Assalam semua.
Selamat pagi dan alhamdulillah hari ini cuaca baik. Dah berhari-hari angin agak kencang dan tak hujan-hujan, tapi cuaca tetap cantik dan segar.
Pagi Isnin ini, mungkin elok juga kalau kita panjatkan doa kepada Ilahi, "Ya Allah, anugerahkanlah rasa takut kepada-Mu, yang membatasi antara kami dan perbuatan maksiat kepada-Mu, dan anugerahkanlah ketaatan kepada-Mu yang akan menyampaikan kami ke syurga-Mu. Ya Allah, jangan pernah Engkau tinggalkan dosa, melainkan Engkau ampuni. Tidak ada kegaulan kecuali Engkau berikan jalan keluar, tidak ada hutang kecuali Engkau penuhi. Ya Rabb kami, berikan kepada kami kebajikan di dunia dan akhirat, serta jagalah kami dari api neraka." Aamiin ya Rabbil alamin, semoga kita dilindungi-Nya sentiasa.
Pagi ini saya nak berbual tentang apa yang kita inginkan dalam kehidupan kita. Mungkin bila saya sebut sahaja tentang keinginan, banyak minda yang terbayang-bayangkan 'simbol duit' kerana rata-rata kita yang hidup ini membayangkan bahawa duit mampu untuk dapatkan kita bahagia kerana dengan duit, kita boleh beli macam-macam. Tidak dinafikan yang wang ringgit mampu membantu kehidupan kita, namun duit bukan segala-galanya. Malah, kalau anda dah ada banyak pengalaman, anda juga akan tahu bahawa ada duit atau tidak, bukan merupakan sesuatu yang terlalu penting. Kadang-kadang ada orang punyai duit yang banyak tetapi tak pernah rasa bahagia pun. Jiwa tetap kosong.
Pun begitu, sudah pasti sebagai manusia kita mempunyai keinginan tertentu. Sentuh tentang duit, ada yang banyak duit tapi tak suka pun untuk berjalan-jalan atau untuk melawat mana-mana tempat. Ada tu, kalau tak ada sponsor, tak rasa pun nak ke mana-mana. Begitu juga dengan hal-hal lain, mereka tak teringin kerana takut duit cepat habis!
Tapi... ada orang, walaupun duit tak banyak mana, tapi kerana keinginan, mereka akan lakukan macam-macam untuk mencapaikan keinginan mereka itu, asalkan jalannya yang benar, okey saja buat begitu. Ada orang sanggup untuk mencari kerja sambilan untuk melihat negara orang. Bila sampai sahaja di mana-mana, mereka akan mencari kerja. Dapat cukup modal, mereka bergerak lagi. Akhirnya dapatlah mereka ke sana ke mari. Lagi banyak berjalan, tentulah banyak ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang dirasai. Lagi banyak berjalan dan melihat budaya orang, lagi terbuka minda dan hati untuk memahami insan lain. Duit tak mampu untuk beli semua itu.
Kita selalu menganggapkan bahawa hidup kita sudah ditentukan dengan takdir Ilahi, namun kita sering terlupa bahawa Allah memberi kita akal fikiran untuk membuat pilihan di atas apa jua yang kita mahu lakukan dan mencapai keinginan. Namun kalau kita silap pilih dan memilih untuk lakukan 'kejahatan' atau apa-apa yang bertetangan dengan agama, semestinya kita menerima padahnya nanti. Sebaliknya, kalau kita berfikir dan memilih sesuatu yang kita tahu akan membawa kita ke jalan Allah, hati dan jiwa pasti akan merasa tenteram. Insyaa-Allah. Kata orang putih, "it's all about making the right choice." Namun sebagai manusia kerdil, sekalipun mempunyai pelajaran yang tinggi, kadang-kadang minda kita tak mampu membuat keputusan yang tepat lalu melakukan perkara yang tersesat. Jangan lupa kita tetap ada Ilahi, seharusnya kita memohon ampun dan taubat pada-Nya, agar kita kembali ke jalan yang lurus.
Semoga iman kita tetap pada Tuhan yang maha satu dalam perjalanan untuk mencapai keinginan. Aamiin.
Wassalam.
Gambar tahun lepas ketika kami di Chiangmai