Assalam
Saya tersenyum bila membaca komen seorang pelakon di sebuah surat khabar yang berkata bahawa dia sudah bosan untuk berlakon drama yang diadaptasi dari novel kerana katanya jalan cerita semuanya agak sama sahaja, akhirnya hero dan heroin hidup bahagia berumah tangga, sedangkan pada realitinya bukan begitu!
Hah... saya suka dengan komen itu. Memang tepat kot, rata-rata cerita cinta hari ini semuanya sama, tak ada pun yang berakhir dengan kecundang, sedangkan kita tahu kebanyakan percintaan dan perkahwinan hari ini berakhir dengan 'putus'!
Pun begitu, hidup di dunia bukan hanya untuk bercinta sahaja, maksudnya bukan bercinta antara lelaki dan perempuan sahaja, tetapi banyak hal lain yang sangat penting. Misalnya akhlak kita, budaya kita, komitmen kita, tanggungjawab kita, perangai kita, tugas kita, silaturahim kita dan macam-macam lagi. Paling penting ialah amalan kita. Kalau sekadar bercinta bagai nak rak pun apa gunanya, kerana hari ini, cinta boleh dibeli. Hulur sahaja duit, tergedik-gediklah yang datang konon-konon mahu bercinta. Hari ini, rata-rata manusia sangat materialistik. Tak ada duit, tak usah haraplah nak bercinta. Kalau bagi duit, tergolek-golek datangnya cinta.
Tiada pengorbanan, tiada kesabaran, tiada kesopanan, tiada budi bahasa. Yang ada hanyalah 'cinta buta' dan 'cinta palsu'! Semuanya plastik dan penuh dengan pembohongan!
Huhu... semestinya bukan seratus peratus benar, namun rata-rata beginilah adat dunia hari ini. Tidak seperti dulu lagi. Kalau dulu, rata-rata orang tidak materialistik seperti orang hari ini.
Tapi... biasalah kan... bila kita hidup dalam dunia 'pembohongan' dan tidak real, akhirnya kita akan kecundang.
Bukan hanya soal cinta dah jadi plastik, soal persahabatan pun hampir serupa sahaja. Semuanya dah berubah, tak ada yang genuine lagi.
Saya bersetuju sangat-sangat agar karya hari ini seharusnya berubah kepada yang lebih benar daripada apa yang digarapkan oleh tukang karya. Saya paling menyampah kalau melihat karya yang penuh dengan cerita-cerita kotor seperti adegan seks, rogol, bersekedudukan dan macam-macam lagi yang sumbang seolah-olah kita sangat menggalakkan perkara sebegini. Seolah-olah inilah budaya orang kita. Tapi... mungkin betul kot, orang kita seronok hidup pura-pura, seolah-olah baik tetapi penuh dengan maksiat. Nauzubillah min zalik. Yang muda serupa, yang tua pun lupa daratan juga. Adoii... patutlah cerita-cerita sumbang sangat laku di negara ini.
Ini sekadar andaian saya. Mungkin juga kerana orang kita hidupnya sangat kosong, tak punyai objektif, tak punyai cita-cita, sekadar mengikut trend sahaja!
Maaflah kalau ada yang terasa. Sekadar perasaan seorang penulis sahaja.
Wassalam.
hahaha... comel kan?