Cerita
2
Bahagian
6
Bersambung:
LIMA
KALI LIMA
AMNA
tahu pasti berat apa yang dipikul ibu mereka. Bukan mudah untuk pelihara lima
orang anak perempuan tanpa suami di sisi. Semestinya kelima-lima mereka sangat
rapat dengan arwah ayah mereka, namun setelah ayah mereka tiada, kesemua mereka
rapat pula dengan ibu mereka. Mereka mahu pastikan sekalipun tiada lelaki, ibu
mereka mampu untuk menguruskan keluarga dengan sebaik mungkin. Tugas mereka
ialah untuk memberi sokongan padu.
“Emak tahu… satu hari nanti, semua anak-anak mak akan
jadi isteri orang insyaa-Allah. Masa tu… tinggallah mak seorang diri. Tapi
sebagai ibu, mak harap anak-anak mak akan jadi isteri-isteri solehah dan
anak-anak yang baik. Itu dah bagus dah untuk mak. Untuk mak sendiri… apa-apa
yang Allah sediakan, itu dah bagus insyaa-Allah.” Kata-kata ibu mereka selalu
mengingatkan Amna tentang amanah mereka pula. Dia sentiasa berdoa agar satu
hari nanti, Allah menganugerahkan jodoh yang terbaik buatnya agar dirinya bukan
sahaja mampu untuk menjadi isteri yang baik, tetapi anak yang baik juga. Biar
kurang dari segi harta benda tak apa. Dia juga ingat pesan arwah ayahnya.
“Biar harta akhirat kita yang banyak… harta dunia ni
sementara sahaja.” Sejak kecil lagi, itulah ayat arwah ayah mereka yang
sentiasa mengingatkan mereka agar jangan jadi manusia materialistik. “Gila
harta dunia tak pergi jauh pun. Kat dunia sahaja. Takut di akhirat, tak banyak
mana harta kita.”
Prinsip itulah yang mereka pegang sejak kecil lagi.
Walaupun tak pernah kaya-raya, namun mereka tak pernah juga merasa kehimpitan
melampau. Serba cukup semuanya walaupun sentiasa sederhana.
“Bila… Bila pernah tak fikirkan siapa yang akan jadi
bakal suami Bila nanti?” pernah dia menyoal adiknya Nabila.
“Ada juga. Kalau tak… mungkin tak normal kot. Cuma Bila
tak kisah sebenarnya. Yang penting biar dia baik hati. Bila tak mahu kahwin
dengan lelaki yang jenis ambil kesempatan. Lelaki yang macam tu mungkin tak
jujur kot. Akak tau tak… kat tempat kerja Bila… ada seorang kakak tu… hari-hari
bengkak muka. Kalau tak sebab dia menangis, sebab kena lempang pulak. Bila
tengok pun kesian. Tapi tak faham macam mana dia masih boleh bertahan. Kalau
Bila… mesti tak sanggup kot.”
“Perempuan banyak yang macam tu kot. Sayang tak tentu
pasal. Bila rasakan… kita macam mana? Jenis yang macam tu ke?”
“Harap-harap biarlah kita jadi wanita yang bersabar, tapi
janganlah bersabar tak bertempat. Biarlah kita pandai guna akal fikiran.
Maknanya kita kena fikir baik buruknya satu-satu benda tu. Tak bolehlah main
redah saja… nanti kita yang merana. Kalau hidup sakit hati, mesti susah nak
buat amal ibadat. Takut kita jadi tak ikhlas pada Tuhan.”
“Betul tu. Sebenarnya kan… akak pun takut. Takut kita
buat pilihan yang salah.”
“Tapi… semua orang akan rasa takut pun. Cuma… kita kena
jadi orang yang bijak buat keputusan. Yang penting… kita juga berdoa
banyak-banyak. Memang jodoh kita ditentukan Allah swt, tapi kita juga boleh
berdoa minta Allah bagikan yang terbaik.”
Mereka berbual-bual lagi dan tiba-tiba sahaja Amna buka
cerita baru. “Hari tu lah… akak dengar Kak Sanah cakap… dia kata ada mamat ustaz
ni… berkenan dengan akak. Lelaki tu cakap dengan mak. Tapi biasalah mak… mak
bagi macam-macam syarat.” Amna tergelak kecil. “Akak tak tahulah muka mamat tu
macam mana… tapi Kak Sanah kata… okey-okey.” Dia tersenyum lagi. “Tapi kan…
akak tak bayangkan kahwin dengan ustaz…”
Mereka berbual lagi.
“Bila pernah terfikir tak… pasal benda-benda yang macam
ni?”
“Fikirlah jugak… entah-entah nanti mak suruh kita kahwin
masa yang sama tak?” Mereka tergelak.
DI
rumah itu, Amna dan Nabilah kongsi satu kamar, sedangkan yang tiga beradik
lagi, mereka kongsi satu lagi kamar. Seperti biasa, Suraya, Amira dan Zulaikha,
mereka juga rajin berbual-bual terutama waktu mahu lelapkan mata untuk tidur.
Amira kuat bercakap kalau dibandingkan dengan Suraya dan Zulaikha. Suraya atau ‘Yaya’,
dia suka membaca. Malah, apa sahaja akan dibacanya. Amira suka menjahit dan
suka pada fesyen, sedangkan Zulaikha pula suka pada haiwan, cuma di rumah
mereka, mereka tak dapat memelihara haiwan kesayangan kerana arwah ayah mereka
merupakan penghidap penyakit asthma. Begitu juga Nabilah dan Suraya,
kedua-duanya mewarisi penyakit ayah mereka, cuma penyakit mereka itu terkawal.
Bila berhabuk atau ada bulu binatang, mereka akan beresin atau semput.
“Serius kau nak jadi doktor haiwan, Ika?” soal Amira pada
adiknya.
“Takkan nak main-main kot? Kan Ika dah mula belajar pun. Best apa… Ika memang suka haiwan ni.
Kalau dapat, Ika nak kawasan rumah Ika penuh dengan burung. Macam-macam lagu
dan bunyi. Mesti seronok. Nak ada ayam dan itik, ada kambing…” dia tersenyum.
“Itu kalau Ika yang suka… kalau bakal suami Ika tak suka,
macam mana?”
“Carilah yang suka. Kalau ada yang berkenan, Ika akan
kenakan syarat… mesti suka haiwan. Kalau tak suka… hah boleh blah!” Zulaikha
ketawa.
“Garangnya Ika!” Suraya pula tersenyum. “Eh Ika… Kak Yaya
nak tanya ni, betul ke Ika cakap… kalau boleh nak cari suami yang kurang sifat
seperti insan lain?”
“Aah. Apa salahnya. Bukanlah wajib… tapi Ika rasa Ika
akan lebih bahagia kot kalau macam tu.”
“Ika nak cari suami yang … buta ke?” soal Amira.
“Tak kisah… apa-apa saja.”
“Peliklah Ika ni…” Amira pula mula tergelak.
“Tak salah apa. Janji dia baik. Janji juga dia tu jenis
bertanggungjawab. Sebenarnya itu adalah cabaran Ika sebagai Muslimah. Kalau OKU
pun tapi jiwa dan hatinya lebih baik dari yang normal… apa salahnya?”
Tiba-tiba Amira memandang pada Suraya. “Kak Yaya… betul
ke anak Mak Cik Esah tu… suka kat Kak Yaya?”
“Siapa cakap ni?” Suraya sudah tersipu-sipu.
“Alah, adalah…”
“Entahlah… Kak Yaya pun tak tahu.”
“Takkan tak tahu kot?” soal Amira lagi. “Kak Sanah yang
cakap tau… tapi Rizal tu okey kot.”
“Rizal?” soal Zulaikha.
“Kenapa?” soal Suraya.
“Sajalah Ika tanya… mamat tu baik ke?” sambung Zulaikha
lagi.
“Entah.” Kata Suraya.
“Tak apa… tak apa… mak kita kan ada. Serahlah pada emak.
Siapa pun yang berkenan dengan kita, mesti mak akan tapis dulu.” Beria-ia Amira
memaklumkan.
“Betul ke? Kalau macam tu… bolehlah Ika request suruh emak carikan Ika calon
yang kurang sempurna sifat fizikalnya?” sekali lagi Zulaikha bersuara.
“Ika ni memang peliklah!”
-
BERSAMBUNG
-
PERINGATAN:
Tulisan
ini adalah hak cipta penulis ini dan tidak boleh di ciplak dengan apa jua cara
termasuk semua bentuk digital walaupun sekadar paragraf atau ayat. Tulisan ini
juga adalah dalam bentuk ‘raw’ dan belum diedit lagi. Terima kasih.