Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, January 08, 2010

Semalam di LCCT

Semalam, saya menemani suami ke LCCT, kerana pagi ini dia perlu berada di Johor Bahru untuk menghadiri mesyuarat. Katanya malas nak naik kereta ke sana, penat. Jadi, kami terpaksa ke LCCT untuk dapatkan tempat bagi penerbangan pagi esoknya (pagi ini). Kerana kurang dari 24 jam, kami tak boleh beli online. Terpaksalah ke LCCT. Biasanya dia naik MAS, tetapi semalam dia memilih AirAsia.

Semasa dia membeli tiket di LCCT, saya merayap-rayap di sekeliling lapangan terbang itu. Seperti biasalah, saya seronok tengok perangai orang. Sedang meronda-ronda, saya melihat seorang anak muda yang duduk-duduk di sebuah bangku di bahagian luar lapangan terbang itu. Kemudian, sekumpulan polis lapangan terbang datang kepadanya dan bertanya berbagai-bagai soalan. Saya tak dengar sangat apa yang ditanyanya, tetapi saya melihat mereka menulis sesuatu di dalam buku catatan. Selepas itu, mereka pun pergi.

Saya pula, kerana keletihan, terus duduk di atas bangku yang sama. Saya tahu yang budak muda itu merupakan warga Indonesia kerana loghat yang digunakannya. Lalu saya pun bertanya, "Kenapa polis itu menyoal kamu?"

Jawabnya, "Ngak ada apa-apa. Menyoal saja. Kerna saya sudah lama di sini." Maksudnya di lapangan terbang itu.

"Dah lama di sini? Kamu buat apa lama-lama di sini?"

"Saya mahu pulang, bu... tetapi tiketnya hanya pada sebelas hari bulan. Saya ngak ada wang mahu menukarnya."

Saya pun mulalah bertanya macam-macam. Mengikut katanya, dia sudah berada di lapangan terbang itu sejak 5 Januari. Dia tiba dari Bandung pada 1 Januari dan sepatutnya pulang pada 11 Januari. Tetapi, rakan yang menemaninya ke Malaysia sudah menghilangkan diri. Kiranya, dia kena kencinglah ni. Katanya lagi, rakannya itu dah bawa sekali duit dia... upah untuk bawak jalan-jalan.

Saya tidak pasti sama ada apa yang diceritakan itu benar-benar yang tulen atau sudah diubah suai. Tetapi dia tidak membohongi namanya, juga saya melihat sendiri print out penerbangannya (saya tengok juga pasport dia)... memang tertera pada 11 Januari. Tetapi ke Medan, Indonesia. Sedangkan dia tinggal di Jogjakarta.

"Kenapa kamu mesti pergi ke Medan?"

"Lagi murah, bu. Dari Medan, saya akan naik bus untuk kembali ke rumah."

Katanya kepada saya, dia adalah seorang pelajar perhotelan. Dari rupa dan pakaiannya, dia kelihatan seperti budak baik-baik. Begnya pun satu sahaja. Katanya dia terpaksa tidur di lapangan terbang dan makan juga di situ sehingga 11 hari bulan nanti.

"Habis tu, kamu makan apa?"

"Makan sehari sekali, bu. Hari ini saya puasa."

Walaupun saya tak pasti remaja itu berkata benar ataupun tidak, ada perkara yang disampaikan kepada saya itu tepat. Cuma tak pasti seratus peratus. Mungkin kerana itu, saya hulurkan sedikit wang untuknya. Setidak-tidaknya dia boleh makan dengan baik sehingga 11 hari bulan nanti. Hendak tolong lebih dari itu, saya tak berani. Mungkin juga tak yakin seratus peratus. Apa-apapun, saya lega kerana meninggalkannya dengan sedikit wang, kerana saya tahu dia tidak akan kelaparan.