Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, June 20, 2013

Berkawan Kerana Cari Untung?



Assalamualaikum.

Hari ini hari Khamis, semakin hari semakin kita menghampiri bulan Ramadhan. Dulu, semasa saya kecil, memang seronok bila Ramadhan menghampiri kerana itu bermakna bahawa 'Hari Raya' dah dekat. Mulalah berfikir-fikir tentang pakaian hari raya. Mulalah berangan-angan.

Sekarang ini, saya tak pernah fikir pun nak pakai apa untuk hari raya. Dah lama tak pernah kisah. Apa sahaja yang ada, saya akan pakain nanti. Yang penting, nak sambut bulan Ramadhan. Kalau boleh, biarlah kita dapat lakukan sesuatu yang lagi baik, lebih baik daripada amal yang pernah kita lakukan pada hari-hari di bulan yang lain selain Ramadhan. Biarlah hati dan jiwa kita sama-sama ikhlas untuk melalui detik-detik di bulan Ramadhan. Semoga Allah SWT panjangkan usia kita dan beri kita kesihatan. In syaa Allah.

Kebetulan, semalam ada seorang teman berkata pada saya, "Kenapa payah nak dapat kawan atau teman yang ikhlas berkawan dengan kita?"

Saya pun bertanya kepadanya, "Kenapa?"

"Entahlah... saya selalu melalui keadaan ini. Bila ada yang dekat pada saya, mesti ada sebabnya. Mesti ada benda yang dia mahukan daripada saya. Biasanya juga saya akan cuba tunaikan. Tapi bila dah dapat, dia tak akan muncul lagi. Kalau muncul, mesti ada sebab lain pulak."

Saya duduk termenung memikirkannya. 'Mungkin kot,' kata hati saya. Kebanyakan manusia mungkin ada yang begitu, berkawan dengan orang lain dengan niat tertentu sahaja, bukan niat untuk berkawan pun. Sekadar untuk mencari keuntungan.

Tapi... tak pelik ke, kalau kita hanya mahu rapat dengan orang lain untuk mencari keuntungan, bukan untuk mencari keberkatan Allah SWT?

Saya berbual lagi dengan teman saya itu. Katanya lagi, "Lagi pelik, kadang-kadang tu kita ingatkan dia jenis 'warak', rupa-rupanya tak warak mana pun. Fikiran dan hati dia hanya berat pada keuntungan duniawi. Tak ikhlas berkawan." Nauzubillah.

Mungkin elok kalau kita renung-renungkan hal sebegini. Mungkin elok juga kalau kita sama-sama mengingatkan diri bahawa bila kita mahu berkawan, biarlah kita berkawan dengan ikhlas bukan kerana hal-hal lain yang membawa keuntungan di dunia ini sahaja. Wallahuaklam.