Sejak Pesta Buku berlangsung di PWTC, saya memang seronok kerana kesibukan melayan pembaca-pembaca dan tentunya sibuk juga membantu KarnaDya dalam urusan pesta itu. Sejak hari pertama lagi, saya berulang-alik ke PWTC.
Hari Isnin, sebaik sahaja tiba rumah dari PWTC, kami makan malam. Tiga malam sebelum itu, kami makan di luar sahaja. Tak sempat nak balik, kerana terlalu lapar. Malam Isnin itu, sebaik sahaja saya bersedia untuk solat, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada kakak ipar yang memaklumkan bahawa mak cik saya telah pulang ke Rahmatullah. Mak Cik yang saya maksudkan ini ialah ibu tiri saya, ia itu ibu muda dan ibu kepada adik-adik saya. Tentunya kami sedih menerima berita yang mengejut itu walaupun mak cik saya dah lama sakit. Kami pun bergegas malam itu juga terus pulang ke Kuala Kangsar. Mak cik saya memang tinggal di sana. Kami tiba sekitar 2.00 pagi dan jam tiga, saya ke hotel untuk tidur seketika, kerana kami tak sempat merehatkan badan. Jam 8.00, kami pergi lagi ke rumah arwah makcik. Saya bantu adik dan adik-adik ipar untuk mandikan jenazah mak cik saya.
Buat seketika, saya memang sedih sangat-sangat, teringat kepada arwah mak cik yang suatu ketika dahulu pernah menjaga saya dan adik beradik yang lain. Maklumlah, kami tinggal serumah.
Sebenarnya,banyak yang saya ingin ceritakan, tetapi saya sangat keletihan. Baru sahaja tiba dari Kuala Kangsar. Apa-apa pun, saya doakan agr roh mak cik saya dirahmati Allah Swt dan Al-Fatihah buat mak cikku.