Assalam
Sebagai manusia yang tak sempurna, tentu sekali kita akan melakukan kesalahan dari masa ke masa dan kerana itulah kita kena rajin minta ampun dan bertaubat pada Allah SWT agar kita juga dijauhkan daripada melakukan kesalahan. Pun begitu, kadang-kadang kita merasakan bahawa kita melakukan kesilapan. Maknanya kita tersilap langkah mungkin.
Tapi kenapa agaknya kita boleh jadi buat kesilapan itu? Kita sengaja atau tidak? Atau kita sengaja kata bahawa kita tersilap, padahal sebenarnya kita yang sengaja rancang untuk lakukan perkara itu. Namun bila kita terkejut atau terasa bahawa perkara itu tak menjadi, kita pun akuilah bahawa kita tersilap. Yang peliknya, tidakkah kita berfikir sebaik-baiknya sebelum kita mengambil tindakan untuk lakukan apa yang kita lakukan itu? Mungkinkah dalam sekelip mata kita terlupa atau tersasul atau tersasau? Logik ke? Atau kita ini sebenarnya saja seronok-seronok nak cuba lakukan perkara itu yang kita sudah pasti akan mengundang kesusahan?
Kalau kita tak sedar maka bolehlah kita tahu bahawa apa yang kita lakukan itu merupakan sesuatu yang kita silap atau tersalah, tapi kalau kita buat dengan segala kesedaran maknanya kita yang mengundang untuk lakukan kesalahan itu. Atau mungkinkah ketika kita melakukannya kita merasakan bahawa perkara itu bukan salah kerana ia pada ketika itu sangat menguntungkan kita?
Macam orang makan rasuah. Mereka tahu bahawa rasuah itu kesalahan besar, tapi kerana rasuah menguntungkan diri, orang yang melakukannya akan buat-buat terlupa atau tak ingat, konon-konon tak perasan pun yang itu adalah satu kesalahan. Tapi bila tertangkap atau terbongkar rahsia, masa itulah si tukang makan rasuah akan mengelabah dan mengatakan bahawa dia sudah lakukan satu kesilapan yang tak sengaja.
Adoiii... boleh tersilap pulak!
Bertambah pelik kalau yang melakukan kesilapan itu merupakan orang yang cerdik pandai, orang yang tahu agama, yang tahu apa itu baik dan apa itu tidak baik. Kalau perkara yang sama dilakukan oleh orang lain, pasti dia akan nampak bahawa itu adalah satu kesalahan yang tak patut dilakukan. Tapi kerana dia yang melakukannya, maka ia menjadi satu kesilapan! Masya-Allah. Sungguh kesian kerana dia tidak sedar bahawa dia sudah tersilap langkah. Iya ke ni?
Wassalam.
Adoiii... tersilap sudah!
