Assalam
Semoga hari baik seperti hari ini membawa rahmat dan barakah buat kita semua, aamiin.
Pagi ini saya agak relaks sikit, tak payah kelam kabut. Sekejap lagi nak hantar serai pada jiran-jiran di Laman rumah saya ni. Serai ini saya beli di Lenggeng tetapi mereka beri berlambak-lambak memang tak boleh habis. Jadi, lebih baiklah saya bersedekah pada jiran-jiran.
Semalam, semasa melawat jenazah suami rakan ofis saya dulu, saya sempat berbual-bual dengan R. Banyak ceritanya terutama tentang keluarga. Allah swt sentiasa mengingatkan kita hamba-Nya untuk sentiasa mengambil berat tentang kaum kerabat kita, terutama mereka yang dekat seperti ibu bapa, isteri dan suami, anak-anak, adik-beradik, sepupu-sepupat dan semua yang lain. Kalau kita tak ambil peduli, maka kita merupakan orang jahil yang tak ada akhlak dan tak tahu apa itu amal ibadah.
Dalam pada itu, biasanya memang beginilah keadaan kaum keluarga. Ada-ada sahaja. Dalam ramai-ramai, mesti ada yang luar biasa. Mungkin jenis kaki kelentong, mungkin juga jenis tamak haloba, ada juga jenis suka ambil kesempatan dan macam-macam lagi. Dalam pada itu, semestinya ada juga yang baik budi, yang ada budi pekerti. Kalau kita tahu agama, kita akan cuba buat yang terbaik untuk semua. Tak perlulah berkira-kira, jangan sekali-kali ambil kesempatan lalu menipu kerabat sendiri, apatah lagi memakan yang bukan hak kita tetapi kita memang tahu hak orang lain. Nauzubillah minzalik.
Jagalah adab kita sebagai insan yang mulia. Biar kita rugi sikit jangan sampai hilang semuanya. Kalau kita punyai niat songsang, Allah swt akan pastikan hala tuju kita yang mungkin juga jadi sonsang. Nauzubillah min zalik.
Jagalah tali silaturahim, jangan sampai terputus kerana dosanya besar.
Wassalam