Percaya tak si cantik manis ni (pelakon sinetron Indonesia) ada kena-mengena dengan saya?
Salam
Tak ingat dah saya sama ada tajuk ini pernah saya gunakan di blog ini. Malas nak search. Biarkanlah aje kalau ada pun. Apa salahnya, kan?
Memang ramai juga yang tulis kat blog, kan? walaupun kalau nak diikutkan, orang yang rajin menulis aje yang ada blog. Orang yang tak berapa suka menulis tak suka pada blog, lagi seronok guna media sosial yang lain macam FB atau Twitter. Tak kisahlah, tapi rata-rata orang yang tulis di blog ada banyak cerita. Kadang-kadang cerita sendiri, kadang-kadang pula kisah orang lain atau perkara umum yang sering menjadi perbualan. Apa-apa pun, selalunya menulis di blog lebih banyak meluahkan perasaan tentang apa-apa saja. Kadang-kadang kita tak kisah pun kalau kita tulis tak ada siapa pun yang baca. Janji hati kita terhibur dek kerana dapat meluahkan rasa hati. Huhu...
Okeylah, pagi ni saya nak bercerita tentang isu 'pertemuan buat kali pertama'. Tak kisahlah pertemuan itu terjadi antara lelaki atau perempuan, atau mungkin antara perempuan dan perempuan, lelaki dan lelaki dan tak semesti juga ketika bertemu tak ada orang lain (mungkin secara ramai-ramai). Tapi... berjumpa tu memang buat kali pertama. Biasa kan kita dengar tentang orang jatuh cinta pada pandangan pertama? Ada tu sampai berkahwin. Ada juga tak menjadi. Masa saya berjumpa suami saya first time berpuluh-puluh tahun yang lalu, mungkin dia kot jatuh cinta pada saya pada pertemuan kami yang pertama (di rumah saya dan dia datang bersama kawan-kawannya), tapi saya ketika itu, tak adalah pulak jatuh cinta padanya. Mungkin saya tertarik padanya, tapi memang masa tu saya tak jatuh cinta. Saya suka, saya suka (Upin-Ipin)...
Tapi... banyak jugak kes di mana orang membenci pada pertama kali berjumpa. Pernah dengar tak kisah yang ni pulak? Jangankan nak ada karan atau kuasa letrik yang menyambar, rasa menyampah dan meluat yang bertandang. Kadang-kadang tu tak bersebab pun. Sekadar tak suka dengan 'first impression'. Apa yang dilihat itu tidak menyenangkan hati dan kadang-kadang ini tidak berlaku antara perempuan dan lelaki tetapi antara wanita dan wanita. Kalau terjadi antara lelaki dan wanita, kita pernah juga dengar kisah di mana 'couple' ini berubah persepsi bila sudah kenal hati budi. Hah, padan muka! Dulu benci sangat, ni dah kahwin pun. Banyak jugak yang macam ni, kan? Tapi... ini saya nak cerita tentang pertemuan sama jantina.
Saya bukan cerita pasal orang lain, tapi pasal diri saya. Biasanya, orang yang tak kenal saya mempunyai persepsi yang sangat negatif bila melihat saya (kalau tak senyum). Banyak orang rasa saya ni sombong dan alasan mengapa mereka kata begitu, sebabkan hidung saya! Huhu... jangan ketawa tau, tapi ini sangatlah betul. Kadang-kadang, saya memang susah nak 'warm up' bila berjumpa orang baru. Saya tunggu dulu dan saya mengambil masa yang lama untuk jadi mesra. Dan kerana wajah saya ini, ramai sangka saya ni sombong atau hidung tinggi (huhu... nak buat macam mana dah Tuhan bagi kat aku hidung macam ni). Tapi bila saya senyum dan mula berlabon(bersembang), biasanya mereka berubah persepsi.
Jarang benar orang jatuh cinta dengan saya bila pandang saya buat pertama kalinya. Ramai orang takut dan berjaga-jaga, mungkin mereka sangka bila saya buka aje mulut saya, saya akan telan mereka hidup-hidup! Hahahaha! Kalaulah boleh saya buat macam tu.
Saya dah biasa dengan keadaan itu dan saya selalu berbisik pada diri, meminta dan merayu agar saya jangan lupa untuk senyum luas-luas bila berjumpa dengan orang yang saya tak kenal. Hehe... kesian kat saya, kan?
Saya terima diri saya seadanya dan insya-Allah saya sentiasa berdoa pada Tuhan agar jangan ada yang membenci saya hanya kerana tak suka pada wajah saya yang kelihatan seperti ini.
Wassalam.