Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 26, 2010

FB... Fun and Best Ke?



Salam semua.

Hujung minggu, saya didatangi tetamu dari Yemen. Bukan Eyyad Aysar atau Nasrat (novel Matahariku), tetapi pelajar-pelajar Yemen yang sedang menuntut di sini. Saya bertemu dengan mereka semasa saya ke Yemen dulu dan sejak itu, mereka rapat dengan keluarga kami. Ali, Khalid, Jehad dan Muhsin. Muhsin adalah rakyat Saudi tetapi ayahnya berasal dari Yemen. Yang seronoknya, kami berbual-bual tentang Yemen, terutama Hadramaut. Kebetulan, Khamis ini (malam), suami saya akan berangkat ke Yemen lagi. Dia sudah ke sana berkali-kali, tetapi kali ini saya tak ikut sebab dia tidak ke Hadramaut atau Mukalla, tetapi hanya ke Sana'a. Insya-Allah, lain kali saya akan cuba ikut ke sana lagi. Saya bercadang untuk berlama-lama di Heyd Al Jazeel (ada gambar di blog saya ini).

Okeylah... pagi ini saya nak bercerita tentang orang perempuan dan lelaki yang jadi suami isteri. Kebetulan, saya terbaca beberapa isu tentang orang perempuan yang ralit duduk berdepan dengan FaceBook (FB... fun and best?), hinggakan ada yang leka, tak kisah makan minum di rumah (ini yang tinggal di rumah sebagai suri rumah tangga lah). Mereka khusyuk bertukar-tukar info dengan kawan-kawan, terutama kawan lama. Maklumlah, kini memang menjadi trend orang ramai untuk menjadi ahli FaceBook. Dan dari situlah kawan-kawan lama dapat menghubungi antara satu sama lain.

Beberapa bulan yang lepas, saya juga ada daftar sebagai ahli, tetapi selama tiga hari sahaja. Tak tahulah kenapa, saya tak berkenan sangat dengan FaceBook ni. Saya rasa macam tak boleh nak buat kerja, ada-ada sahaja mesej yang masuk yang mengganggu. Maklumlah kerja saya memang berdepan dengan komputer dari pagi sampai malam. Tak boleh nak buat tak tahu...

Sebab tulah saya tak jadi teruskan dengan FaceBook ni.

Baru-baru ni, kecoh dengan berita seorang lelaki yang menceraikan isterinya talak tiga, gara-gara isterinya bercinta melalui saluran FaceBook ni. Wanita tersebut bertemu kembali dengan kekasih lamanya melalui FaceBook dan dari situ mereka menjalinkan hubungan semula... sampailah ke ranjang. Aduhai...

Si mamat suaminya pula telah jadi 'spy' dan kumpulkan segala bahan bukti lalu menceraikan isterinya dengan sekali gus talak tiga!

Okeylah... saya tak nak komen apa-apa tentang peristiwa itu, cumanya bagi saya, tak kiralah kita lelaki atau perempuan, apa-apa sahaja yang kita lakukan, cuba buat dengan ikhlas dan cuba berlaku adil kepada pasangan kita. Apa sekalipun yang kita nak lakukan, fikir baik-baik akan baik buruknya sesuatu perlakuan itu. Janganlah biar diri kita termakan sendiri dan akhirnya memusnahkan segala-galanya.

Berjaga-jaga dengan segala kemudahan elektronik canggih yang ada kini dan jangan lupa daratan. Nak buat apa pun, biar berpada-pada. Matangkanlah fikiran, jangan beremosi dan ingatlah kepada Tuhan.

Banyak juga kes di mana isteri atau suami memburuk-burukkan pasangan mereka dalam saluran seperti FaceBook. Mungkin kerana sakit hati, berdendam atau cemburu, mereka sanggup mengaibkan pasangan mereka. Berjaga-jagalah kita semua. Saya juga selalu mengingatkan diri, jangan sekali-kali terlepas laku dan mengaibkan pasangan kita. Ingatkan diri bahawa kelakuan itu adalah satu dosa dan jauhkanlah dari perbuatan itu. Kalau ada benda yang kita tak senang dengan pasangan kita, berterus teranglah dengannya dan bawa berbincang. Kalau susah, carilah orang ketiga yang boleh membantu.

Okeylah... di zaman serba maju ini, kadang-kadang ia mungkin mempercepatkan keruntuhan rumah tangga, kalau kita tak berjaga-jaga. Suami isteri hari ini tidak lagi seperti pasangan dulu-dulu. Masing-masing sibuk dan ada kala, masa kita terbuang dengan orang lain bukan dengan pasangan kita. Kerana itu, berjaga-jagalah agar hidup kita tak musnah.

Wassalam.