Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, November 24, 2014

Bahagia Ataupun Tidak

Assalam

Hujung minggu yang banyak program. Ada kenduri aqiqah, ada jemputan kahwin, ada ke sana dan ada ke sini. Tetapi alhamdulillah, Allah swt izinkan ada umur, ada kesihatan dan ada kudrat untuk bergerak dan jalankan aktiviti.

Sepatutnyalah... kita kena sentiasa bersyukur, sekalipun mungkin ada ketika kita diduga kerana segala ujian dan dugaan itu adalah nikmat ilmu buat kita. Tanpa ujian dan tanpa dugaan, mungkin tak dapat pengajaran dan pelajaran, mungkin juga payah nak dekatkan diri dengan Tuhan. Alhamdulillah di atas segala nikmat-Nya. Kalau kita tak menghargai nikmat Allah, di situlah kita akan kecewa dan kecundang kerana setiap apa sahaja ujian yang datang, kita melihatnya sebagai satu perkara negatif. Otak kita akan berasa sedih dan sakit hati. Tetapi kalau kita melihat ujian dan dugaan sebagai satu cabaran untuk meningkatkan segala yang kurang, malah mungkin untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri dengan Allah, semestinya kita akan berasa lega dan bersyukur di atas apa sahaja yang Allah berikan pada kita. Insya-Allah.

Pun begitu, sebagai manusia normal, kita tak mampu larikan diri daripada rasa geram dan marah pada sesuatu yang terjadi... sesuatu yang kita tak suka. Mungkin tidak salah juga... kerana di dalam al-Quran juga Allah nyatakan bahawa setiap kita ini mempunyai hak yang ditafsirkan sebagai keadilan. Bila orang buat kita, kita juga punyai hak untuk balas! Namun... jauh lagi baik kalau kita serahkan kepada Allah, kerana Dia lebih mengetahui.

Semestinya juga kita perlu ingat, untuk merasa segala nikmat yang Allah berikan, kita juga kena selalu bertaubat. Minta ampun pada Allah di atas segala kesalahan dan kesilapan kita dan semestinya berjanji untuk memperbaiki diri. Biarlah kita rendahkan diri pada Tuhan dan terima hakikat bahawa kita selalu buat dosa. Kalau kita buat tak tahu sahaja dan mungkin berasa bahawa diri kita sempurna, di situlah akan ada satu kesilapan besar. Mungkin juga Allah akan tarik segala nikmat yang ada buat kita kerana kita terlupa untuk mensyukurinya. Nauzubillah min zalik.

Ada orang, walaupun banyak dugaannya, dia sentiasa tenang. Bahagia ada padanya. Tapi ada orang pula, sikit sahaja dugaannya, tetapi hatinya gusar dan penuh dengan perasaan dengki dan sakit hati. Di situlah terletaknya satu kerugian kerana tiada bahagia padanya. Sampai bila-bila pun, selagi dia tidak tahu untuk mensyukuri, selagi itulah dia akan terus menderita. Wallahuaklam.

Wassalam.



                                      Bahagianya kalau dapat tinggal dalam rumah comel sebegini