Assalamualaikum
Hari ini, saya ingin berpesan kepada anda sekelian yang bernama 'anak' terutama anak lelaki. Janganlah sekali-kali anda takutkan isteri atau terlalu sayangkan isteri hinggakan anda abaikan ibu anda sendiri. Kalau apa-apa hal isteri, anda beria-ia sungguh, sanggup balik kampung setiap hujung minggu kerana mahu menjenguk ayah dan ibu isteri. Tetapi dengan ibu anda sendiri, anda tak kisah untuk melawatnya sedangkan dia tidaklah tinggal jauh mana pun. Sudahlah anda tidak sanggup pikul tanggungjawab untuk menjaga ibu, untuk melawatnya pun anda tiada masa. Tapi bila anda kesempitan 'wang', tahu pula anda mencarinya. Anak apakah anda ini?
Anda akan melihat keadaan seperti ini dalam cerita 'Bunga-Bunga Kemboja', cuma mungkin dari sudut yang berbeza. Sebagai anak, terutama kalau anda itu seorang lelaki, janganlah tak ambil kisah pada ibu dan ayah yang masih ada lagi. Jangan lupa, satu hari nanti anda juga akan jadi ibu atau ayah yang tua. Kalau orang tak peduli, bagaimanakah rasanya nanti?
Suara saya mungkin berbunyi 'marah' tetapi saya ingin ingatkan diri saya sendiri. Setakat ini, ibu saya berada dengan saya sudah bertahun-tahun lamanya. Alhamdulillah dia sihat dan mungkin juga bahagia kerana berada di samping kami anak-anaknya, cucu-cucu dan cicit-cicit. Ambillah peluang keemasan ini untuk berbuat baik pada ibu bapa. Tak guna kalau kita sekadar melawat pusara sedangkan semasa dia ada, kita buat sambil lewa.
Okeylah... bagi anda yang ada masa, jom tonton drama Bunga-Bunga Kemboja di slot Bidadari jam 11.30 nanti, Isnin hingga Khamis di TV1. Lagu yang menjadi dendangan latar drama 'BBK' ialah 'Tentang Rasa' sebuah lagu Indonesia yang dinyanyikan oleh 'Astrid' dan juga beberapa lagu Opick, juga dari Indonesia.
Wassalam.
