Assalam
Saya sentiasa mengingatkan diri saya dan juga mereka yang datang membaca blog saya bahawa berhati-hatilah dalam perbuatan kita seharian, jangan sampai kita jadi manusia yang tidak jujur, tidak amanah dan tidak ikhlas dalam apa juga tindakan kita. Apatah lagi kalau kita mempunyai kuasa, atau tugas atau amanah yang diserahkan kepada kita untuk orang lain. Janganlah kita lakukan sewenang-wenangnya, apatah lagi kalau tindakan kita mampu merosakkan hati, jiwa dan mungkin rumah tangga orang lain!
Hati-hati terhadap do'a orang yang dizalimi dan air mata orang yang teraniaya. Saya letakkan frasa ini di blog saya untuk mengingatkan kita semua, janganlah buat apa-apa mengikut hati kita, jauh sekali kerana tamak haloba, dan janganlah guna nama Tuhan untuk kepentingan diri kita. Setiap apa yang jahat itu, pasti akan ada balasannya. Kadang-kadang Tuhan terus bayar 'cash' kerana Allah tahu hati dan jiwa mana yang disakiti manusia lain.
Sekalipun kita pakar agama, namun kalau 'kejahatan' ada bersama kita, maka Allah melihatnya. Tak payah berpura-pura dan tak payahlah buat-buat tak tahu kerana Allah tetap tahu. Bertambah berat kalau kita tahu agama namun kerana kita 'busuk hati' dirasuk syaitan untuk berlaku tak adil, maka satu hari nanti kita akan kecundang jua.
Semoga kata-kata saya ini akan mengingatkan diri saya sendiri dan anda semua. Berhati-hati dengan setiap 'amanah' yang diserahkan kepada kita, jangan sampai nanti kerana mungkir janji, akan makan diri. Nauzubillah min zalik.