Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, August 30, 2007

JANTAN KE BETINA?

Makcu menyoal Minah. "Siapa, Minah? Siapa yang Opah kamu maksudkan ni? Jantan ke betina?"

"Makcu ni... perempuanlah. Takkan makcu tak perasan kot. Kalau waktu berita tu, muka dia mesti ada. Ada saja isu yang hendak dia perkatakan. Dia kan orang penting? VVIP lah, makcu." Minah gelak.

"Ohhhh... yang itu. Baru makcu perasan siapa yang Opah kamu maksudkan tu. Iyalah... memang dia tu macam tu. Muka dia... taklah macam Melayu sangat."

"Alah, makcu... muka kita-kita ni, macam Melayu ke? takkan itu pulak nak dijadikan alasan. Sekali pun lama merantau, lama belajar di tempat orang... takkanlah sampai hilang identiti kot. Mat salih pun, kalau duduk tempat kita lebih tiga bulan, dah pandai cakap Melayu. Apa yang susah sangat?"

Makcu gelak. "Iyalah... betul kata kamu. Kata Opah pun betul. Kalau cakap orang putih sampai berbuih, cakap Melayu takkan susah kot? Bukannya nak suruh cakap Arab. Lagipun... memang mak ayah dia tu... VVIP tu, boleh cakap Melayu dengan fasih. Macam kita jugak. Kenapa dia tu tak boleh? Boleh pakai baju kurung aje!"

"Entahlah. Teman pun tak tahu nak kata dah. Agaknya bila cakap orang putih tu... nampaklah pandainya. Kalau cakap Melayu... tak adalah nampak pandainya. Macam biasalah, kan. Kita lagi percaya kalau orang putih bercakap daripada orang Melayu bercakap." Minah membebel.

"Aku tengok... Menteri tu... siapa nama dia? Hak jantan tu."

"Jantan yang mana?" Soal Minah.

"Haaaa... aku dah ingat. Rais Yatim! Boleh pun dia cakap Melayu elok-elok. Cakap orang putih pun berbuih jugak, tapi bila suruh cakap Melayu... ha bukan main elok lagi."

Minah tersenyum.

Wednesday, August 29, 2007

SUPER ELITE!

Opah Minah suka benar tanya soalan yang sama. Asyik-asyik itu saja.
"Dia tu... apa kenanya? Orang putih ke?"
"Taklah, Opah. Macam kita nilah." Jawab Minah.
"Tapi... aku tak pernah tengok dia cakap Melayu. Dia tak tahu ke apa?"
"Entahlah, Opah. Minah pun tak faham kenapa dia tak nak cakap Melayu. Lidah dia keras agaknya. Maklumlah... dia tak biasa sangat cakap Melayu ni. Entah-entah memang tak tahu. Minah tak tahulah, Opah." Terpaksa Minah jelaskan kepada Opahnya itu.
"Tiap-tiap hari dia keluar kat TV ni... tapi mesti cakap orang putih. Tak pernah ke ada yang nak tegor dia supaya jangan cakap orang putih aje. Cakaplah Melayu sama. Awak tu kan orang Melayu?" Bebel Opah Minah. "Opah nengok dia suka pakai baju Melayu, tapi takkan baju dia aje yang Melayunya, bahasa tak payah! Melayu ke apa bendanya macam tu? Dia tu orang beso... kuasa pun beso, tapi semangat Melayu langsung tak ada!"
'Betul juga kata Opah aku tu,' bisik hati Minah. Memang Minah sendiri pun tak pernah lihat VVIP tu bercakap Melayu. Bila ditanya, mesti berbuih mulutnya bercakap dalam bahasa penjajah. Hairan bin Ajaib!
Opah Minah masih tidak puas hati. Tambahnya lagi, "Rasa Opah... mak ayah dia okey aje cakap Melayu. Tak ada pulak tak tahu. Bukan ke mak ayah dia jugak selalu masuk kat TV ni?"
"Ya, betul tu, Opah." Jawab Minah lagi.
"Apa pasal yang dia malu beno nak cakap Melayu? Orang lain... raja ke, Sultan ke... Agong ke... boleh pun cakap Melayu. Kenapa dia tak boleh? Macam mana orang bodoh macam aku ni nak paham cakap dia?" Opah merungut lagi.
"Biarlah, Opah. Dia kan Super Elite. Takkan ada orang yang berani nak tegur dia. Semua orang lain mesti kena tegur kalau tak cakap Melayu... tapi dia ... orang segan kot. Maklumlah... kuasa dia memang besar benar di Malaysia ni." Jelas Minah lagi.
"Isy! Tak gemo beno aku nengok... pangkat beso pun... apa gunanya...kalau tak tahu bawak diri. Kalau dah malu... tak payahlah mengaku dia tu rakyat Malaysia. Tak payahlah pakai baju Melayu tu. Susah beno ke... nak jadi Melayu?"
Minah hanya tergelak sahaja. Tapi dia bersetuju dengan pandangan Opahnya itu. Kalau dah malu... tak payahlah mengaku jadi orang Melayu.

Monday, August 27, 2007

MERDEKA DAN BELACAN

Pada suatu hari, sedang Minah berjalan-jalan di sebuah kedai buku elit, dia terserempak dengan seorang kenalan lama. Mereka pernah kenal semasa tinggal di sebuah pekan kecil di utara. Kenalannya itu, bila melihat wajah Minah, terus menegurnya, dalam bahasa Inggeris. "Kita pernah kenal, kan?"
Minah pun jawab jugalah dalam bahasa pengantar yang sama. "Ya... saya rasa saya memang kenal kamu dulu."
Kenalannya itu bertanya lagi, juga dalam bahasa penjajah yang sama. "Kamu buat apa di sini?"
"Saya ni penulis."
"Oh, penulis? kamu tulis buku apa?"
"Saya tulis novel... dalam bahasa Melayu."
"Bahasa Melayu? Oh... saya tak biasa beli buku Melayu. Tak pandai sangat 'vocab' Melayu ni... teraba-raba dan tercari-cari. Anak-anak saya pun tak biasa. Kami memang tak beli buku Melayu." Kenalan itu bercerita dengan bangganya.
Minah pun beredar dari situ. "Tak apalah... saya nak pergi jumpa kawan-kawan yang ada di sana." Minah minta diri, juga dengan bahasa penjajah.
Dalam hati, Minah tertanya-tanya. 'Dia tak tahu dah cakap Melayu? Bukan nak suruh tulis buku, baca pun tak tahu?'. Masih hati Minah berkata-kata.
Minah terus tersenyum seorang diri, kerana Minah terasa hairan. Mungkin betullah kata orang sekarang, orang Melayu ramai yang dah tak ada identiti, atau pura-pura hilang identiti. Mereka lagi seronok kalau mengaku yang mereka tak pandai berbahasa Melayu. Sebabnya, tak 'cool' kalau mengaku yang mereka baca bahan dalam bahasa Ibunda itu.
Bila Minah fikir lagi, bertambah lucu rasanya. Sebab Minah tahu, kenalannya itu tak adalah merantau bertahun-tahun lamanya di tempat orang... sekadar berjalan-jalan (makan angin) sahaja.
Mungkin kerana kenalannya itu lama tinggal di Lembah Klang. Tapi Minah pun apa kurangnya. dah berpuluh tahun tinggal di Lembah Klang. Malah, Minah dah biasa tinggal lama di negara Mat Salleh, tapi lidah Minah masih lagi boleh bercakap macam orang kampung. Minah makin hendak tergelak, bila fikirkan betapa orang Melayu sekarang ini mudah sangat malu kalau dikaitkan dengan Melayu. Agaknya dia orang fikir yang dia orang tu bukan Melayu. Nak kata macam 'orang putih' tak boleh juga, sebab hidung mata dan kulit... tak ada kena-mengena.
'Apa-apalah... ' bisik hati Minah. Kalaulah Opah kenalannya itu tahu (Opahnya dah lama meninggal), mesti Opah dia sedih, kerana Minah masih ingat lagi. Masa dulu, Opah kenalannya itu memang pun cakap Melayu dengan cucu-cucunya. Begitu juga ibu kepada kenalannya. Memang bahasa Melayu merupakan bahasa Ibundanya. Habis tu, mana pergi bahasa yang dia belajar semasa keluar dari perut ibunya?
Minah tergelak lagi, sebab Minah juga tahu, tentu kenalannya tadi masih tak lupa macam mana nak makan belacan dan tempoyak. Habis tu, kalau belacan dan tempoyak masih dirasakan sedap, kenapa malu nak mengaku yang dia juga sebenarnya memang tahu berbahasa Melayu.
Sedihnya Minah tengok sikap orang Melayu. Tak macam orang Thai, orang Korea atau orang Jepun... yang tak pernah malu untuk bertutur bahasa mereka. Bahasa bukankah melambangkan bangsa dan budaya? Kalau tak ada bahasa, apa agaknya bangsa dan budaya kita? kesiannya....
Seribu kali menjeri 'MERDEKA!' pun tak ada gunanya, sebab merdekakah kita kalau identiti diri pun dah tak ada?
Minah terus pergi.

Bila Menulis Untuk Golongan Elit

Memang saya terlalu sibuk, sampai ada orang yang saya temui semasa hujung minggu lepas, mengatakan yang saya kelihatan cengkung. Mungkin tak cukup tidur. Dalam begitu, saya terpanggil untuk mengetengahkan isu ini. Isu 'Penulis menulis untuk siapa?'.
Ada forum yang saya hadiri baru- baru ini yang banyak membincangkan hala tuju penulis lokal, atau penulis tempatan. Rata-rata, penulis lokal ini merasakan kebimbangan kerana terlalu banyak buku dari luar, tetapi buku yang ditulis oleh penulis tempatan tiada tempat di dunia luar. Bukan itu sahaja, malah banyak rungutan yang dikemukakan oleh penulis-penulis lokal ini, berkaitan dengan betapa payahnya nak menjual buku mereka di negara ini. Ada yang merungut tentang perjanjian dengan penerbit, ada juga yang merungut tentang ketiadaan buku mereka di kedai buku.
Saya tidak terlibat dengan forum itu kecuali mendengar sahaja. Mungkin ketika forum itu dibuka kepada hadirin yang ada, saya tidak merasakan dapat menyumbang apa-apa kerana kebetulan, hampir semua yang merungut itu merupakan penulis-penulis buku elit!
Mengapa saya kata elit, kerana mereka menulis buku dalam bahasa Inggeris dan kerana itu juga buku-buku tulisan mereka itu hanya layak dipasarkan di kedai-kedai buku elit sahaja.
Mungkin kita tertanya-tanya, berapa peratuskah golongan elit di negara ini? Ada sampai 10% kah? Atau jauh lebih kurang daripada itu?
Bagi saya, kita sebagai penulis lokal, sebenarnya banyak potensi, tetapi kita juga perlu kreatif, fikir di luar kotak fikiran biasa dan kena berani untuk mencuba. Kita tak boleh hanya fikirkan golongan elit yang jumlahnya kita tahu memang tak besar. Walaupun golongan elit suka membaca dan mempunyai banyak wang kalau dibandingkan dengan masyarakat biasa, namun mereka juga mempunyai banyak pilihan yang produknya dibawa dari luar. Jadi, apakah potensi penulis elit yang mahu menulis untuk golongan elit di negara ini? Bagi saya... memang tak ada sangat.
Sebagai penulis, saya rasa bangga kalau penulisan saya dibaca oleh semua, tak kira mereka elit atau pun tidak. Lebih membanggakan kalau apa yang saya tulis merupakan mesej yang dapat membantu semua, tak kira mereka orang kaya atau pun tidak.

Wednesday, August 15, 2007

Cari Wanita Kaya?

Saya sedang memandu pagi tadi, bila terdengar perbualan dua orang juruhebah yang mengatakan bahawa mengikut kajian yang dilakukan terhadap 'Dating dalam Internet', 33% daripada lelaki, mencari pasangan wanita yang berpendapatan lebih daripada mereka. Ini bermakna bahawa mereka mencari wanita yang mempunyai pendapatan yang selesa agar hidup mereka (Lelaki) turut akan jadi lebih selesa juga. Kecantikan atau usia muda tidak lagi menjadi keutamaan. Mungkin anda tersenyum bila membaca entri saya ini. Mungkin itulah yang anda sendiri lihat di sekeliling anda.
Bagi saya, ada positif dan negatifnya tentang hal ini. Kalau orang perempuan berpendapatan lebih daripada pasangan mereka, mungkin rumah tangga lebih aman. Biasanya orang perempuan memang lebih jimat kalau dibandingkan lelaki, terutama mereka yang biasa berpendapatan lumayan. Lelaki pula, lagi banyak duit, lagi boros. Ini merupakan pemerhatian saya sahaja, bukan bermakna semua orang serupa.
Dalam begitu, bila orang perempuan lebih kaya daripada pasangannya, ada kecenderungan untuk bersifat lebih berkuasa di dalam keluarganya. Kalau kebetulan suaminya jenis tak banyak cakap dan tak suka tunjuk marah... bermakna bahtera mereka akan dinakhodakan Si Isterilah! Mungkin bila ini berlaku dan sifat 'kuasa' terlalu menonjol, Si Suami akan berasa rendah diri.
Apapun, yang penting ialah perasaan bertolak ansur. Tak kira siapa yang lebih kaya atau berpendapatan yang lebih lumayan, kalau sama-sama mahu berkongsi pendapatan dan perbelanjaan, berkongsi perasaan dan sama-sama memikul tanggungjawab rumah tangga, perkara seperti ini pasti dapat ditangani dengan baik dan rumah tangga akan kekal keharmoniannya.

Monday, August 13, 2007

Burung-Burung yang Berterbangan

Saya masih ingat lagi semasa bersembang dengan seorang remaja Orang Asli semasa di Ulu Geroh, Gopeng, Perak. Ketika itu saya dan Reina sedang berbual-bual di tepi sungai di kaki bukit sambil bermain-main dengan anak-anak ikan yang ada di sungai kecil itu. Sambil kaki menjulur di dalam air yang sejuk, banyak hal yang diceritakan Reina kepada saya, terutama tentang alam semula jadi.
"Siapa yang kejutkan kamu setiap pagi, Reina?"
"Burung," jawabnya.
"Burung?"
"Iya... burung kejutkan saya bila jam sekitar 5 pagi. Waktu itu nanti, akan ada burung yang datang berlagu-lagu dekat rumah saya menyuruh saya bangun."
"Setiap pagi... memang begitu?"
"Ya." Jawab Reina lagi. "Malah... bila jam 11 pagi pun begitu. Burung akan memberitahu kami yang mahu ke sekolah petang, bersiap-siap pula. Di sini, kami tak bergantung sangat dengan jam, kerana kemana kami pergi pun, burung akan maklumkan tentang waktunya."
Bunyi macam lucu, tapi saya percaya dengan apa yang dikatakan Reina. Sekarang ini, di rumah saya, perkara yang sama juga saya perhatikan berlaku kepada saya dan keluarga. Rumah kami agak jauh dari surau atau masjid, dan kerana itu saya terpaksa kunci jam untuk pastikan saya sedar bila masuk waktu Subuh. Tetapi... saya juga perhatikan, sekalipun saya tidak mengunci jam, burung-burung di persekitaran kawasan saya sentiasa mengerakkan saya bila Subuh hampir menjelma.
Malah, yang menariknya, awal pagi tadi, saya juga dikejutkan burung sekitar 4.15 pagi untuk bangun bersahur. Saya memang berpuasa hari ini. Sebelum tidur malam tadi, saya memberitahu anak saya yang saya tidak kunci jam untuk bangun bersahur. "Kalau sedar... nanti Umi kejutkan Nana juga..." katanya kepada saya. Alhamdulillah, burung telah mengejutkan saya untuk bangun bersahur!
Setiap hari, selain dari menulis dan mengaturkan taman, saya juga banyak menghabiskan masa mendengar burung-burung berkomunikasi sesama sendiri. Burung-burung yang berterbangan itu, rupa-rupanya banyak menyampaikan informasi kepada kita.

Friday, August 10, 2007

MIMPI ALHAMBRA

Semalam, saya tersentak buat seketika, bila Irfan menghantar e-mel kepada saya, disertakan sama imej buku berjudul 'CINTA ALHAMBRA' terbitan Dewan Bahasa. Penulis buku itu ialah Hassan Ali. Mula-mula saya agak hairan juga, selepas itu barulah saya perasan yang buku itu mengisahkan pengembaraan, mungkin di Andalusia, Sepanyol.
Untuk makluman pengunjung blog ini, semasa saya mula-mula menghantar manuskrip novel pertama saya kepada Alaf21 sekitar 4/5 tahun yang lepas, judul manuskrip saya itu ialah 'MIMPI ALHAMBRA'. Tetapi, sebaik sahaja novel itu hampir diterbitkan, editor saya (Wan Rohana) bincang tentang tajuk novel saya itu. Kerana orang belum mengenali saya, editor saya takut buku saya payah nak jual nanti , kalau kami terus kekalkan judul yang bunyinya agak berat. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk ubah kepada 'SESUCI CINTA'. Walaupun saya terasa sedikit terkilan ketika itu, tetapi saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak Penerbit, kerana saya percaya mereka lebih tahu apa yang baik atau apa yang tidak. Alhamdulillah, orang ramai menerima dengan baik novel 'SESUCI CINTA' saya itu, dan dari situlah orang mengenali saya sebagai novelis.
Petang semalam , saya menghubungi Wan Rohan (Saja seronok berbual kerana lama tidak buat begitu dengannya), dan saya bercerita tentang imej buku yang saya terima daripada anak saya itu. Yang seronoknya, Wan Rohana juga tidak lupa nama asal manuskrip novel 'SESUCI CINTA'. Katanya, "Eh... ingatlah. Kita yang mula-mula baca manuskrip Kak Aina tu."
Kami berbual-bual buat seketika tentang 'SESUCI CINTA', dan tentu sekali 'BEHZAD', salah satu watak utama dalam novel itu, dibicarakan. Saya tergelak, kerana biasanya, watak itulah yang diingati pembaca saya, dalam 'SESUCI CINTA'.
Semasa saya di Kelantan dulu,menghadiri pelancaran kedai buku, saya didatangi seorang 'Makcik' yang beria-ia bertanya kepada saya, "Buku Behzad, ada? Makcik nak beli. Dulu pinjam orang punya."
Memang lucu bila diingatkan. Ada seorang pembaca saya, yang rajin berjumpa dengan saya di setiap pesta buku KL, akan selalu gunakan dialog yang sama kepada saya. "Kenapalah kamu matikan Si Behzad tu?"
Nampaknya Behzad memang sinonim dengan Sesuci Cinta, lebih daripada Nuraina atau Armand(hero dan heroinnya). Apa-apapun, bila teringat pengalaman pertama buku saya itu diterbitkan, terlalu banyak kenangan manis yang datang membuat saya tersenyum sendirian.

Thursday, August 09, 2007

Menumpang Rasa Sedih

Sejak kebelakangan ini, saya banyak betul buat kerja-kerja menulis. Kadang-kadang rasa penat tak terkira. Yang paling penat ialah otak. Bila terjadi begitu, saya akan berhenti menulis dan berikan tumpuan pada perkara lain.
Antaranya ialah membaca, selain daripada turun ke bawah untuk melihat-lihat taman yang baru kami siapkan (belum sepenuhnya).
Sekiranya saya memilih untuk membaca, biasanya saya akan pilih bahan bacaan yang bukan novel. Saya seronok baca cerita-cerita dalam sejarah Islam dan juga cerita-cerita pendek (kisah benar) dalam buku-buku dari Indonesia yang saya beli atau pun dari negara lain. Saya suka membaca kisah-kisah yang meninggalkan kesan positif untuk diri, atau apa orang kata, cerita yang bermotivasi.
Baru-baru ini, saya membaca sebuah kisah, ia itu cerita daripada seorang ibu yang kehilangan anaknya melalui penyakit AIDS. Anaknya itu telah dijangkiti virus membunuh itu ketika usianya 13 tahun, melalui penukaran darah (dia mengidap sejenis penyakit kekurangan darah ketika itu). Walaupun doktor menjangkakan yang usianya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja, tetapi remaja itu terus hidup selama 6 tahun lagi.
Dalam cerita benar yang dipaparkan ini, saya tertarik dengan cara wanita (Si ibu) itu mengatasi perasaan sedih berdepan dengan satu kematian anak yang disayangi. Dia menceritakan bagaimana dia terpaksa memberi semangat kepada anaknya itu untuk berjuang dan dia juga menceritakan bagaimana dia terpaksa memujuk hati bila akhirnya anaknya itu menemui ajalnya.
Bila saya membaca cerita ini, saya tahu dan dapat rasakan bahawa bagi mereka yang berdepan dengan situasi yang begini, tentu sekali apa jua dugaan lain yang mungkin mereka tempuhi, tak akan meninggalkan kesan yang mendalam seperti apa yang terpaksa mereka tanggung bila kehilangan seorang anak. Bayangkanlah mereka yang terpaksa hilang banyak anak dalam satu masa. SubhanAllah!
Sebagai insan yang menumpang di alam fana ini, tentu sekali kita akan sentiasa berdepan dengan dugaan. Setiap dugaan yang kita lalui itu adalah sebuah ujian untuk kita, iaitu Tuhan menguji keimanan kita. Walaupun kadang-kadang perit, namun kalau kita percaya kepada Allah SWT, jiwa kita akan dapat mengatasi segalanya.
Bagi seorang ibu, nilai anaknya tentu sekali merupakan yang paling berharga... namun kita juga harus ingat bahawa semua yang ada ini tidak kekal.
Sebagai penulis, saya mencari ketenteraman jiwa dalam pembacaan seperti itu. Bila kita membaca tentang penderitaan orang lain, tentu sekali kita dapat merasakan keperitannya sama dan mungkin perasaan itulah yang membuatkan kita lebih waras untuk berdepan dengan dugaan yang sentiasa datang mungkin setiap hari!

Wednesday, August 08, 2007

JUAL BUKU

Bukannya mudah nak jual buku, terutama bagi penerbit yang masih berusia muda. Hendak dapatkan penulis dah satu cerita, tetapi yang penting bila buku dah siap, mana nak hantar?
Kalau kita terlalu bergantung pada pengedar, kita akan rasa keperitannya satu hari nanti. Pengedar rajin buat hal. Ada-ada saja. Kadang-kadang, pada mulanya dia bayar dengan baik. Bila sampai masa, dia pun bayar kita. Tapi bila dah banyak wang terkumpul, dia pun buat hal. Ada-ada saja alasannya untuk bayar lambat. Mungkin dia ingat senang nak buli penerbit baru.
Ada pengedar tu pula... dia ada agenda tersendiri. Dia akan edarkan buku mengikut prioriti yang dia sendiri tahu. Mungkin bergantung kepada jumlah keuntungan yang dia akan perolehi dari penjualan buku itu nanti, bukan bergantung kepada kesedapan atau sambutan pembaca. Sebagai penerbit, memang payah nak kawal, sebab dia yang berurusan dengan orang kedai. Mana dia nak letak buku kita, ikut suka hati dialah. Kadang-kadang, mungkin dia tak letak langsung!
Ada pula tu, kerana mungkin kutipan keuntungan kian hari kian merosot, maka pengedar tu pun bertukar dan mula jadi penerbit buku.
Apa akan terjadi bila pengedar dah jadi penerbit buku? Tentulah dia akan utamakan bukunya dulu. Di mana-mana pun, dia akan pastikan buku-bukunya diletakkan di depan. Tak kiralah sama ada buku dia sedap atau tidak, elok atau tidak, yang penting buku dia mesti ada di semua tempat dan di depan sekali. Tak cukup dengan itu, walaupun buku dia tak sedap dan tak elok, dia akan letakkan label 'best seller' di depan kulit bukunya atau mungkin pada posternya. Pembaca pun berebut-rebut beli!
Apa akan terjadi pada penerbit yang bergantung sepenuhnya pada pengedar tadi? Mudah saja... kalau tak buat sesuatu, atau tak cari jalan untuk atasi masalah ini, penerbit ini akan bungkus. Pengedar tadi akan besarkan syarikat penerbitannya, kerana semua penulis dari penerbit yang bergantung kepada pengedar tadi, akan lari kepadanya pula.
Memang bukan senang nak jual buku!
Kalau kita pilih untuk jadi penerbit, kia kena ada strategi. Kalau tidak, memang kita tidak selamat dalam dunia buku!

Sunday, August 05, 2007

Bercinta Selepas Berkahwin

Memang jarang kita dengar, kan? Kalau dulu, itu memang selalu berlaku. Malah, ibu saya berkahwin dengan ayah saya, tanpa mereka berkenalan terlebih dahulu. Perkahwinan ibu saya telah diatur keluarganya. Tahu-tahu sudah jadi suami isteri. Kalau kita bercakap tentang perkara ini sekarang, mungkin ramai yang akan berkata... 'Ah, cerita dongeng!'. Mereka tak akan percaya yang perkara seperti ini boleh berlaku lagi.
Orang sekarang mahu berkenalan dan bercinta dulu sebelum berkahwin. Namun dalam begitu, banyak juga yang saya tahu, berkahwin dulu dan kemudiannya bercinta. Biasanya mereka ini ditemukan jodoh melalui perancangan yang diaturkan. Mungkin ada 'tukang mencari jodoh' yang menguruskannya. Nampak macam pelik, tetapi kadang-kadang cara ini memang menjadi, terutama untuk anak-anak gadis yang tak biasa berkawan dengan lelaki yang bukan muhrim, dan juga lelaki-lelaki muda yang tak pandai mencari teman wanita. Ramai juga anak muda yang suka kalau bakal isteri mereka dipilih saja ibu bapa. Kata mereka, 'mudah begitu'.
Ada juga yang beranggapan bahawa ibu bapa mereka lebih berpengalaman untuk memilih jodoh mereka. Perkara seperti ini sering terjadi kepada anak-anak lelaki yang jadual hariannya sibuk. Ada juga ibu bapa yang suka memilihkan jodoh untuk anak-anak mereka kerana sebab-sebab tertentu.
Ada seorang teman bercerita kepada saya bahawa dia berkenalan dengan suaminya melalui Internet sahaja. Ketika itu mereka sedang belajar di USA, tetapi di tempat yang lain dan jauh jaraknya. Mereka dikenalkan teman, yang kebetulan mengenali kedua-duanya. Kerana jarak yang jauh, mereka dikenalkan melalui Internet. Dari situ mereka berkenalan sebagai kawan biasa sahaja. Kemudian, mereka atur untuk berjumpa, untuk melihat diri masing-masing, dengan ditemankan seorang teman. Bila sudah bertemu, mereka putuskan untuk terus berkahwin. Si Lelaki menghantar surat kepada ayah Si Perempuan, meminta izin untuk menikahi anaknya di USA. Kata teman saya itu, mereka bercinta selepas berkahwin. Kini anak sulungnya sudah berusia 12 tahun. Alhamdulillah.
Banyak juga cerita yang saya dengar tentang perkahwinan yang diaturkan. Seorang teman menceritakan bagaimana anak lelakinya yang sudah berusia lebih 30 tahun meminta supaya bakal isterinya dicarikan. 'Saya tak tahu isteri yang macam mana yang sesuai untuk saya'. Dia kata dia keliru dan dia juga tidak tahu bagaimana mahu berkenalan dengan wanita. Dia takut kalau nanti wanita yang cuba dipikatnya itu menolak dirinya atas alasan sudah mempunyai teman lelaki.
Bunyi macam kelakar tetapi ini adalah realiti. Bukan semua orang lelaki pakar mengorat dan bukan semua orang lelaki fikirkan sangat tentang 'bercinta' ini. Mungkin ramai wanita (terutama anak gadis) sering fikirkan keindahan alam percintaan, tetapi ramai pemuda yang saya tahu tidak ambil kisah tentang itu. Bagi mereka, bila ada jodoh nanti, adalah. Selalunya ini terjadi kepada lelaki-lelaki profesional yang terlalu banyak masanya ditumpukan dalam bidang profesionalnya.
Dalam begitu, ramai juga wanita muda yang saya kenali tidak berikan perhatian tentang mencari pasangan, juga kerana kesibukan. Sibuk belajar dan mungkin kemudian, sibuk pula bekerja. Bagi mereka yang begini cara hidupnya, mungkin sesuai ada orang ketiga yang berusaha untuk carikan pasangan yang sesuai untuk mereka.
Okey.... siapa nak buka agency perkahwinan bagi membantu mereka ini?

Friday, August 03, 2007

Kalau Bermadu, Macam Mana?

Saya tahu, tajuk entri saya ini bunyinya macam 'semacam' saja, bukankah begitu? Mungkin ramai yang masuk ke sini, malas nak baca, terutama orang perempuan. Maklumlah... bermadu bukan merupakan satu perkara yang menarik buat kaum wanita.
Sebenarnya saya hendak bercerita tentang beberapa peristiwa yang saya anggap menarik tentang perkara ini. Mungkin bagi sesetengah orang perempuan, 'bermadu' merupakan satu 'tragedi' kalaulah ia berlagu dalam hidupnya. Namun begitu, ramai juga kaum hawa yang melihatnya sebagai satu perkara yang positif.
Dua minggu yang lepas, seorang teman baik saya menghubungi saya. "Nak tahu? Saya ni nak pergi majlis perkahwinan, " katanya.
"Siapa yang nak kahwin ni?" soal saya.
"Ingat pada Zara? Isteri arwah Halim?"
"Oh... dia dah nak kahwin?"
"Ya. Halim pun dah lebih tiga tahun meninggal. Lagipun... Zara tak ada anak."
"Nak kahwin dengan siapa?"
"Dengan ketua jabatannya."
"Bujanglah ni..." saya beranggapan.
"Oh, tidak... bakal suaminya tu, sudah beristeri dan ada anak-anak."
"Isterinya, bagaimana?" soal saya lagi, ingin tahu.
"Isterinya okey. Dia dah izinkan. Katanya... hari ini, dia akan ada sama untuk menghadiri upacara pernikahan tu."
"Baguslah tu... " kata saya, selamba.
Kawan baik saya tu tak puas hati, lalu dia menambah. "Eh... awak tak marah?"
"Nak marah pasal apa pulak? Bukan suami saya yang nak nikah lagi, tapi suami dia." Saya tergelak. "Lagipun... isterinya tu dah bersetuju... baguslah. Lainlah kalau dia tak suka, tapi suami dia buat juga. Mungkin dia tak nak suami dia melakukan maksiat, atau mungkin... dia nak cari pahala... nak jadi isteri solehah. Kalau terjadi kepada kita pun, mungkin kita kena fikir-fikirkan juga, bukan terus nak melatah."
"Oiush... awak ni... macam relaks aje." Kawan saya masih tak suka.
"Tak apa. Kita kenalah hormati tindakannya. Setidak-tidaknya dia menyelamatkan perkahwinannya. Kalau bermadu sekalipun, tapi ada kefahaman antara yang bermadu tu, mungkin lebih baik daripada perkahwinan yang mempunyai banyak penipuan dan huru-hara."
Saya masih teringat kisah yang diceritakan seorang teman lain tentang perkara yang sama. Semasa itu, teman saya sedang berada di Afrika Selatan. Dia mengiringi suaminya yang sedang menghadiri mesyuarat penting di sana. Dalam rombongan itu, teman saya telah bertemu dengan seorang wanita yang sibuk membeli barang-barang untuk dibawa balik. Semua barang-barang yang dibelinya, dibeli sepasang. Kalau beli baju, dia beli dua helai yang sama warna. Begitu juga dengan beg tangan dan barang-barang lain. Jadi, teman saya itu agak hairan dan bertanya kepada wanita tersebut. "Kenapa awak beli sepasang yang sama?"
Jawabnya, "Oh, saya beli juga untuk madu saya yang berada di rumah. Dia tak dapat ikut sebab sibuk dngan anak-anak."
Jawapannya itu membuatkan teman saya bertambah hairan. "Habis tu... kenapa beli yang sama warna juga?"
"Sebenarnya... saya nak jaga hati dia. Dia selalu kena tinggal, sebab dia ada anak-anak yang perlu diberi perhatian. Saya... memang tak ada anak, jadi mudah saya ikut suami saya."
Wanita itu bercerita lagi kepada teman saya. Katanya, suaminya terpaksa berkahwin lagi kerana mereka tak punyai zuriat. Wanita itu mengizinkan suaminya untuk memadukannya kerana dia juga tahu, walaupun suaminya berkahwin lagi, suaminya masih menyayanginya. Baginya, bukan hanya dia (wanita itu berkorban), tetapi juga madu dan suami mereka. Madunya berkorban kerana terpaksa berkongsi kasih seorang suami yang sudah punyai isteri. Dia berkorban dengan mendapatkan zuriat untuk keluarga mereka. Suaminya pula, terpaksa berkahwin lagi, walaupun dia masih mencintai isteri pertamanya sepenuh hati.
Memang keliru! Tetapi inilah hakikatnya. Walaupun ramai kaum wanita yang tak sanggup dimadukan, namun masih ada juga yang melihat perkara 'bermadu' sebagai sesuatu yang positif. Saya tabik kepada mereka!!