Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Wednesday, July 20, 2011

Kenapa Dia Tak Setia?


Salam

Sebelum saya masuk ke tajuk entri kali ini, saya ingin maklumkan bahawa semalam saya kehilangan seorang teman akibat barah. Dia merupakan seorang pensyarah di UKM. Semoga rohnya dirahmati Allah SWT.

Semalam juga, saya berkesempatan untuk berada di sebuah sekolah menengah di kawasan Lembah Klang. Sekolahnya menarik dan cantik, maklumlah sekolah baru, terletak pula di kawasan yang indah juga. Kebetulan, cikgu-cikgunya sangat baik, begitu juga dengan pelajar-pelajarnya. Alhamdulillah. Semoga mereka akan tertarik untuk menulis. Insya-Allah.

Berbalik kepada judul hari ini, saya teringat dengan cerita seorang teman. Katanya, "Dulu dia memang sayangkan saya. Maklumlah, saya ni bukannya cantik pun, sedang-sedang sahaja. Dulu, dia juga hidup cara sedang-sedang. Mungkin berada di kategori yang agak susah juga. Sebab itulah dia pilih saya. Sesuai dengan kedudukannya. Tapi sekarang dia dah jauh lebih senang. Maklumlah, kerjayanya cemerlang. Orang semua dah kenal dengan dia. Jadi... saya ni dah tak sesuai untuk dia. Tak setaraf lagi. Tak macam dulu. Sebab tu lah dia kata dia kena cari yang lain, yang lebih sesuai untuk kedudukannya."

Itulah keluhan hatinya. Malah, kisah itu bukan kisah yang 'solo', mungkin terlalu banyak kisah yang seperti itu. Dulu okey, sekarang dah tak okey. Memang sedih kita mendengarnya, tetapi itulah hakikat dan realiti dunia. Manusia boleh berubah hati. Kesetiaan bukan merupakan sesuatu yang perlu dihormati.

Bila tahap ekonomi berubah, kerap kali juga hati turut berubah.

Perlukah kita lakukan sesuatu untuk ikut tahap ekonomi kita? Maksud saya, kalau kita rasa kita tak cantik sangat, tapi bila suami berubah status ekonominya, kita turut ubahkan rupa kita pula?

Adoi... peninglah kepala.

Tapi... bagi sayalah, biasanya, tak kiralah lelaki atau perempuan, kalau mereka jenis yang tak setia, mereka akan terus begitu. Kalau tak hari ini, esok-esok mereka akan berubah juga. Mungkin alam persekitaran mereka yang buat mereka jadi begitu. Rasa perlu untuk berubah, mungkin tiba-tiba sudah jadi bosan dan jemu dengan yang satu itu.

Hoi kesiannya.

Tapi bukan semuanya begitu. Ramai yang terus setia hingga akhir hayat.

Sebenarnya juga, hidup memangnya macam itu. Tak mungkin tak ada apa-apa yang berlaku. Kalau tak begini akan jadi pula begitu. Cuma kita sebagai manusia, kenalah terima segala dugaan yang datang. Ujian yang diberikan Tuhan kepada kita ialah untuk menyedarkan kita tentang kewujudan-Nya. Betapa besarnya kuasa Allah SWT.

Tak usah kisahlah kalau ada yang tak setia. Mereka hanya sekadar manusia biasa. Kalau hari ini mereka lakukan ini kepada kita, esok-esok mungkin mereka pula yang terkena.

Cintailah Tuhanmu, Allah SWT juga akan terus mencintaimu. Insya-Allah.