Assalam
Alhamdulillah, setiap hari kita akan menimba ilmu dan sepatutnya setiap pengalaman itu kita jadikan pengajaran buat kita. Semoga akhirat kita juga turut jadi cemerlang hendaknya. Aamiin.
Semalam, saya dan suami menonton sebuah filem yang sangat berkesan. Filem ini mengisahkan perasaan mereka yang terlibat dalam peperangan Perang Dunia Kedua. Berlatarkan kisah benar. Kebetulan suami saya memang suka menonton cerita perang. Jadi, fokus kami memang di situ. Kisahnya berkisar pada salah seorang watak tentera British yang terlibat dalam peperangan itu dan dia pernah diseksa oleh tentera Jepun ketika berada di wilayah Thailand. Tugasnya bersama tentera British yang lain ialah untuk menyiapkan rel kereta api.
Ketika itulah watak itu telah diseksa dengan teruknya, dan salah seorang yang turut menyiksanya ialah seorang 'translator' atau jurubahasa berbangsa Jepun. Penyiksaan yang telah dijalankan sangat-sangatlah dahsyat hinggakan setelah perang tamat dan tentera British yang terlibat pulang ke negara mereka, kesan pada mental, jiwa dan perasaannya terus melekat tak mahu pergi-pergi. Setelah lebih dua puluh tahun perang tamat, kehidupan mereka masih terjejas dan salah seorang temannya yang terlibat sama, telah pilih untuk menggantung dirinya hingga mati.
Watak utama tidak mahu meluahkan perasaan, namun dendamnya berpanjangan. Suatu hari, watak utama memilih untuk pergi ke Thailand untuk melihat semula tempat mereka diseksa. Watak utama telah mendapat khabar bahawa jurubahasa Jepun yang menyiksa mereka kini bertugas di kawasan berkenaan untuk membawa pelancong melihat tempat tentera British diseksa ketika membuat rel kereta api.
Sebaik sahaja tiba di tempat itu, watak utama bertemu dengan jurubahasa berkenaan. Rancangan utamanya ialah untuk menyiksa jurubahasa berkenaan, tetapi malangnya, bila berjumpa, watak utama tak tergamak untuk berbuat demikian. Kedua-duanya meluahkan perasaan. Watak utama mendapat tahu bahawa jurubahasa berkenaan sebenarnya turut terseksa jiwa raganya kerana perasaan bersalah tak mahu pergi-pergi dan kerana itulah jurubahasa berkenaan tidak pilih untuk pulang ke Jepun, sebaliknya tinggal di Thailand dan menjaga tempat itu. Baginya, dia perlu mencari kedamaian jiwanya.
Begitulah kita manusia, kalau melakukan kezaliman adalam apa jua bentuk ke atas insan lain, pasti akhirnya nanti jiwa kita yang akan tertekan. Mungkin pada asalnya kita seronok menyakitkan hati orang lain, atau bertindak zalim pada orang lain, tetapi kesan yang kita tinggalkan itu terbalik pada diri kita, dan mungkin akibat perbuatan kita, memakan diri kita sendiri!
Allah swt maha adil. Setiap perkara buruk dan kejahatan yang kita lakukan pada orang lain, pasti akan mendapat balasannya. Kita akan berasa sakit kerana kita telah melakukan kesalahan kepada orang lain. Wallahuaklam.
Kalau perasaan begitu ada pada diri dan kita tahu kita telah lakukan sesuatu atau kejahatan terhadap orang lain, mungkin kedamaian yang kita cari terletak kepada kemaafannya. Selagi dia tidak maafkan kita, mungkin selagi itulah kita akan berasa sakit. Wallahuaklam.
Wassalam.