

Saya ingin berkongsi cerita seorang teman. Tak usahlah saya sebutkan siapa dia, sekadar menamakan dia sebagai Hanim sahaja. Mungkin apa yang dilalui Hanim,dilalui juga oleh orang lain. Kata Hanim kepada saya, selama tempoh perkahwinannya, hanya di awalnya sahaja dia bahagia. Mungkin hingga ke tahun ketiga. Selepas itu, semuanya membosankan. Kalau mula-mula dulu, semuanya bagaikan indah belaka, terasa berada di awang-awangan, tetapi sebaik sahaja sudah ada cahaya mata, kemesraannya mula hilang. Dia tidak menyalahkan suaminya sahaja, kerana katanya dia juga tidak berjaya menarik perhatian suami lagi.
Masing-masing sibuk bekerja dan apabila pulang ke rumah, masih sibuk lagi. Melayan anak, dan bila hujung minggu pula, tak habis-habis pulang ke kampung, kalau tak ke kampung dia, ke kampung Hanim pula. Masa tidak pernah ada untuk mereka berdua. Kalau berjalan shopping pun, tak pernah berpegang tangan lagi. Rasa macam janggal. Malah, tiada lagi 'intimate moments' antara mereka berdua.
Mengikut cerita Hanim, bukan dia tidak teringin untuk lebih mesra dengan suami, tetapi semuanya berubah tanpa disedari dan tanpa dapat dikawal. Tahu-tahu gaya hidup mereka sudah berubah. Malah, katanya lagi, mungkin kerana dah lama sangat begitu caranya, agak janggal kalau mahu diubahkan. Hanim mula cari peluang untuk mengisi 'kekosongan'yang dirasakan itu. Katanya, dia hampir jatuh cinta dengan seorang teman yang ditemui semasa bekerja. Mujurlah tak sampai ke mana. Mujur juga dia teringatkan anak dan Tuhan, katanya.
Sekarang ini, setelah sepuluh tahun berkahwin, Hanim dan suami memang sudah lama hilang semuanya. Mereka sekadar hidup sebumbung, tetapi hati di tempat lain-lain. Hanim mengesyaki yang suaminya mempunyai 'kekasih' kerana kadang-kadang suaminya itu kelihatan sibuk berSMS, kadang-kadang juga sibuk melayan panggilan pada masa-masa yang dikirakan janggal. Tetapi, masing-masing tak pernah sentuh pasal hal-hal ini. Mereka mempunyai rumah yang dibeli secara berkongsi bersama. Mungkin malas nak fikirkan tentang perceraian, tetapi kata Hanim kepada saya, dia terasa sunyi dan bosan giler dengan hidupnya. Malah, walaupun masih kongsi kamar tidur, tetapi mereka tidak pernah kongsi apa-apa kemesraan. Mungkin masing-masing sedang tunggu untuk pasangan membuka mulut.
Kata Hanim, hatinya memang tidak ada lagi pada suami. Walaupun dia tiada orang lain, tetapi suaminya juga tiada lagi di hatinya.
"Umur saya baru 35 tahun, tapi saya dah hidup dalam kedaan yang membosankan, kak... apa yang boleh saya buat?"
Tentunya saya bersimpati, namun bukan mudah untuk saya beri nasihat. "Saya bertanya juga kepadanya, "Pasti ke Hanim dah tak sayang dia lagi?"
"Tak tahulah, kak... sebenarnya, kak... kami memang dah lama tak berbual, tak bercakap-cakap. Setakat apa yang perlu dan patut-patut sahaja. Sekarang ni, kak... saya dah jadi segan nak salin baju depan dia. Kalau saya terserempak dengan dia dalam bilik, saya masuk bilik air untuk salin pakaian."
Saya sedang fikir-fikirkan apa jalan terbaik untuk selamatkan keadaan. Kalau anda ada idea yang baik, emel lah kepada saya. Mungkin anda dapat membantu teman saya ini.