Buatlah apa yang hati kita suka dan apa yang kita tahu Allah akan suka. Buat baik akan dibalas baik...
Nature
Cinta baru dalam hidupku
Followers
Monday, November 07, 2011
Ubat Hapuskan Rasa Sedih
Salam semua
Semoga kita semua tidak makan terlalu banyak pada hari semalam. Kalau makan 'terbanyak', hari ni eloklah kalau kita pergi berjogging, agar semua yang terlebih itu akan hapus jua... hehe. Seperti biasa, hari raya saya kesibukanlah, cuma kali ini adik ipar saya yang banyak memasak dan membawa makanan ke rumah kami... alhamdulillah. Apa pun, hari ini masih banyak perjalanan korban yang akan dilakukan oleh penduduk-penduduk Muslim seluruh dunia. Allahu akbar!
Hari ini, sekali lagi saya nak bersembang tentang perasaan. Mungkin ini merupakan satu perkara yang sentiasa menjadi antara isu utama bagi orang perempuan. Kalau dibandingkan dengan lelaki, orang perempuan lebih sensitif dan cepat berasa hati. Tetapi ada ketika, orang lelaki pula yang terlebih rasanya.
Ada orang bertanya pada saya, "Kak Aina... nak buat macam mana ya kalau saya selalu sangat berasa sedih? Kalau boleh saya nak cari ubat supaya hati saya keluar dari perasaan sedih ni."
Wow! Susah tu... kalaulah Kak Aina juga tahu ubatnya, mesti Kak Aina boleh berikan, betul tak?
Rasanya dah berkali-kali saya bercerita tentang hal ini, hal di mana kita akan selalu berdepan dengan kesedihan atau kesayuan hati. Sebagai insan, memang mudah kita beranggapan bahawa diri kita selalu ditimpa malang dan kesedihan. Kita mudah merasakan bahawa orang lain tidak seperti kita, mungkin tak ada masalah apa-apa. Kalau tak percaya, cubalah kita bertanya-tanya pada orang lain pula, betulkah mereka semua tak ada apa-apa masalah? Ada ke manusia kat dunia ni tak pernah ditimpa apa-apa masalah? Sekalipun mungkin ada duit setinggi gunung, saya rasa mustahil ada manusia yang sentiasa bahagia.
Namun... janganlah kita biarkan diri kita sentiasa terperangkap dengan tekanan yang membebankan. Cuba kita belajar untuk jauhkan diri daripada kuat sangat terasa hati. Jangan suka fikir yang bukan-bukan. Kadang-kadang kerana kita terlalu melayan perasaan, kita mudah berasa hiba. Hal yang kecil-kecil kita rumitkan dan perbesarkan. Cuba kita belajar untuk relaks, tentu kita akan dapat legakan sebarang rasa yang menghimpit kita.
Sudah berkali-kali saya bualkan dalam blog ini tentang hal ini. Kalau kita pandai mengendalikan hati yang gusar, maka akan hilanglah segala rasa kecewa. Hidup kita akan menjadi indah. Ada macam-macam cara yang boleh buat kita 'ceraikan' rasa tertekan yang datang pada diri kita. Kita boleh sibukkan diri dengan melakukan apa-apa sahaja yang kita suka buat, seperti melukis, berjalan-jalan, bertemu dengan rakan, pergi berkelah, balik kampung dan lain-lain. Kita juga boleh buat macam-macam jenis senaman. Senaman seperti berjogging dan berjalan kaki boleh kurangkan rasa stres dan ketegangan. Kita juga boleh membaca kerana membaca juga mampu menghilangkan rasa stres.
Ada pelbagai jenis makanan yang juga boleh membantu kita, terutama sekali buah-buahan seperti pisang, anggur dan macam-macam lagi.
Sebagai orang Islam, perbanyakkanlah amalan solat sunat dan berdoa pada Ilahi kerana hanya Tuhan sahaja yang mampu meredakan segala kegusaran. Bila kita dekat dengan Tuhan, insya-Allah jiwa dan raga akan berasa lega.
Ubat untuk hapuskan rasa sedih bergantung pada diri kita sendiri, apakah yang kita mahukan dalam hidup ini dan apakah makna kehidupan buat kita sebagai seorang individu. Kita pilih dan kita lakukanlah. Tak usah peduli apa orang lain kata, kecuali orang yang berkata itu merupakan orang yang sayang kepada kita seperti ibu bapa kita, adik-beradik kita atau mungkin kawan baik kita. Kalau mereka ikhlas mahu membantu, terimalah.
Sayangilah diri kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)