Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, June 30, 2014

Apa Istimewanya AlHambra?

Assalam

Mungkin ada di antara anda yang rajin ke blog saya tertanya-tanya, apa istimewanya istana AlHambra buat saya? Saya pernah membawa cerita AlHambra dalam novel pertama saya 'Sesuci Cinta'. Asalnya, novel itu (ketika masih merupakan sebuah manuskrip), saya namakannya 'Mimpi AlHambra', betapa saya mahu naikkan nama istana yang gilang-gemilang itu, namun niat saya tidak kesampaian. Apa pun, ramai juga pembaca saya yang membaca novel itu mengambil peluang untuk mengunjungi negara Sepanyol lalu pergi ke Andalusia untuk melihat istana AlHambra yang terletak di atas kawasan tinggi di kota Granada. Istana itu mempunyai latar kawasan tinggi Gunung Sierra Nervada. Memang menakjubkan.

Pun begitu, saya sangat teruja bila semalam saya melihat sebuah program yang mengisahkan tentang 'Istana AlHambra' di saluran TV AlHijrah. Hos program itu (seorang lelaki Arab) bercerita tentang kegemilangan kerajaan Islam selama 800 tahun di Andalusia Sepanyol, lalu bukan sekadar membina istana secantik AlHambra, tetapi di zaman itulah buah zaitun mula ditanam, begitu juga buah oren dan kurma. Sebelum itu, Eropah tidak pernah tahu tentang ketiga-tiga tanaman ini dan dari Andalusialah lain-lain negara di Eropah termasuk Amerika Syarikat tahu tentang kewujudan ketiga-tiga jenis tanaman ini. Alhamdulillah. Malah, program semalam juga bercerita tentang kehebatan reka bentuk istana AlHambra dengan segala ukiran ayat al-Quran dan kata-kata pujangga Arab yang diukirkan di atas kulit lembu yang dijadikan sebahagian daripada dinding dan siling istana itu. Bertingkat-tingkat. Malah, jubinnya juga sangat istimewa. Setelah Andalusia jatuh ke tangan Permaisuri Isabela dan konco-konconya, tiada lagi bangunan yang dapat dibina di Sepanyol sehebat AlHambra. Malah, kawasan AlHambra juga melihatkan kita kepada pembinaan saluran air yang datangnya dari kawasan bukit itu dan terus kekal menyejukkan kawasan itu hingga ke hari ini. Walaupun Andalusia sudah tidak lagi berada di tangan orang Islam sejak sekitar 600 tahun lalu, namun kegemilangan AlHambra kekal menjadi lambang kehebatan Islam buat suatu ketika dahulu.

Bagi saya, AlHambra mampu menaikkan semangat kita sebagai ummat Islam kerana ia adalah peninggalan sesuatu yang menunjukkan kepada kita bahawa Islam berjaya menjadi satu kerajaan yang cemerlang. Namun, AlHambra juga mengingatkan kita bahawa sesiapa jua, sekalipun hebat dan cemerlang, mampu dijatuhkan bila tersesat dan tersasar dari ajaran Islam. Serupa kita insan di dunia ini, Allah swt akan memberi ganjaran kepada kita bila kita perjuangkan Islam, namun Allah jua berkuasa untuk punahkan kecemerlangan kita bila kita terlupa untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab. Bila kita leka dan sesat dengan 'maksiat' atau lemah dengan 'nafsu' dengan mudah juga jiwa kita akan dirasuk syaitan, akhirnya akan jatuh tergolek. Segala kehebatan yang kita ada, segala kekayaan yang kita perolehi akan hilang begitu sahaja. Malah, iman kita juga goyang dan jadi lembik. Nauzubillah min zalik.

Semoga Ramadhan ini membawa kekuatan buat diri kita 'polish' semua yang berkarat, agar kita menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat. Amin. Agar kita mampu menjadi gah seperti 'AlHambra'.

Wassalam.

                                                   Taman yang romantis di AlHambra
                                                 Jubin dan pintu dalam kawasan istana
                                                     Tingkap-tingkap dan ukirannya
                                                   Lambang AlHambra - jubin dan ukiran khat
                                                                Jubin dan ukiran khat
                                                 Antara taman di courtyardnya
                                                                      Dari atas istana
                                                            Ukiran khat yang menakjubkan
                                                                    Istana AlHambra
                                                                   Lagi ukiran khat
                                                         Courtyard AlHambra