Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, January 06, 2016

Cerita 2 - Lima Kali Lima




 Cerita 2

Bahagian 1



LIMA KALI LIMA




DIA ada lima orang anak dara. Bukannya mudah untuk memelihara anak-anak perempuan seramai itu di zaman ini. Memang berat, tetapi Zainun akan pastikan anak-anaknya itu mampu dipelihara dengan sebaik mungkin, bak mutiara yang berharga, tak boleh dibiarkan begitu sahaja. Zainun atau Kak Nun atau Mak Nun yang digelar oleh penduduk di sekitar tempat tinggalnya itu, berdepan dengan pelbagai kesukaran.

            Pada asalnya, ibu tunggal itu terpaksa berdepan dengan beban yang ditinggalkan suami yang dikasihinya. Suaminya meninggal akibat sesak nafas kerana penyakit asthma yang kronik. Bila Amin meninggal, Zainun atau Mak Nun terkapai-kapai. Selama ini, dia hanya merupakan seorang suri rumah, tetapi tanpa suami, dia kini terpaksa juga menjadi pencari rezeki untuk keluarga. Terpaksalah Mak Nun membuka gerai makan di hujung kawasan perumahannya. Walaupun Mak Nun bukan pakar memasak, terpaksa sahaja dia mengasah apa-apa sahaja bakat memasak yang ada dan dia cuba memastikan makanan yang disediakan itu, memenuhi tekak pelanggan yang datang.

            Pun begitu, setelah tiga bulan memulakan penjualan di gerai, Mak Nun dapat rasakan bahawa kebanyakan pelanggannya adalah orang-orang muda. Kadang-kadang itu, penuh mereka berlonggok di gerainya. Mak Nun tak payah fikir jauh tetapi dia sedar yang menjadi tarikan gerainya itu bukanlah makanannya sangat, tetapi kerana kehadiran anak-anak perempuan yang sering membantunya.

            Amna, Nabilah, Suraya, Amira dan Zulaikha. Merekalah penghibur hati. Mereka juga merupakan teman yang membuatkan Zainun bersemangat untuk berjuang di dunia ini. Tanpa mereka, Zainun mungkin tak kisah kalau sekalipun dia juga mati seperti suaminya Amin.

            “Mak… mak rasa sunyi tak kerana ayah dah tak ada lagi?” Amna pernah bertanya setelah sebulan Amin pergi meninggalkan mereka.

            “Sunyi… tapi kan mak ada korang. Koranglah penghibur hati mak ni. Am jangan risau tau… mak akan kerja keras untuk anak-anak mak. Mujurlah kita dah ada rumah ni… sekurang-kurangnya kita ada tempat tinggal. Cuma kita kena ushakan untuk cari rezeki perbelanjaan kita. Insyaa-Allah boleh. Allah sediakan rezeki untuk kita semua.”

            Dalam pada itu, Zainun tak gemar dengan keadaan yang berdepan dengannya di gerai kepunyaan mereka. ‘Kalau tak ada budak-budak ni kat gerai ni, macam mana pulak? Tak laku lah pulak agaknya.’ Berbisik di hatinya. Dia sedar yang kehadiran anak-anak daranya mampu menarik perhatian anak-anak muda di kawasan itu.

            “Kamu semua jangan tergedik-gedik kat gerai ni! Mak tak suka!” dia pernah menjerkah Amira dan Zulaikha.

            “Mana ada, mak… kami tak pernah gedik pun.” Jawab Zulaikha berterus-terang. “Mak bukannya tak tahu… Ika tak pernah menggatal.” Sememangnya begitu. Anak-anak Zainun sudah dilatih untuk sentiasa menjaga maruah. Dia tahu itu, cuma dia tetap bimbang, takut anak-anaknya terlupa.

            Lelaki-lelaki ini memang macam semut, pantang ada gula, mereka akan datang. Walaupun dengan kehadiran mereka begitu, gerai Zainun semakin maju, tetapi hati Zainun tidak aman. Baginya, anak-anak daranya itu bukan hendak dipamernya. Mereka sekadar membantu, tetapi malang buatnya, itu yang menjadi tarikan anak-anak muda. Bila berada di gerainya, mereka duduk berkelompok dan mula berbisik-bisik sambil mengintai-intai ke arah belakang. Kalau anak-anaknya ke hadapan pula, bagaikan terbonjol mata masing-masing, macam tak pernah melihat perempuan!

            “Kamu tak payah ke depan, Amna. Tolong kat belakang aje!” itulah arahan daripadanya.



            Anak sulungnya itu sudah 24 tahun. Nabilah pula 22 tahun, Suraya 21 tahun, Amira 20 dan Zulaikha 19 tahun. Semunya sudah besar panjang, cantic dan menarik tetapi Zainun masih ingat lagi pesan arwah suaminya. “Jangan lepas budak-budak ni begitu saja. Carikan orang yang baik-baik untuk dia orang. Kita tak ada anak lelaki… tapi kalau kita jaga dia orang baik-baik, syurgalah tempat kita.”



MULALAH Zainun fikirkan bagimana mahu mencari jalan agar gerainya maju jaya walaupun anak-anak perempuannya tiada di situ. Biar mereka dapat cari makan dengan cara yang halal tanpa melibatkan ‘semut-semut’ mencari gula. Itulah niatnya.

            Bila pulang sahaja ke rumah, mulalah Zainun mencari resepi terbaik untuk makanan yang boleh diperkenalkan di gerainya. Malah, resepi nasi lemak juga dibuahsuai agar menjadi bertambah lazat. Setelah hampir tiga minggu mencuba resepi-resepi terbaik, Zainun berjaya menyediakan makanan-makanan yang betul-betul ada ‘umph’! Dia sangat berpuas hati. Malah, Zainun juga menyediakan ‘banner’ untuk memperkenalkan menu baru di gerainya.

            Alhamdulillah, semakin menjadilah rezeki yang berkumpul di gerai mereka. Malah, Mak Nun lega kerana dia perasan kini pelbagai orang yang datang membeli di gerainya, bukan sekadar ‘semut’ sahaja. Malah, bertambah lega kerana ada ketika, anak-anak Mak Nun tiada di gerai untuk membantu tetapi masih juga laku!

            “Sedaplah Mak Nun… mi kari Mak Nun ni memag kaw!” puji pelanggannya.

            Memang macam-macam orang yang datang untuk makan makanan di gerainya terutama nasi lemak dan mi kari kawnya. Kini Mak Nun mencari pembantu tetap kerana tidak mahu anak-anaknya tertumpu di gerai mereka. Sanah yang menolong dan Mak Nun seronok melayan pelanggan yang datang apatah lagi mereka memuji-muji produk hasil gerainya.

            “Nun… kau letak apa dalam mi kari kau ni?”Kata Mat Isa, salah seorang pelanggan tetapnya. Hampir setiap hari dia akan berada di gerai Zainun. Seolah-olah tak lengkap harinya kalau tak ke gerai Zainun.

            “Biasanya aje, Mat…” Dia sekadar tersenyum sahaja.

            “Kak Nun…” tegur Sanah. “Kak Nun jaga-jaga sikit dengan Abang Mat tu…”

            “Hah kenapa pulak?”

            “Bini dia Wan Esah tu… jenis cemburu. Cemburu tahap gaban tu. Nanti kalau Abang Mat asyik kat sini aje… dia pulak datang serang Kak Nun.”

            “Hisy! Aku tak buat apa pun. Aku pun tak ingin dengan laki dia. Dia kan orang kat sini… pelanggan kita. Bukannya aku yang melayan tak tentu pasal. Lagipun… dia gilakan mi kari aku… bukan suka pada aku pun.” Selamba Zainun berkata.

            Namun Zainun terkejut bila satu hari kemudiannya, dia melihat kelibat Wan Esah yang datang melulu ke gerainya!




-          BERSAMBUNG –





PERINGATAN:

Tulisan ini adalah hak cipta penulis ini dan tidak boleh di ciplak dengan apa jua cara termasuk semua bentuk digital walaupun sekadar paragraf atau ayat. Tulisan ini juga adalah dalam bentuk ‘raw’ dan belum diedit lagi. Terima kasih.