Assalam
Sungguh ni... bila kita jatuh hati, kita akan lakukan apa sahaja untuk dapatkannya. Itu kalau betul-betul jatuh hatilah. Tapi kalau kita buat-buat jatuh hati, memang tak akan melekat. Orang kata 'macam hangat-hangat tahi ayam', tak ada kesungguhan, sekadar buat suka-suka sahaja, atau buat release tension atau mungkin buat kerana trend, bukan ikhlas kita suka pun.
Memang pelik kalau kita fikirkan yang manusia mudah tergoda dan mudah fikir 'positif' tentang sesuatu yang 'negatif'. Namun bila tersedar yang mereka dah lakukan kesilapan, dengan sekelip mata hati mereka berubah kembali! Yang jadi mangsa atau mungkin 'terlopong' adalah manusia yang tiba-tiba sangka dia berjaya mengubah hati seseorang itu! Bila dia pula tersedar bahawa yang 'berpura-pura' jatuh hati itu memang tak ikhlas menyukainya sekadar mengambil kesempatan sahaja.
Apa agaknya perasaan orang yang terkena begitu agaknya? Yang penting, dia nak salahkan siapa? Nak salahkan orang lain pun memang tak patut kerana dari awal dia sendiri tahu akan risikonya. Konon-konon nak 'menumpang' atau konon-konon nak ubahkan hati orang, tapi akhirnya dia juga yang terkena dan mungkin merana! Kesian.
Pun begitu, bila kita mahu 'menjatuhkan hati' kita pada sesuatu yang kita kurang pasti, biarlah kita 'periksa' dulu, atau buat research tentang latar belakangnya, jangan main redah sahaja. Ramai yang tak ambil kisah kerana mungkin pada asalnya dirinya tahu bahawa dia tidak serius, sekadar buat cuba-cuba atau buat suka-suka. Kadang-kadang kerana perbuatan yang tak elok itulah akan memakan dirinya sendiri.
Bila terasa nak jatuh hati, pastikan kita ikhlas berbuat begitu, bukan sekadar suka-suka sahaja. Jangan terikut dengan trend, atau mengikut jejak orang lain, atau sengaja nak tunjuk macho. Pastikan apa yang kita buat adalah kerana Tuhan, kerana Allah swt akan menarik balik nikmat yang diberikan pada kita kalau kita lupa hendak menghargainya.
Tiada apa-apa yang 'perfect', tiada apa-apa yang seratus peratus 'hebat', kerana kita adalah manusia. Namun sebagai manusia, biar kita terima hakikat bahawa kalau kita melihat akan kekurangan pada orang lain, biar kita juga sedar bahawa kita juga mempunyai kekurangannya. Janganlah nak kejar yang kurang 20% tapi akhirnya hilang yang 80% yang sudah ada. Macam cerita anjing dengan bayang-bayang, tulang yang ada di mulut tercicir kerana hatinya ada rasa tamak! Nauzubillah. Biar kita belajar untuk bersyukur dengan apa yang Allah swt berikan, bukan sengaja jadi manusia yang rasa tak cukup, lalu terpaksa diuji dan hilang apa yang sudah ada.
Bersyukurlah. Bila terasa nak jatuh hati, biarlah rasa itu terbina kerana sesuatu yang ikhlas dan suci murni.
Wassalam.