bukan tak boleh buka blog kat tempat lain, tapi tak selesa. Syok kat rumah jugak, tak suka di perjalanan.

Hari ni, saja nak berbual tentang perasaan. Mungkin dah berkali-kali saya bincang tentang hal ini di blog ini, tetapi memang tak akan puas, ada-ada sahaja ceritanya. Mungkin juga teringat pada kisah blog balu yang saya muatkan di entri sebelum ini. Berkali-kali saya menangis bila membaca entri-entrinya, berasa sedih dan cuba tumpang bayangkan keadaannya. Dalam pada itu, saya teringat dua orang anak sepupu saya (yang berlainan) dan kedua-duanya menjadi balu dalam usia yang terlalu muda.

Yang seorang itu, khilangan suami dalam kemalangan jalan raya (Sama macam balu di blog berkenaan) dan mempunyai dua orang putera kecil. Semasa tragedi berlaku, suaminya menaiki motor berenjin kuasa besar. Ketika melawat keluarganya, saya sebak kerana isterinya masih dalam hari kerana melahirkan bayi kecil. Kisah ini terjadi sekitar empat tahun yang lalu dan anak sepupu saya masih terkapai-kapai menjaga anak-anaknya hingga ke hari ini. Mujurlah ada ibu bapa yang dijadikan tempat tumpang kasih.

Seorang lagi pula, baru sangat berkahwin dan mereka bekerja di Dubai dan tiba-tiba sahaja suami diserang barah lalu meninggal dunia. Tinggallah sang isteri terkapai-kapai. Kebetulan, ibunya pula sedang sakit, jadi tidaklah dapat dia menumpang kekuatan ibunya. Memang sedih bila melihat kedaannya. Hanya Tuhan yang tahu perasaan mereka yang tiba-tiba sahaja menjadi balu muda.

Sejak kebelakangan ini, hati saya kerap tersentuh, perasaan juga mudah sangat terasa. Tak tahulah mengapa, mungkin sedang menumpang kesedihan orang lain. Mungkin juga beginilah hati penulis seperti saya, ada kala ingin bayangkan perasaan orang hinggakan terlalu terasa akan keadaannya.

Apa pun, mungkin baik juga kalau kita semua melihat akan keadaan orang lain. Saya selalu mengingatkan diri saya ini. Kalau kita rasa kita mempunyai banyak masalah, bayangkan orang lain yang lebih hebat dugaannya. Kalau kita rasa kita tak berduit, bayangkan orang lain yang mungkin ada duit tetapi hilang orang kesayangannya. Bayangkan juga mereka yang hilang semuanya dan berada dalam keadaan yang sempit pula kewangannya.

Belajarlah untuk bersyukur dengan apa sahaja yang kita ada dan ingatlah selalu bahawa dugaan akan selalu berdepan dengan kita dan ini semua adalah sebahagian daripada kehidupan kita di dunia ini. Buatlah yang baik-baik agar kita hidup dengan penuh kebaikan dunia dan akhirat. Insya-Allah.