Pengacara Kids on 2 di TV2

Sekiranya anda mengenali atau mempunyai anak yang masih bersekolah dan bijak berbicara, hubungilah pihak KarnaDya untuk diujibakat dalam bidang pengacaraan. Inilah masanya untuk mengasah bakat anak-anak kita!

Terus masuk ke laman web KarnaDya!

Followers

Wednesday, February 10, 2010

Tak Berpelajaran Tinggi


Bagi saya memang tak salah kalau tak berpelajaran tinggi. Bukan bermakna bila ada pelajaran tinggi kita akan menjadi manusia yang jauh lebih baik daripada mereka yang lulus setakat PMR atau SPM sahaja. Ilmu boleh kita timba di mana-mana sahaja dan bila-bila sahaja. Tak masuk universiti pun tak apa. Bukan berdosa pun. Yang penting, kita terus cuba mencari ilmu sepanjang hayat kita. Tak kiralah bagaimana cara sekalipun.

Saya mengenali beberapa orang yang tak pernah pun jejak di mana-mana menara gading. Namun, sebagai manusia, mereka jauh lebih baik daripada sesetengah orang yang berpelajaran tinggi. Kalau kita diberi peluang untuk belajar, mungkin terus ke menara gading dan mampu pula untuk melakukannya, janganlah kita menolak. Namun... kalau tak berdaya, biarkan sahaja. Seperti yang saya katakan tadi, ilmu boleh dituntut bila-bila masa sahaja, asal kita tak jemu melakukannya.

Menantu saya(isteri anak sulung) mempunyai teman sekuliah (dia sedang mengikuti program sarjana) yang datangnya dari pelbagai negara di luar sana. Kami pernah bersembang-sembang dengan rakan-rakannya itu (ada yang datang dari negara China, Somalia, Arab Saudi dan lain-lain). Mereka agak hairan juga dengan kebanyakan rakan sekelas mereka yang merupakan orang tempatan (rakyat Malaysia). Walaupun negara ini (terutama KL)kelihatan seperti ke depan dan agak moden, namun malangnya, rakyatnya tidak kelihatan seperti itu. Kata mereka kepada kami, kebanyakan kawan-kawan mereka tak tahu apa-apa pun tentang negara asal mereka. Ada yang tak tahu apa-apa bila disebut 'Somalia' atau daerah tertentu di negara China. Mereka terpinga-pinga, tak dapat bayangkan apa yang ditutur oleh rakan mereka yang datang dari luar ini.

Bayangkanlah remaja kita yang suka melepak di merata-rata tempat di Kuala Lumpur. Tahukah mereka apa yang sedang berlaku di Haiti baru-baru ini? yang penting tahukah mereka di mana letaknya Haiti?

Saya teringat semasa tinggal di United Kingdom dulu. Memang ada remaja Britain yang tak tahu Malaysia itu terletak di mana. Tetapi mereka itu merupakan 'mat-mat jalanan'. Kalau kita bercakap dengan pelajar (sekolah dan universiti), payah nak jumpa yang tak tahu pasal Malaysia. Begitu juga semasa saya ke negara-negara lain... China, Sepanyol, Jerman, Belanda, Yemen, Saudi, UAE, Kanada, USA dan lain-lain... biasanya rakyat mereka tahu tentang negara-negara di Asia. Orang teksi pun tahu di mana letaknya Malaysia. Semestinya mereka yang tinggal di Asia Tenggara tahu tentang Malaysia. Orang Thai, orang Kemboja, Indonesia, Filipina... tapi remaja kita tahu ke tentang tempat-tempat ini?

Kita sebagai ibu bapa janganlah terlalu mengharapkan agar ilmu seperti ini diturunkan kepada anak-anak kita semasa di sekolah. Lebih baik kita sendiri yang usahakan agar anak-anak kita tahu tentang dunia luar. Jangan biarkan anak kita hidup macam katak di bawah tempurung. Biarlah anak kita tak sekolah tinggi (Tak masuk universiti), tetapi ilmu di dadanya cukup untuk membuatkan dia jadi manusia yang tahu banyak perkara di dunia ini.

*GAMBAR GADIS YUNNAN DI NEGARA CHINA

Tuesday, February 09, 2010

Dulu-dulu dan Sekarang




Saya melihat banyak perbezaan di antara orang dulu-dulu dan orang sekarang. Mungkin sistem pembelajaran yang diamalkan sekarang banyak membezakan orang dulu dan orang sekarang. Maksud saya dengan orang dulu ialah orang yang dididik dengan sistem pembelajaran LCE, MCE, HSC... sekarang ni, PMR, SPM, STPM. Lebih kurang macam tu lah. Kalau kita tengok budak-budak sekarang, macam nak gila mengutip 'A' dalam apa-apa peperiksaan yang diduduki mereka. Kadang-kadang macam nak semput dada mendengar keputusan mereka. Sampai berbelas-belas 'A' dalam ujian SPM. Begitu cemerlang sekali. Zaman dulu, kalau dapat 6 atau 7 'A' dan nak meletup dunia dibuatnya!

Tapi yang peliknya, budak-budak sekarang tak tahu sangat apa-apa di dunia luar. Kalau tak percaya, pergi tanya. Dapatlah 20 atau 30 'A', tanya tentang mana-mana negara di benua Afrika atau di Amerika Selatan, mungkin mereka tak pernah dengar pun kewujudan negara-negara itu. Jangankan geografi, kalau sejarah luar lagi mereka tak tahu apa-apa. Apatah lagi politik negara luar. Itu tak apa lagi, tanya pula tempak-tempat di dalam negara ini, itu pun mereka tak tahu. Memang pelik.

Saya bersembang-sembang dengan adik saya, seorang penerbit filem dokumentari dan program televisyen. Dia memberitahu saya, seringkali dia bertemu dengan remaja yang ibu bapanya orang senang-senang, tetapi jarang-jarang melihat tempat-tempat di Malaysia ini. Tinggal di KL tetapi Terengganu dan Kelantan pun tak pernah pergi. Mereka lebih teruja berbelanja untuk membeli telefon bimbit yang mahal-mahal, playstation... atau apa-apa alat-alat elektronik yang mahal dan sofistikated. Lebih suka makan-makan di restoran 'fastfood', melepak di shopping complex! Kesiannya.

Cuba tanya mereka di mana letaknya negara seperti Ethiopia dan apakah nama ibu negaranya? tentu mereka tak pernah dengar pun tempat bernama Addis Ababa. Tanya lagi tentang tempat-tempat seperti Albania, Bulgaria, Armenia, Belarus atau Estonia. Entah di mana letak benuanya pun mungkin mereka tak tahu. Kalau kebetulan ibu dan bapa mereka tak ambil kisah, tak usah haraplah budak-budak ini akan tahu tentang dunia luar.

Mungkin mereka biasa mendengar negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, England, tapi ramai yang suka 'confused'. Ada yang tak tahu London dengan England itu tak sama. Ada yang tak tahu pun England dan Amerika itu adalah negara yang berbeza.

Kalau anda mempunyai anak-anak atau adik-adik yang masih muda, ajarlah mereka dari sekarang agar mereka tidak ketinggalan zaman suatu hari nanti. Saya sangat sedih kalau saya berbual-bual dengan remaja dan mereka tak tahu apa-apa tentang dunia luar. Tak usahkan luar negara, luar daerah pun mereka tak tahu sangat.

Ayuh... cuba kita ubahkan cara hidup kita hari ini. Biar kita tak sampai di tempat-tempat itu tetapi kita tahu serba sedikit tentang dunia luar ini. Jangan biarkan kita tergila-gilakan untuk dapat banyak 'A', tetapi terperangkap dalam dunia yang tertutup!

Komputer ada, Internet pun ada, jom berkenalan dengan dunia luar.

Monday, February 08, 2010

Aku Terkesima



Hujung minggu yang lebih banyak relaks. Pergi shopping-shopping,dan hari Ahad pulak (sebelah malam), kami buat BBQ untuk keluarga (Anak menantu dan besan). Kebetulan adik saya dan anak saudara saya datang, begitu juga dengan seorang teman dan isterinya. Boleh tahan meriah. Anak-anak saya memang kuat makan kambing. Menantu lelaki saya memang hantu kambing. Kebetulan juga, menantu saya yang kedua pandai buat kebab, memang laku siot!

Semasa petang itu, sempat saya meninjau-ninjau komputer saya. Biasalah, kan... tak boleh terlalu berjauhan dengan komputer. Saya baca beberapa e-mel daripada pembaca-pembaca saya... semuanya memberansangkan dan menambahkan semangat saya untuk menulis. Saya meninjau juga blog saya... semalam memang tak update pun entri, tapi sempat melihat blog salah seorang follower.

Semasa membaca entri di blognya, saya terkesima. Kerana mungkin dah lupa apa yang saya tulis dalam novel saya 'HANYA KITA BERDUA'. Pembaca saya ini bercerita tentang novel saya itu. Katanya ada bahagian yang dia rasa sedih dan ada yang melucukan. Saya baca lagi... dia membentangkan ayat-ayat yang membuat dia berasa sedih. Yang lucunya, saya pula menangis membaca ayat-ayat yang dibentangkannya! Masya-Allah... bukankah itu novel saya? Kelakar sungguh bila diingatkan kerana saya dah lupa apa yang saya sendiri tulis. Saya juga tergelak apabila dia membentangkan ayat-ayat yang dia kata 'lucu'.

Untuk pengetahuan anda, ayat-ayat sedih yang saya aturkan dalam novel itu adalah ayat-ayat real yang saya pinjam daripada sepupu saya. Dia kehilangan suaminya (jatuh helikopter) dan semasa saya bertanya pengalamnnya itu, itulah ayat yang dituturkannya kepada saya. Perasaannya apabila suaminya pergi dengan tiba-tiba sahaja. Memang sedih. Semasa dia bercerita, sepupu saya itu tenang sahaja tetapi saya yang menangis kesedihan.

Semoga pembaca-pembaca saya sentiasa menghayati dan terhibur dengan semua novel-novel saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menjadi pembaca setia. Saya memang sayangkan anda semua dan semoga segala mesej yang saya selitkan dalam novel-novel saya itu berguna untuk anda jua.

*Gambar-gambar Pantai Remis yang menjadi latar novel 'Hanya Kita Berdua'

Friday, February 05, 2010

Life Goes On



Petang semalam, saya bersembang-sembang dengan seorang teman yang baru kehilangan suami. Saja nak tanya khabarnya. Kami berbual-bual dan sebelum mengakhiri perbualan, saya bertanya dengannya. Saya agak rapat juga dengan dia tetapi sebelum ini tidak tergamak pula hendak bertanya. "Yang lagi satu tu macam mana? datang tak masa hari arwah meninggal?" Itulah soalan saya. Sebelum itu, saya minta maaf dulu, takut-takut kalau soalan saya akan melukakan hatinya.

"Datang. Anak saya yang panggil dia. Takkan tak bagi tahu, abang pun suami dia juga. Walaupun saya menyampah dengan dia, tapi dia ada dua orang anak dengan abang. Masih kecil pulak tu. Tak sampai hati pulak kalau tak bagi tahu. Berdosa nanti." Itulah jawapannya tentang madunya. Madunya itu merupakan pembantu rumahnya dahulu. Tiba-tiba berkahwin dengan suaminya dan sudah mendapat dua orang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Sekarang ini macam mana? siapa yang tanggung dia?" masih saya menyibuk hendak tahu.

"Dia kerja jaga anak-anak orang. Saya dengan anak saya membantu juga. Kesian pulak tengok anak-anak dia tu. Budak-budak tu adik-adik anak saya. Waris kami juga." Kata teman saya.

"Baguslah tu." Kata saya lagi. "Biarlah awak buat baik kepada dia dan anak-anak dia. Kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Sampai masa kita akan pergi jua. Semua yang ada akan kita tinggalkan."

"Ya. Sebab tu lah saya tak nak cari dosa. Apa hak dia, saya berikan. Saya bukannya tamak. Apa saya nak buat dengan apa-apa yang ada ni. Nanti saya juga akan pergi. Budak-budak tu masih kecil."

Saya melepaskan nafas panjang. Begitulah hidup kita. Kita tak tahu perjalanannya. Mungkin hari ini segala-galanya terang-benderang, esok pula ribut taufan atau mungkin dilanda tsunami. Wallahua'lam. Apa-apa pun, biarlah kita memberi bunga sekalipun kita diberi segala yang busuk. Kerana dengan memberi bunga yang harum itu, kita akan berjaya untuk melangkah ke depan. Life goes on, kata orang putih. Apa sekalipun yang terjadi, kita kena reda dan terpaksa terus melangkah juga. Biarkan sejarah dilipat dalam peti memori dan yang di hadapan kita mencapainya dengan perasaan bersyukur dan pasrah. Semoga Tuhan memberkati hidup dan akhirat kita. Insya-Allah.

Thursday, February 04, 2010

Cantik Ke?



Ramai yang takut kalau tidak kelihatan cantik. Malah, bukan perempuan sahaja yang fobia tetapi lelaki juga. Kalau boleh, semuanya hendak kelihatan 'perfect'. Wajah yang cantik, hidung tajam mancung, mata seksi macam mata kucing, bibir gebu dan dagu runcing. Aduhai...

Kalau ada duit banyak dan tak kisah boleh ke tidak, itulah jadinya kepada muka. Akan dibuat pengubahsuaian. Bukan rumah sahaja yang boleh diubah suai, tetapi wajah juga. Kulit muka pun boleh dicucuk botox... paling kurang sebulan sekali agar muka kelihatan tegang, licin dan tampak muda!

Begitulah keadaan hari ini, segala-galanya moden dan berteknologi tinggi. Namun, hebat mana sekalipun kita, takkan mampu melawan ciptaan Tuhan. Ada ketika, kerana diubah sana sini, akhirnya wajah yang berupa sudah hilang dan jadi pelik, mungkin juga menakutkan. Walaupun pada mata kasar kita, mungkin hidung mancung itu cantik, tetapi bukan semua muka kena. Ada kala, hidung sedang-sedang itu cantik juga, mungkin lebih kena dengan mulut dan mata kita. Begitu juga mata. Ada orang kata mata bulat cantik, ada pula kata mata macam kucing cantik... tapi bagi mata saya... mata sepet pun tak kurang cantik!

Sebenarnya apa yang kita takut sangat pada rupa? Kalau kita jaga dengan baik anugerah Tuhan kepada kita, insya-Allah kita tak perlu takut apa-apa. Kecantikan sebenarnya datang dari dalam diri. Kalau kita baik hati, ikhlas, jujur, sentiasa ingat pada Tuhan, insya-Allah muka kita akan berseri-seri. Tak payah cucuk apa-apa pada muka, sekadar menjaga kulit kita dengan baik, semuanya akan kekal menarik.

Buatlah apa pun, akhirnya kita akan mati juga. Tak payah takut sangat kalau kulit kita mula ada 'line', atau rambut beruban... atau gugur, itu semuanya perkara biasa. Yang penting kita jaga kesihatan. Apa yang ada pada diri kita, kita jagalah dengan baik.Amanah Tuhan buat kita. Tak payah kita beria-ia mengubahsuaikannya.

Bila bangun pagi, lihatlah pada muka kita di cermin. Kalau anda kata ketika itu wajah anda kelihatan cantik berseri-seri, maka cantiklah ia. Bagi saya, waktu pagi begitulah 'the best'... saya selalu suka tengok muka sendiri apabila bangun pagi!

Wednesday, February 03, 2010

Novelis Perempuan Tak Hebat?





Dunia sastera di Malaysia berada di dalam tangan kaum lelaki. Apa-apa sahaja, biasanya diberikan kepada lelaki, termasuklah segala 'recognition' atau penghargaan. Kalau ada untuk perempuan, sekali-sekala sahaja!

Mungkin lelaki berasakan orang perempuan tak tahu sangat hendak menulis. Kalau tulis pun, katanya asyik buku cinta sahaja. Sepatutnya, tulislah macam mereka. Tulislah buku-buku yang boleh buat orang cepat kaya dan macam mana nak 'kelentong' orang lain, supaya cepat jadi kaya! atau ceritalah kisah-kisah politik dan dunia mereka yang gilakan politik, barulah boleh dikatakan hebat!

Huh, bunyi macam 'female chauvinist' kan? Saja aje nak bagi panas-panas sikit. Okeylah, tak kisahlah orang kita macam mana, kalau nak ikutkan pun, dapatlah anugerah tinggi macam mana pun, tapi kalau setakat beratus sahaja yang baca buku kita pun, nak buat apa kan? Apa yang dapat kita sebarkan pada orang ramai? Ilmu apa yang dapat kita perturunkan kepada anak-anak kita?

Tahukah kita bahawa penulis cerita-cerita thriller atau misteri terhebat ialah seorang wanita dan bukannya lelaki? begitu juga dengan cerita fantasi. Begitu juga dengan cerita kanak-kanak. Pernah dengar nama Agatha Christie? Beliau merupakan novelis yang berasal dari negara Britain dan hidup hingga 1976 dan telah menghasilkan lebih dari 80 novel, selain daripada cerita-cerita pendek dan pementasan. Watak seperti Hercule Poirot dan Miss Jane Marple merupakan wanita utama dalam novel-novelnya itu, kebanyakannya sudah diadaptasikan kepada filem dan drama TV. Tahukah anda bahawa novel-novelnya dikatakan telah terjual lebih empat bilion secara global?

Weh, Agatha Christie tu perempuan dan bukannya lelaki! Tentu anda juga ingat kepada J.K. Rolling? dia pun perempuan juga dan novel Harry Potternya begitu laris sekali sehinggakan tak ada penulis fantasi lelaki yang boleh melawannya. Begitu juga dengan Enid Blyton, satu lagi penulis Britain yang hebat, juga perempuan... yang berjaya menulis buku-buku aksi untuk kanak-kanak sekolah. Buku-bukunya terjual lebih 600 juta salinan. Ingat kepada Barbara Carldland? Juga perempuan yang menulis novel-novel cinta klasik! Nama-nama yang saya sebutkan ini adalah warga Britain.

Apa yang ingin saya katakan di sini ialah di negara Barat, mereka tak kisah genre apa penulis menulis. Fantasi ke, cinta ke, misteri ke... yang penting, apa impaknya kepada masyarakat. Inilah yang dikatakan penulisan kreatif. Tak kira perempuan atau lelaki, kalau hebat tetap hebat! tak kisah genre apa. Pemikiran mereka tidak jumud dan kerana itulah, penulis-penulis di sana ghairah menulis dan tak jemu-jemu mencuba sesuatu yang lain yang mencabarkan. Kita di sini, bagaimana pula? Bila agaknya kita akan keluar dari dunia sastera yang jumud ini?

*Gambar-gambar Barbara Cartland (Baju pink), Enid Blyton (tertulis namanya), JK Rolling (dengan buku Harry Potter) dan Agatha Christie (paling atas)... saya pinjam dari Yahoo.

Tuesday, February 02, 2010

Mencari Malcolm X ?



Kedua-dua Malcolm X dan Martin Luther King merupakan pejuang orang-orang kulit hitam di Amerika Syarikat dan kedua-duanya telah mati dibunuh pada era tahun 60-an. Namun yang penting, semangat dan kesan yang ditinggalkan itulah yang telah membuka mata orang-orang kulit hitam di US untuk menjadi manusia yang bukan dikategorikan sebagai 'hamba abdi' lagi.

Sekitar lima/enam puluh tahun yang lalu, orang-orang kulit hitam di US masih berada di tahap sosio-ekonomi yang rendah. Mereka tidak dibenarkan bercampur dengan orang kulit putih, tidak diberikan kemudahan sebaik orang kulit putih, malah ekonomi mereka sangat rendah hinggakan majoriti yang besar, hidup dalam keadaan miskin dan daif. Namun, orang-orang seperti Malcolm X (atau El Hajj Malik El Shabazz) dan Martin Luther King, telah berjuang untuk membakar semangat orang-orang kulit hitam agar lakukan sesuatu untuk mewarnai hidup mereka yang sentiasa kelam.

Mungkinkah kita orang Melayu di Malaysia ini perlukan mereka seperti Malcolm X dan Martin Luther King? kita perlukan seseorang yang boleh membuka mata dan hati orang kita agar tidak ketinggalan lagi, dari segi sosial dan ekonomi. Orang kita sudah lama sangat tertidur dan tiada sesiapa pun yang bersemangat untuk mengejutkan mereka. Orang kita sudah biasa hidup tak pedulikan bangsa dan agama. Masing-masing fikirkan diri sendiri. Kalau lakukan sesuatu pun, tak mahu bekerjasama. Masing-masing berdengki dan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup. Sungguh menyedihkan! Kita menuduh bangsa lain, namun orang kita tak ada yang mahu ambil kisah tentang apa yang sedang berlaku.

Buat suatu ketika dahulu, orang kulit hitam di US, perangainya tak banyak beza dengan orang kulit hitam di kebanyakan negara Afrika. Mereka hidup berkelahi, tuduh menuduh dan bunuh-membunuh! Namun kini, orang kulit hitam di US sudah jauh berbeza. Kalau tidak, tidak mungkin Obama boleh dilantik sebagai Presiden.

Habis tu, mana kita nak cari orang-orang yang mempunyai semangat untuk mengetuai bagi membukakan mata dan hati orang Melayu supaya berubah? Kalau orang-orang kulit hitam di US boleh, mengapa pula kita yang hidup di negara sendiri tidak boleh?

Apa yang paling penting ialah semangat untuk bergabung, bukan semangat untuk tikam-menikam belakang. Kita perlukan semangat untuk bersatu bagi meningkatkan ekonomi kita. lihatlah kepada orang-orang keturunan Cina di negara ini. Mereka berjaya kerana tak pernah fikirkan diri sendiri semata-mata. Mereka fikirkan bangsa mereka dan anak-cucu mereka. Mereka bekerjasama dan mampu bertolak ansur asalkan tidak menjejaskan kekuatan ekonomi mereka. Habis tu, mengapa kita tak boleh begitu? Sampai bilakan kita perlu sentiasa begini? hidup dengan penuh semangat dengki.

Jom kita cari Malcolm X!

Imej Malcolm X dan Martin Luther King (cilok dari Yahoo)

Monday, February 01, 2010

Hidupku dan Hidupmu



Hari ini Hari Wilayah, jadi suami saya bercuti. Anak-anak pula semuanya bekerja sebab Selangor tak cuti. Kebetulan, hari ini juga adalah hari lahir ibu saya yang ke 75. Malam tadi, anak saya Faiz telah mengajak kami makan-makan di Bangi... nak meraikan hari jadi neneknya. Alhamdulillah, ibu saya masih sihat dan masih kuat. Malah, dialah yang banyak memasak di rumah saya ini. Katanya dia tak suka kalau tak buat apa-apa. Nanti sakit badan. Dulu pun, arwah nenek saya begitu. Malah, nenek saya masih boleh lakukan kerja keras semasa berusia 70-an. Nenek saya meninggal hampir 90 umurnya. Onyang saya pula, lebih seratus tahun.

Inilah kehidupan kita. Selagi ada umur, janganlah kita sia-siakan umur dan masa yang Tuhan berikan buat kita. Dalam mengejar kemewahan dunia, jangan pula kita abaikan akhirat. Kita tidak tahu sampai bila umur kita ini akan berakhir, namun selagi ada umur, lakukanlah yang terbaik.

Sayangilah keluarga, sayangilah suami, isteri, anak-anak, ayah dan ibu kita (kalau masih ada), adik beradik kita, dan semua yang berkaitan dengan kita, termasuk teman-teman, jiran-jiran, kenalan dan mungkin orang luar yang ada kaitan dengan kita. Hidup yang penuh dengan perasaan benci merupakan satu kehidupan yang tidak membahagiakan.

Dalam menjalankan kehidupan kita seharian, jadilah orang yang ikhlas dan amanah. Setiap apa yang kita lakukan, Tuhan melihat sekalipun mungkin orang tak tahu. Kalau kita ikhlas dan amanah, kepuasan akan datang pada diri sekalipun mungkin kita tak sekaya orang lain. Biarlah hasil yang kita makan itu datangnya daripada wang yang halal. Baik untuk diri kita, baik juga untuk anak-anak kita, insya-Allah.

Saya mengingatkan anda semua sambil mengingatkan diri saya sendiri. Hidup saya serupa dengan hidup anda jua. Biarlah kita mulakan minggu ini dengan semangat yang tinggi. Semoga Tuhan berikan berkat dan rahmat buat kita semua. Amin.

Saturday, January 30, 2010

Baby Face




Tentu sekali. Bila melihat wajah kanak-kanak atau bayi,hati boleh jadi tenang, jiwa boleh jadi tenteram. Terhibur. Wajah-wajah 'innocent' yang tidak tahu apa-apa itu biasanya dapat mengubat segala gundah gulana.

Buat masa ini, keluarga besar kami kekurangan wajah-wajah begini. Kalau ada pun, sekali-sekala sahaja... anak-anak kecil iaitu anak-anak saudara saya. Kalau mereka datang ke rumah kami, tentunya kanak-kanak ini akan menjadi bahan 'lepas geram' anak-anak saya. Seronok kalau dapat cubit pipi-pipi gebu mereka.

Kebetulan, semua anak-anak saya suka kepada kanak-kanak. Dulu, ramai juga anak-anak saudara saya yang masih kecil, tetapi sekarang sudah tiada lagi. Anak-anak jiran pun tiada yang kecil-kecil (bukan bayi).

Kalau anda merupakan seorang dewasa yang berwajah macam kanak-kanak,tentu best kan? susah nak nampak tua. 'Baby Face'... deskripsi buat mereka yang begini.

Okey... kalau tak ada kanak-kanak kecil, elok juga kalau rajin tengok ikan-ikan dalam kolam. Kalau tak ada kolam ikan, belalah ikan dalam balang... tapi janganlah bela ikan dalam balang yang terlalu kecil... kesian ikan. Pastikan ikan juga yang jenis kecil kalau balang ikan tak besar.

Sebenarnya, macam-macam yang anda boleh lakukan kalau hendak tenangkan fikiran dan tenteramkan perasaan. Tengok pokok-pokok yang hijau, tengok gunung-ganang... burung-burung yang terbang... atau lakukan senaman. Jom, kita lakukan semua ini!

Friday, January 29, 2010

Kesiannya Kita



Kita nak bercakap saja atau kita nak buat?

Kalau kita perhatikan, ramai yang suka bercakap. Itu tak kena, ini tak kena... tapi sampai sekarang, tak ada apa-apa pun yang dibuatnya. Setakat pandai beri komen saja. Macam-macam alasan dia ada. Kutuk sana, kutuk sini. Yang ini memang ramai yang pandai. Pandai mengata!

Mungkin lagi senang untuk memberi komen kot. Senang juga untuk nampak silap dan salah orang. Tapi... apa yang boleh dilakukan untuk perbetulkan apa yang dirasakan salah tu?

Lagi satu benda yang senang orang buat. Senang menyampah dan rasa benci. Apa sahaja yang orang lain buat, dia akan rasa benci dan meluat. Kalau dia tak terlibat sama, dia tak rasa yang benda itu betul. Mesti ada saja salahnya. Tapi kalau dia rasa salah, tak pulak dia perbetulkannya. Dia bercakap saja, atau dia bercerita pada orang sana sini tentang apa yang dirasa salah. Memang senang!

Lepas tu... dia pun sakit hati. Perasaan dengki pun meninggi. Yang peliknya, dia berdengki pada bangsanya sendiri dan mereka yang beragama sama dengan dia. Kalau boleh, dia nak tengok orang lain jatuh. Kalau dia tak boleh lebih, jangan harap dia nak tolong. Kalau nak tolong pula, mesti berupah. Tak pasal nak tolong free-free! Aduhai...

Beginilah kita hidup di bumi ini. Mungkin kita tak merasa seperti mereka yang tinggal di Afghanistan... di Iraq, di Palestin, atau di Acheh suatu ketika dahulu... atau di Haiti sekarang ini... atau mungkin di Selatan Thai.

Kita rasa kita ada semuanya, tetapi sebenarnya tak ada apa-apa pun. Kalau ada, semuanya orang punya.

Malangnya, hasrat dengki, rasa tinggi diri, sakit hati dan benci masih kuat lagi. Perasaan tolong-menolong... yang tak payah berupah, jangan haraplah!

Kesiannya kita.

Thursday, January 28, 2010

Tanpa Alasan


Pagi ini, saya teringatkan kawan-kawan. Kawan-kawan sekolah, kawan-kawan universiti, kawan-kawan yang saya jumpa di tempat lain, misalnya semasa saya di England... dan juga kawan-kawan yang juga merupakan kawan kerja, jiran tetangga dan sekarang ni kawan yang saya temui dalam dunia penulisan. Tentunya macam-macam rupa dan pelbagai ragam dan gaya. Yang penting, ramai di antaranya merupakan orang-orang yang dekat di hati.

Berkali-kali dalam blog saya ini, saya bercerita tentang kawan-kawan saya, sejak sekolah rendah lagi. Hingga ke hari ini, masih ramai kawan-kawan sekolah yang rapat dengan saya. Malah, ramai yang menghadirkan diri semasa saya mengadakan majlis perkahwinan anak-anak saya.

Agaknya, kenapa kita berkawan ya? mungkin untuk hilangkan rasa sunyi, mungkin juga untuk berkongsi cerita... atau, hah... saya tahu. Kita berkawan sebenarnya tak perlu ada apa-apa alasan. Kita berkawan kerana kita suka dengan orang yang kita temui itu. Kita 'ngam' dengan dia.

Janganlah kita berkawan dengan seseorang kerana kita inginkan sesuatu daripadanya. Itu namanya tak ikhlas. Kalau tak ada keikhlasan, tali persahabatan tak akan kekal lama. Sekejap sahaja akan hilang. Sekejap sahaja kita akan berasa jemu dan jelak. Sekejap sahaja dia tidak akan jadi penting untuk kita lagi. Janganlah begitu. Biar kita berkawan dengan seseorang itu tanpa mengharapkan apa-apa daripadanya kecuali 'ikatan' yang tulus ikhlas. Tempat kita berkongsi cerita. Cerita seronok dan cerita yang tak seronok. Janganlah kita berkawan dengan seseorang kerana kita mengharapkan yang 'best-best' saja. Kalau tak ada yang 'best', kita pun hilang minat.

Kita berkawan tak kira bila masanya. Masa di kemuncak gunung atau di lautan dalam. Di atas langit atau berada di bumi.

Lihatlah di sekeliling kita... kawan-kawan kita bagaimana? mereka berkawan dengan kita kerana apa?

Wednesday, January 27, 2010

Dendam Berpanjangan



Pagi ini, isu ini pula yang saya teringat. Tentang perasaan dendam yang mungkin ada di dalam diri kita sebagai insan di dunia yang fana ini. Dendam yang paling ketara ialah antara suami dan isteri yang berpisah kerana bercerai dan juga dendam anak-anak yang ditinggal bapa atau ibu mereka kerana perceraian.

Kalau berpisah kerana suami sudah ada yang lain, biasanya anak-anak akan tinggal dengan ibu. Si ibu mula membenci bekas suami dan perasaan sakit itu terus menular kepada anak-anak. Ramai ibu yang marah, akan menyimpan sifat dendam dan benci dan sifat itu akan terus berjangkit kepada anak-anak. Seterusnya, anak-anak akan membenci ayah mereka, mungkin hingga akhir hayat.

Ada anak yang hidup berlatar belakang begini, akan terus-terusan rasa tertekan. Mungkin ia akan mengwujudkan satu trauma buat dirinya dan ada anak-anak akan menjadi dewasa sebagai orang yang mudah rasa sedih, gagal dan mempunyai sifat benci yang tinggi. Perasaan sayang tidak wujud dalam hatinya. Mungkin suatu hari nanti, mereka akan terus membenci apa-apa sahaja yang ada di sekeliling mereka.

Jangan biarkan begitu!

Tak kisahlah apa sekalipun yang berlaku antara suami dan isteri, anak-anak jangan dibiarkan menanam sifat benci yang begitu. Jangan biarkan anak-anak kita membenci ayah mereka sendiri, atau mungkin ibu. Tanamlah sifat 'sayang' dalam diri anak-anak kita. Tak kiralah sekalipun mungkin ayah mereka atau ibu mereka tak menjalankan tanggungjawab sebagai ayah atau ibu yang baik!

Jangan biarkan anak-anak kita hidup dengan perasaan dendam yang berpanjangan!

Belajarlah untuk memaafkan orang yang telah melukai hati kita agar hidup kita aman dan ceria selalu!