Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, March 31, 2013

Skandal Ofis

                        Hanyut The Movie

Assalamualaikum...

Ada yang menegur saya, "Kak Aina... masih sibuk ke?" hehe... baru selesai satu projek, tapi masih ada yang lain-lain. Nampaknya macam tak cukup tangan. Baru selesai satu skrip, dah ada yang minta buat skrip lain. Manuskrip pun tak selesai lagi... huhuhu... tapi ya Allah, walaupun ada kala rasa macam nak meletup kepala saya ni, tapi kerana cinta menulis... orang putih kata 'passion', saya sabar ajelah.. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana Allah SWT memberi saya tenaga dan kesihatan untuk terus menulis. Ada masa, rasa macam tak cukup tidur... tapi tetap rasa seronok...

Okeylah... semalam saya telah didatangi seorang tetamu yang sememangnya rapat dengan kami. Banyaklah cerita-cerita yang kami bualkan termasuk kisah filem-filem tempatan. Antaranya ialah filem yang masih belum keluar lagi tetapi sesuatu yang kami nanti-nanti, ia itu "HANYUT" yang diarah oleh U Wei. Saya dah pun tengok trailernya di You Tube. Memang fantastic! Kalau anda tak tengok lagi... pergi tengok. Kalaulah filem-filem Melayu kita standardnya macam tu, barulah best! Katanya filem itu menelan belanja yang dah melepasi angka 25 juta, mungkin targetnya untuk bawa filem itu ke pasaran antarabangsa. Tak tahulah kan.

Member kami tu bercerita lagi, katanya dekat Malaysia ni kadang-kadang ada produser tu pukul canangnya lebih, konon-konon sebab 'box office' filem, pelakon dan mereka yang terlibat diberi hadiah rumah dan kereta mewah. Rupa-rupanya kata member saya tu, dia membayar 'down payment' aje! huhuhu... yang bulan-bulan tu, sendiri bayar! Konon-konon pun, walaupun dikata bayar bonus dan macam-macam lagi, sebenarnya ciput aje!

Tu lah... kadang-kadang jangan dengar sangat cerita 'orang-orang besar' ni... pada hal tak adalah hebat mana pun. Saja nak pukul canang macam bagus.

Bila kita cerita pasal syarikat besar dan gergasi ini, member saya bercerita lagi. Member ini kebetulan memang bekerja dengan sebuah syarikat gegasi swasta di Malaysia ini. Kakitangan syarikat itu memang mempunyai gaji antara yang terbesar di Malaysia. Malangnya kata member tadi, sudah menjadi trend di tempat kerjanya, masing-masing seperti seronok ada 'skandal' sesama sendiri, Katanya, ramai yang lelakinya kerja mengurat sana sini, tak kira dengan siapa pun termasuk isteri orang. Yang perempuan pula kebanyakannya sangat materialistik. Asyik meminta-minta dibelikan hadiah. Pada hal gaji masing-masing sangat besar!

Bingung dibuatnya bila mendengar ceritanya. Mungkin kerana itu juga, tak ada barkat sekalipun bergaji tinggi!

Okeylah, sekadar bercerita dan mengingatkan diri sendiri agar jangan terlibat dengan trend-trend begini. Tak payahlah skandal sana-sini!. Nauzubillah min zalik.

Wassalam.

Thursday, March 28, 2013

Destinasi Cinta


Assalamualaikum...

Sahabat dan adik-adik yang saya sayangi semua. Di atas itu bukan merupakan judul novel baru saya, tetapi sekadar judul yang saya pilih untuk dilabunkan (dibicarakan) pada entri kali ini.

Dalam kesibukan saya dengan urusan yang masih belum siap lagi, entah macam mana saya terserempaklah dengan satu blog ini. Blog yang dimiliki sorang wanita muda (mat salih) dan semestinya dalam bahasa Inggeris, namun wanita ini membicarakan hal-hal ketuhanan. Mugkin bolehlah saya kongsi dengan anda sikit-sikit tentang tajuk "CINTA" atau 'LOVE'

'And so there are some who spend their whole lives seeking. Sometimes giving, sometimes taking. Sometimes chasing. But often, just waiting.'

Sepanjang hidup, akan ada orang mencari cinta. Ada kala kita rajin memberi, ada pula yang meminta-minta. Kadang-kadang terkejar-kejar. Tetapi selalu juga menunggu saja. Mungkin betul katanya, bila isu cinta dibicarakan.

'The path of expectations and the ‘falling in love with love’ is a painful one, but it can bring its own lessons.'

Bila kita mencari cinta, kita sering mengharapkan yang 'sempurna' dan jatuh cinta dengan cinta sering menyakitkan, namun ada banyak pengajaran dalam hal mencari cinta.

'Those who take this route will often reach the knowledge that the human love they seek was not the destination. Some form of that human love, can be a gift. It can be a means. But the moment you make it the End, you will fall. '

 Bab ini yang paling menarik buat saya, kerana katanya, destinasi cinta sebenarnya bukan cinta sesama insan. Cinta buat sesama insan adalah sekadar 'anugerah'. Mungkin juga sebagai 'cara', tetapi kalau kita menganggapkan ia sebagai sesuatu yang 'akhir', pasti kita akan jatuh. Kerana destinasi cinta buat kita semua adalah cinta kepada Allah SWT, cinta yang tak pernah menghampakan kita. Kalau sekalipun kita melalui saat-saat 'hampa' dalam hidup, itu adalah kerana kelemahan kita, bukan kerana Allah tak sayang kita.

Wassalam.

Tuesday, March 26, 2013

Suka Naratif Atau Dialog?


Assalamualaikum semua

Saja nak kongsi sedikit info dan pendapat tentang membaca novel. Ada penulis (kawan saya juga lah), dia kata trend orang sekarang lebih banyak suka membaca penulisan yang lebih banyak dialognya daripada naratif. Itu kata dialah. Tapi, saya ada juga membaca komen daripada pembaca-pembaca muda. Dia orang kata, rugi kalau baca novel yang punyai terlalu banyak dialog kalau dibandingkan naratif, kerana dialog tak mengandungi bahan cerita. Lagi banyak naratif, lagi untung, kerana naratif punyai banyak bilangan 'words' nya. Kalau novel tebal tapi penuh dengan dialog, sebenarnya novel itu tidak tebal, sebab banyak pages yang kosong, tidak dipenuhi dengan 'words'. Huh!

Ada juga pembaca tak suka baca novel yang banyak dialog. Saya pernah ditegur pembaca, kerana novel saya 'Seharum Kasih' memang banyak dialog. Kata pembaca berkenaan, bila banyak dialog, tak dapat nak menghayati cerita. Dah tu, rasa macam baca skrip drama. Huhu!

Dulu-dulu, masa saya tulis 'Sesuci Cinta' memang dialognya kurang. Lepas tu, bila masuk buku kedua, saya banyakkan dialog... tapi itu pulak jadinya...

Apa pun, saya lebih senang berada di tempat pertengahan dalam hal naratif dan dialog. Secara serius, saya lagi suka tulis naratif... tapi adalah dilaognya. Saya tak kisah kalau orang kata trend sekarang banyak dialog daripada naratif, sebab bagi saya, kalau pembaca itu merupakan pembaca yang serius membaca, mereka akan tetap suka kedua-duanya, malah mungkin lebih pada naratif.

Ini untuk novel lah. Kalau tulis cerpen, eloknya dialog dijadikan paling minimum. Kalau banyak tulis dialog, lebih baik sahaja jangan buat cerpen.

Okeylah... mungkin anda ada pendapat, tetapi ini adalah pendapat saya. Wallahua'lam.

Wassalam

Monday, March 25, 2013

Biar Sempoi Tak Apa



Assalamualaikum...

Saya guna bahasa orang sekarang, biar sempoi tak apa. Maknanya, biar hidup sedang-sedang, atau bersederhana. Kalau bahasa Inggeris, kita kata 'Simple'... tu yang jadi sempoi tu.

Kata orang, kalau makan, biar kita makan semua, tapi berpada-pada. Serba sikit. Jangan suka pantangkan diri, kerana rata-rata, makanan mempunyai khasiatnya. Misalnya, badan kita perlukan karbohaidrat, perlukan protein, pelbagai vitamin dan macam-macam lagi untuk berfungsi dengan baik. Jadi, sekalipun kita nak jaga supaya berat badan tak naik, jangan pantangkan diri hinggakan banyak benda kita tak mahu makan. Ada makanan kita memang elok kurang-kurangkan, tapi tak payahlah sampai tak makan!

Begitu juga hal-hal lain dalam kehidupan. Biar kita buat serba sederhana, sekalipun mungkin duit kita berlambak-lambak. Eloknya, kita lihat di sekeliling kita. Kalau jiran-jiran kita begini, janganlah pula dengan sengaja kita jadikan diri kita begitu, kerana mahu pastikan bahawa kita mempunyai kelebihan daripada mereka semua. Perbuatan itu sebenarnya memang tak baik, kerana Tuhan tidak menyukai mereka yang suka berlebih-lebih dan menunjuk-nunjuk. Biarlah apa sahaja yang kita lakukan, bersederhana sahaja.

Tentang pakaian, tentang semuanya yang ada kaitan dengan kehidupan kita.

Malah, kalau kita mahu beramal sekalipun, janganlah kita menunjuk-nunjuk. Tak perlulah kita bagi tahu semua orang yang kita ini bersolat. Setiap kali solat, kita pun 'announce'. Begitu juga kalau kita jenis rajin ke surau atau masjid, tak payahlah kita pukul canang. Sekarang ini, di alam serba moden, banyak orang mampu cari ilmu sekalipun tak ke surau atau masjid. Kita juga perlu ingat, orang perempuan sebenarnya tidak perlu ke surau atau ke masjid, duduk di rumah dan jadi isteri yang solehah atau ibu yang baik, mungkin jauh lagi baik daripada sesetengah orang yang berkhemah di masjid. Wallahua'lam.

Saya sekadar menulis artikel ini untuk mengingatkan diri saya sendiri, agar lakukan apa sahaja dengan cara yang sederhana. Kalau kita ikut nafsu, semua yang ada di dunia ini kita mahukan. Tetapi kalau kita ingat pada Tuhan, in sya Allah, kita akan cuba cari jalan yang diredhai Allah SWT. Mungkin apa yang kita rasa baik itu, sebenarnya tidaklah baik untuk kita, hanya Allah yang maha mengetahui.

Apa pun, jom kita hidup sempoi, tak apa begitu, janji hati kita tenang dan jiwa kita senang. Wallahua'lam.

Wassalam.

Saturday, March 23, 2013

Jangan Terlebih Benci



Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu buat anda yang sedang bercuti hujung minggu dan mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah. Mungkin ramai yang menanti-nantikan saat untuk bercuti, kan? Nampaknya, ruang rehat untuk saya masih belum ada lagi. Skrip drama dah tinggal sedikit sahaja lagi, tetapi manuskrip novel masih belum siap. Maknanya saya kenalah pulun, tak tahulah mampu siap ataupun tidak. Doakan yang terbaik buat saya.

Pagi ini, saja seronok nak bercerita tentang insan-insan yang berada di alam percintaan. Tak kiralah berapa umur anda sekalipun. Mungkin kalau anda masih muda, perasaan teruja dalam alam percintaan itu jauh lebih tinggi daripada mereka yang sudah lama bercinta (ehemmm). Kata orang, bila sedang bercinta itu, kalau boleh bila tidur tu, biarlah bermimpi si dia. Kalau makan dan minum pun, kalau boleh nak bagi dia rasa sama. moga peraan itu berterusan hingga akhir hayat.

Namun kadang-kadang, nikmat becinta itu, hilang separuh jalan. Tahu-tahu dah tak rasa lagi. Orang yang kita sayang itu mungkin berubah jadi orang yag kita benci.

Kalau itulah yang terjadi, bawalah bersabar. Bila sayang jangan melampau, bila benci pun jangan terlebih benci. Kawallah diri kita, in-sya Allah, hati kita aka jadi lebih tenteram dan aman.

Wassalam.

Friday, March 22, 2013

Jom Kita Ingat Pada-Nya


   Buah hati kami ... Yusufia, Firas, Ali dan Niloufar


Assalamualaikum...

Semoga hari Jumaat kita mendatangkan barakah, mendatangkan rahmat buat kita semua.

Biasanya, kita sebagai manusia tak suka ditimpa musibah, tak kiralah kecil atau besar. Namun demikian, tak ada insan yang tak melalui apa-apa musibah dalam hidupnya, tak kiralah kaya atau miskin, muda atau tua. Dalam begitu, ramai di antara kita payah untuk terima alam akhirat. Bagi insan-insan begini, dunia itu penting dan segala apa yang ada di dunia itulah kehidupan. Maka, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pungut segala keuntungan dalam dunia ini agar harta mereka tidak berkurangan untuk generasi-generasi akan datang. Nauzubillah minzalik.

Banyak di antara kita, takut untuk hidup susah. Ramai juga tak percaya pada kesederhanaan. Masing-masing mengejar kemewahan hinggakan tak cukup-cukup. Allahuakbar.

Jom kita belajar untuk bersederhana. Jom kita rajin-rajin infakkan harta benda dan wang ringgit kita. Jom kita belajar untuk kongsi rezeki yang datang pada kita. Jom, kita ingat pada-Nya sentiasa, setiap saat dan detik umur kita kerana akhirnya nanti, kita akan kembali jua kepada-NYA.

Wassalam.

Thursday, March 21, 2013

Tulis Skrip Atau Manuskrip


                                  Menulis

Assalam...

Ada orang bertanya pada saya, mana mudah antara menulis skrip drama dengan manuskrip novel?

Dua-dua tak mudah.

Cuma bila tulis skrip ni, peninglah memikirkan scene yang patut ada dengan tak perlu ada. Menulis skrip berbeza kerana kita nak sampaikan kepada mereka yang bukan membaca tetapi melihat skrin TV. Manuskrip pula, kita menulis untuk mereka yang membaca. Daya kreativiti kita berbeza, tetapi dua-dua perlukan pemikiran dan kreativiti.

Dua-dua boleh buat kita jadi penat! huh!

Tetapi, bila kita mempunyai 'passion' atau 'keghairahan' untuk menulis, kita akan usahakan walaupun kerja menulis boleh jadi membebankan.

Bila menulis manuskrip baru, kita perlu fikirkan jalan ceritanya, tetapi bila menulis skrip yang diadaptasikan dari novel yang sudah sedia ada, kita kena fikirkan plot-plot yang relevan dan juga bagaimana kita perlu ubahkan naratif kepada sesuatu yang penonton mampu faham dengan jalan ceritanya.

Tak kiralah nak tulis apa, disipilin diri wajib ada.

Okeylah... saja nak kongsi sesuatu yang mungkin ada di luar sana ingin tahu.

Wassalam.

Wednesday, March 20, 2013

Ada Dugaan, Ada Hikmahnya


Assalamulaikum...

Ya... semalam saya agak sibuk. Hahaha... ada ke hari yang saya tak sibuk?

Tapi semalam, memang ada drama kat rumah saya. Sebenarnya begini. Hujung minggu lepas (hari Ahad), cik abang saya naik ke atas bumbung dan betulkan valve float tangki rumah kami. Tangki tu ada dua, satu untuk bahagian depan, satu lagi untuk bahagian belakang. Suami saya kata, valve float tu kena tukar, kalau tak tukar, takut air melimpah bila float tak berfungsi. Takutlah banjir pulak. Sebab ada rumah-rumah jiran yang kena.

Tapi entah di mana silapnya, semalam, sebahagian rumah saya tak ada air pulak! Saya pun beritahu cik abang saya. Jenuhlah kami berpindah-pindah bilik air. Yang terkena ialah bilik air ibu saya dan juga bilik air tetamu di bawah.

Petang semalam, suami saya pulang awal sikit. Sekali lagi dia memanjat ke atas bumbung. Bila turun, macam masuk sauna. Lenjun satu badan. Dia pun mandi-mandi. Lepas maghrib, kami ke rumah anak saya (di kawasan yang berdekatan), dapatlah jumpa cucu-cucu yang dah lama tak jumpa. Si kecil pun dah besar.

Lepas tu kami pulang ke rumah. Saya pun sibuk buat kerja. Sedang sibuk, tiba-tiba adik saya (yang tinggal dengan saya), sibuk memanggil kami semua, kerana tangki di bahagian belakang, melimpahkan air dan seterusnya membanjirkan rumah kami. Apa lagi... berdramalah kami satu rumah. Kelam-kabut nak kawal air, takut rosak kayu lantai. Subhanallah.

Selesai buat kerja (kami anak beranak, termasuk suami, semuanya basah lenjun. Suami kena bersauna sekali lagi) saya tanya anak saya. Apa semua ni? "Dia kata... dugaannnn..." Kami tergelak. Saya kata lagi, "Bila ada dugaan, adalah hikmahnya..." Anak saya kata, "Iyalah... kita semua bersenam sakan malam ni..." Hehe...

Sungguh tu. Kecil sahaja dugaannya. Alhamdulillah... semuanya dah okey, in sya Allah.

Wassalam.


Tuesday, March 19, 2013

Jangan Gelak Sangat...

                    Ketawa dan menangis


Assalamualaikum semua yang saya sayang...

Nak tulis pendek sahaja. Percaya tak pada mitos orang tua atau mungkin saya boleh katakan sebagai nasihat orang tua? Bila kita nak ketawa atau suka, bairlah berpada-pada. Jangan gelak sakan, jangan suka sangat-sangat, kerana biasanya juga, kita akan menangis kalau terlalu seronok sangat.

Pernah tak rasa macam tu?

Mula-mula suka, seronok, rasa bahagai tahap gaban...

Lepas tu... menangis, atau terus kesedihan.

Tidak dirancang begitu, malah, tidak dimahukan begitu, tetapi ia mampu terjadi. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Mungkin elok kalau kita buat apa pun, maintain kesederhanaannya. Sekalipun nak marah, biarlah berpada-pada, jangan marah melampau-lampau, sebab bila macam tu, tiba-tiba kita akan terasa yang kita pun salah sama!

Huhuhu... saya selalu rasa macam ni.

Biasanya kalau saya seronok, saya beringat-ingat supaya jangan terasa seronok sangat. Iyalah... kadang-kadang kita lupa, kan?

Semoga hari ini anda sekelian berbahagia hendaknya. Semoga hidup kita dirahmati Allah SWT dan selamat dunia akhirat, Amiinnn...

Sunday, March 17, 2013

Tiada Gelaran Pada Nama


Assalamualaikum semua...

Ya sungguh ni, kadang-kadang rasa macam nak menangis sebab terlalu sibuk, hinggakan tak boleh bergerak ke mana-mana.

Apa pun, pada hari Khamis yang lalu, saya pergi juga ke pejabat KarnaDya di Bandar Bukit Puchong, kerana krew Wanita Hari Ini, TV3 datang ke sana untuk shoot saya, sebagai personaliti program mereka pada hari Jumaat (yang lepas). Suka tak suka, terpaksalah saya ke Bukit Puchong kerana sudah berjanji dengan Teh Syuhada (pengacara WHI TV3). Beliau yang interview saya dan aturkan program itu. Yang kelakarnya, masa Teh called saya (tiga hari sebelum itu, saya tak perasan pun dia. Hinggalah saya bersembang dengan seorang teman (juga bekas pengacara WHI), dia yang berkata pada saya, "Teh Syuhada tu dia pun pengacara WHI jugak", barulah saya perasan. Padahal, saya rajin jugak tonton program itu setiap hari jam 12 (TV saya memang ada kat bilik - tempat saya menulis). Teh Syuhada memang sangat friendly - dan dia yang ajar saya berlakon... hehe...

Okeylah, semalam pun saya keluar sekejap sebab pergi majlis perkahwinan anak seorang teman lama. Kawan kami ini, sangat baik dan rapat dengan kami semasa kami tinggal di Manchester. Ketika itu, anak-anak kami masih kecil lagi. Bila saya pergi ke majlisnya semalam, sempat saya berkata pada suami saya, "Lihatlah mereka berdua(maksud saya kawan-kawan kami tu - yang merupakan sepasang suami isteri), mereka sangat kuat, kan?" Saya teringat bagaimana mereka berdua terpaksa melalui detik-detik masa yang sangat mencabar. Anak sulung mereka mempunyai penyakit talasemia, dan terpaksa menukar darah setiap minggu. Pada usia 20 tahun, anak mereka meninggal dunia. Begitu juga anak ketiga mereka, dilahirkan sempurna, tetapi ketika keluar dari perut, ada kesilapan yang dilakukan pihak hospital hingga mencederakan otak bayi. Sekitar 3 tahun, anak itu juga meninggal dunia.

Dua kematian anak-anak, tentu sekali sangat perit. Namun alhamdulillah, Tuhan kurniakan kekuatan kepada mereka. Hari ini, kawan-kawan saya itu adalah Datuk dan Datin dan mereka sangat humble. Pada kad jemputan perkahwinan anak mereka (anak kedua), tidak ada pun gelaran Datuk atau Datin diletakkan untuk nama mereka.

Alhamdulillah... mereka juga merupakan teman yang baik, dari dulu hinggalah sekarang.

Wassalam.

Wednesday, March 13, 2013

Mencari Semangat


Assalamualaikum...

Tiada rancangan untuk tulis panjang-panjang sebab komitmen saya masih belum selesai. Apa pun, saja nak kongsi cerita kepada anda yang selalu datang ke sini, saya memang dah lama tak keluar rumah. Tak sempat. Bila berada dalam keadaan begini, memang tension giler! Terpaksa beri perhatian pada tulisan. Saya kena siapkan skrip drama saya pada hujung bulan ini... 13 episod dan mungkin satu telemovie, jadi bayangkanlah. Siang malam mengadap komputer, kadang-kadang sampai sakit kepala. Nak main dengan cucu pun tak sempat. Anak-anak saya tak datanglah rumah saya ni, sebab takut mengganggu. Huhuhu... sedihnya. Dapat tengok cucu dari jauh sahaja.

Semoga Allah kekalkan semangat buat saya dan in sya Allah akan saya usahakan semuanya siap... in time!. Saya attachkan gambar cucu bongsu saya Sharifah Niloufar, yang semakin besar dan semakin comel, tapi dah dua minggu tak dapat pegang dia...

Wassalam.

Sunday, March 10, 2013

Mencari Cinta


Assalam semua

Pagi-pagi Ahad, alhamdulillah kita masih di sini... syukur kepada Tuhan, masih sihat dan bertenaga lagi. Saya masih sibuk menulis, cuma orang kata kadang-kadang kenalah 'Take 5', kalau tidak pecah pulak kepala otak ni!

Okeylah... ketika menulis, kadang-kadang kita jadi buntu. Bukan tak ada idea, tapi tak ada ayatnya. Bila dah letih, kadang-kadang jadi begitu. Dah tak tahu macam mana nak keluarkan ayat untuk menerangkan apa yang kita nak sampaikan. Bila dah jadi begitu, kenalah 'take a break'. Apa yang saya lakukan, saya akan keluar, saya akan membaca, saya akan buat solat sunnat dan buat macam-macam lagi untuk tenangkan fikiran.

Bagi saya, hidup ini kena sentiasa mencari cinta. Bukan dengan sesiapa sahaja, tetapi wajibnya dengan Allah SWT. Satu perkara yang saya ingin kongsi dengan anda semua, mungkin ada di antara anda yang akan terasa berat, tetapi tak perlulah kita buat secara berat-berat. Dalam hal ini, memang indah kalau kita dapat lakukan solat sunnat setiap hari, bukan sekadar solat wajib. Kalau mudah dan banyak masa, lakukan lebih, kalau tak sempat, buatlah juga walaupun tak banyak kali. Macam2 solat sunnat yang kita boleh lakukan (boleh check).

Kita boleh lakukan pada siang hari atau malam. Memang lebih cantik kalau kita lakukan pada malam hari atau waktu pagi, sebelum solat subuh. Kalau kita biasa buat, walaupun sikit, kita akan jadi terbiasa dan lepas itu, bila dah selalu lakukannya, kita akan berasa janggal bila tak buat. Solat sunnat, adalah hadiah untuk 'Cinta' kita itu. Dengan mendekatkan diri kita dengan-Nya, in sya Allah, Dia juga akan sayang kita. Hati akan menjadi tenang. Kalau boleh, kita mahu lakukan semua yang baik-baik.

Jadi... carilah cinta kita itu, semoga kita seronok berada dalam alam percintaan dengan Yang Maha Esa. Masya-Allah, Subhanallah.

Wassalam.

Friday, March 08, 2013

Berat, Ringan atau Tengah-Tengah

Seronoknya kalau dapat berangan bercuti. Tapi... tak boleh untuk saya!


Assalamualaikum...

Adooiii... terpaksa update jugak, sebab ada yang kompelin. Kata dia, "Boringlah Kak Aina... kenapa tak update blog ni?"

Dah jelaskan sebelum ini, Kak Aina sibuk sangat-sangat... tahap langit... hehe. Macam-macamlah pulak.

Kadang-kadang, nak berlabon dengan geng pun tak dapat. Buat-buat tak nampak bila ada mesej yang masuk ajak 'berlabon' (maknanya bersembang). Tak apalah, nak buat macam mana lagi, dah kerja kita macam ni.

Saja-saja nak refresh balik... tentang apa yang saya sedang lakukan. Okey... satu, saya sedang siapkan manuskrip untuk novel Pesta Buku. Tak tahulah, akhirnya siap atau pun tidak. Manuskrip ni, saya dah mula tulis lama dah, tapi nak menghabiskannya lah yang payah sangat. Bukannya apa, terlalu banyak benda lain yang saya kena menyelit. Maksud saya banyak kerja-kerja lain yang memerlukan 'input' saya. Dah tu, ada pulak projek-projek baru yang saya komited, lain daripada skrip drama.

Kalau boleh, saya tak nak kekal di takuk lama sahaja dalam bidang penulisan ini. Saya ingin 'explore' lagi. Saya percaya, ada macam-macam yang kita boleh buat kalau kita nak buat. Tapi kalau kita asyik buat sama macam orang lain jugak, memang susahlah. Persaingannya terlalu hebat.

Ada seorang pekedai beri tahu salesman kita, "Banyak buku okeylah jugak, tapi penulisnya come and go." Itulah sungutannya. Katanya, "Terlalu banyak mahu tulis benda sama".

Jadi... kalau boleh saya tak nak terperangkap dengan benda-benda macam ni. Terkepong dalam trend yang sama. Kalau kita ikut trend sangat, nanti kita jadi putus idea. Betul tak? Lagipun... takkanlah kita nak tulis 'asyik-asyik yang itu aje'.

Yang inilah yang mencabar saya. Kadang-kadang, saya tulis agak berat jugak. Lepas itu saya risau takut kalau ada pembaca-pembaca yang akan rasakan apa saya tulis itu terlalu berat untuknya. Tapi... kadang-kadang saya biarkan aje. Bagi saya, eloklah baca berat sikit (bukan all the time), untuk buat kita tambah ilmu. Banyak hal yang kita tak tahu, jadi bila baca novel yang terlalu ringan dan terlalu santai, tak ada apa-apa faedah yang kita dapat, sekadar hiburan kosong sahaja. Bagi saya, sekalipun baca novel, biarlah ada faedahnya. Biarlah ada ilmu, ada motivasi diri dan ada pengajaran yang kita kutip dari membaca itu.

Semoga anda semua ceria dan dirahmati Allah SWT.

Wassalam.

Sunday, March 03, 2013

Tak Gemo, Getik dan Putu Perak

                            Inilah Putu Perak

Assalamualaikum semua

Ya saya tahu, ramai yang tanya kenapa Kak Aina lama tak update blog.... huhuhu.... nak buat macam mana lagi... banyak sangat komitmennya... banyak sangat 'projek' nya... sampaikan saya terpaksa tangguhkan rancangan untuk 'makan-makan angin'. Sekarang ni, saya makan angin yang betul-betul angin. Duduk terperap di rumah dan buat kerja! Selagi tak siap, janganlah harap!

Okeylah... rindu juga kat blog ni. Jadi hari ini saya nak bercerita sedikit tentang bahasa atau loghat daerah ni. Saya tak tahulah kenapa, saya memang sayang giler dengan loghat asli saya, iaitu 'Cakap Perak'. Dulu-dulu, semasa tamat pengajian di sekolah menengah, saya pergi ke Kuala Lumpur... dan saya takut nak buka mulut, sebab bila bercakap Melayu sahaja, saya cakap Perak, sampaikan saya jadi segan dengan teman-teman. Masa di Universi Malaya, saya lebih selesa berbahasa Inggeris, sebab bila saya cakap Melayu, saya tak tahu bertutur dalam bahasa Melayu standard! Huhuhu... ada sekali tu, saya kena marah dengan seorang tutor!

"Kamu ni konon-konon Melayu, tapi bila bercakap sahaja, kamu cakap bahasa Inggeris! Kamu Melayu apa ni?"

Saya terkebil-kebil macam nak menangis. Tapi saya tak jawab. Lepas tu, saya diam sahaja, tak nak bercakap lagi.

Macam mana saya nak cakap Melayu? Kalau saya cakap, saya pasti tutor atau kawan-kawan tak akan faham. Faham ke kalau saya kata:
'tak gemo', atau 'getik', 'Deme', 'kome', 'mika', 'teman' 'teghoyak', 'sekupang'.... hehe banyak lagi vocabulary bahasa daerah Perak ni. Orang Kuala Kangsar bercakap pun berbeza dengan orang Taiping atau Ipoh.

Kalau nak tahu... di Perak ada sejenis putu yang sekarang ini kami panggil Putu Perak, terdapat hanya di negeri Perak... sedapnya teramat sangat buat kami yang bertekak Perak ni! Kalau teringin nak makan, singgahlah di R&R Ulu Bernam.... Highway Plus Utara Selatan .Di situ, ada orang buat putu Perak panas-panas!

Okeylah... mungkin anda cuba cari lagi apa perkataan yang menjadi kegemaran orang Perak!

PS. Bagi mereka yang tak pernah tengok majalah digital interaktif 'LIFE IS BEAUTIFUL' jom tengok videonya.

 http://www.youtube.com/watch?v=ne_SqrFv-ns

Kalau nak tengok betul-betul, pergilah upload majalah itu. 

http://www.e-sentral.com/search/byid/3181


Majalahnya Free... kalau tak tengok, rugi!


Wassalam.