Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, January 09, 2014

Pura-Pura Suka

Assalam

Alhamdulillah kita masih di sini lagi. Syukur kerana Allah SWT memberi kekuatan, tenaga, kewarasan, umur, hati yang tenang, rezeki dan juga iman, semoga kita sentiasa menghargainya, amin.

Esok petang anak sulung saya dan keluarganya akan ke negara China untuk berehat. InsyaaAllah pagi Sabtu ini saya akan ke Jakarta dan Bandung, Indonesia hingga hari Rabu. Saya ke sana dengan suami, anak perempuan dan cucu kami. Seperti biasa, saya ke sana untuk melawat ayah saudara saya iaitu adik bongsu arwah ayah saya, satu-satunya adik-beradik arwah ayah yang masih ada lagi. Tahun ini, ami saya akan berumur 91 tahun. Saya juga bercadang untuk melawat kaum kerabat yang berada di sana sambil merehatkan badan. Dari Jakarta ke Bandung, sepupu saya Suzy akan mengurusnya dan kami akan berada di villanya di Bandung nanti. Di Jakarta kami akan tinggal di hotel yang berdekatan dengan rumah Suzy. Kata orang Indonesia, saya pasti akan berasa senang bila ke sana nanti. Lula dan Suzy adalah sebaya saya. Sepupu saya Ahmad juga sangat rapat dengan kami. InsyaaAllah semoga silaturrahim ini berpanjangan hingga ke jannah, amin.

Hari ini, seperti yang saya katakan, saya akan melepak dengan kawan-kawan. Mula-mula akan makan tengah hari dengan kawan baik, lepas tu jumpa pula kawan baik seorang lagi, dan kemudian 'have tea' dengan seorang lagi teman lama. Teruja. Saya sentiasa teruja bila dapat berbual-bual dengan kawan-kawan yang sentiasa setia menjadi kawan saya.

Mungkin itulah yang saya nak bangkitkan. Dalam hidup ini, kita sentiasa perlukan mereka yang betul-betul sayangkan kita, bukan yang buat-buat sayang, atau pun berpura-pura sayang atau suka untuk kepentingan diri. Semestinya kita akan bertemu dengan 'insan' yang suka ambil kesempatan, yang datang kepada kita kerana sudah membuat kira-kira apa yang dia akan dapat daripada kita. Tiada keikhlasannya. Jadi kita berjaga-jaga. Kadang-kadang, ada juga saudara-mara yang perangainya begitu. Hanya pura-pura baik bila dia sedang mencari sesuatu daripada kita. InsyaaAllah, kalau kita sentiasa berdoa pada Ilahi, 'insan-insan plastik' seperti ini tak lama berkekalan dengan kita. Pastinya kita akan melihat keburukan perangai mereka itu dan eloklah kalau kita cepat-cepat angkat kaki! Kita tak perlukan mereka yang suka ambil kesempatan, tak kira apa jua caranya.

Bagi saya, kalau kita ikhlas mahu menolong yang susah, banyak yang kita boleh beri untuk kebajikan mereka di luar sana yang betul-betul susah! Tentunya ini lebih membawa keberkatan dan kerahmatan untuk hidup dan akhirat kita. InsyaaAllah.

Kalau nak berkawan, biarlah kita ikhlas, bukan terus dengan kepura-puraan.

Wassalam