Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, August 28, 2011

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin


Salam Ramadhan,

Sesungguhnya begitu berat untuk saya tinggalkan bulan yang mulia ini, tetapi saya berdoa dan berharap untuk bertemu bulan Ramadhan tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya, insya-Allah.

Dikesempatan ini , saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog ini, Selamat Hari Raya Eidul Fitri dan maaf zahir batin. Ampunkan saya sekiranya ada bahasa saya yang menyinggung dan menyakitkan hati anda. Saya berdoa agar saya dan anda sekelian, serta kaum kerabat kita, juga umat Islam seluruhnya, dipeliharai iman, dirahmati dunia dan akhirat, semoga kita sentiasa dilindungi-Nya.

Berhati-hati di jalan raya dan semoga hari raya anda semua merupakan sesuatu yang memberi makna. Wassalam dan salam sayang saya buat anda semua.




Saturday, August 27, 2011

Kamu Yang Cantik Hati Budi

                Gambar sekadar hiasan


Salam Ramadhan,

Selain hari ini, insya-Allah masih ada dua hari lagi untuk kita berpuasa. Nampaknya Lembah Klang dah mula lengang kerana penduduknya berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung. Semalam, saya dan suami, sama-sama turut sibuk untuk ke Selatan, tapi kami bukan pulang untuk beraya tetapi untuk menziarahi keluarga Allahyarham Kak Nor yang pulang ke Rahmatullah. Kami tidak sempat untuk melihat jenazahnya kerana bila kami tiba, mereka sudah pun mengebumikan Arwah Kak Nor. Saya tidak terkilan walaupun terkejut kerana Kak Nor pergi dengan tiba-tiba sahaja, kerana semua kenangan manis sudah terpahat di hati dan jiwa saya.

Arwah Kak Nor merupakan antara salah seorang insan yang sangat baik dan cantik hati budi dan saya tiada apa-apa yang hendak katakan tentangnya kecuali yang baik-baik belaka. Semua tutur kata Kak Nor tak ada yang tak cantik, semuanya cantik-cantik belaka, malah tidak lekang di mulutnya untuk mengakhiri perbualan dengan berkata, "I love you".

Bagaikan seorang kekasih, begitulah Kak Nor yang merupakan anak tunggal, semua sepupu dan sepupu iparnya adalah adik-beradiknya, semua ayah dan ibu saudaranya adalah ibu dan ayahnya. Kak Nor suka memuji kami, tak pernah lupa untuk berkirim salam kepada yang tua dan yang tidak hadir dan paling saya suka, Kak Nor suka memeluk-cium kami, dan pelukan dan ciumannya sentiasa ikhlas. Bukan itu sahaja, Kak Nor juga sangat murah hati, tak pernah datang dengan tangan yang kosong tak pernah lekang dengan senyuman dan tak pernah tinggi diri. Dia rajin bersedekah dan sangat baik kepada jiran-jirannya, sekalipun yang bukan Melayu.

Alhamdulillah, Arwah Kak Nor meninggalkan terlalu banyak kenangan manis. Suatu ketika dahulu, Kak Nor ikut kami ke Janda Baik dan berkelah bersama-sama. Dan Kak Nor memang jenis manusia yang tak putus-putus mengucapkan terima kasih sekalipun budi yang ditaburkan hanya sekecil biji saga.

Dialah manusia yang sentiasa berkata, "You are beautiful" kepada saya, dan baginya bukan paras rupa yang penting tetapi hati budi seseorang itu.

Kak Nor, you are always beautiful to me and I love you too. Always.

Sekali lagi, semoga Allah SWT Rahmati roh Arwah Kak Nor dan berikan ruang syurga buatnya. Amin dan Al Fatihah.










Friday, August 26, 2011

Innalillahi wainailaihi rajiun.

Innalillahi wainailaihi rajiun. Di hari yang mulia dan bulan yang mulia, salah seorang sepupu tersayang saya (sepupu suami) kembali ke Rahmatullah pagi ini. Saya akan bergegas ke Johor Bahru dalam sedikit masa lagi. Semoga roh Allahyarham Kak Nor (Umi Nor buat anak-anak saya) dirahmati Allah SWT.

Al Fatihah.

I am going to miss you, Kak Nor.

Kadar Jenayah Turun dan Tak Ada Orang Miskin?

 Bergelandangan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur

Salam Ramadhan,

Saya masih belum bersedia untuk tinggalkan bulan Ramadhan dan mungkin kerana itu juga saya masih belum bersedia untuk ucapkan Selamat Hari Raya.... tunggu sampai hari Isnin kot.

Apa pun, saya ingin ingatkan semua pembaca blog ini yang ingin berjalan jauh untuk balik kampung, supaya berjaga-jaga di jalan raya. Jangan bawa kereta laju dan jangan juga bawa terlalu perlahan. Berwaspada selalu dan ingatlah kepada orang-orang yang kita sayang. Rasa macam tak tergamak melihat berita di surat khabar dan televisyen, tak habis-habis melihat kemalangan jalan raya dan kematian. Sedih bila kita tengok mangsa-mangsa korban dan juga mereka yang ditinggalkan. Semoga Allah selamatkan kita.

Saya juga teramat hairan bila diberitahu bahawa kadar jenayah di negara ini sudah turun. Biar betul! Habis tu tiap-tiap hari kita dipaparkan kes-kes jenayah di muka-muka surat khabar tu apa bendanya? Ada sahaja kes bunuh, kes kecurian, malah macam-macam kes yang dahsyat-dahsyat, masih juga ada yang tergamak mengkhabarkan yang kadar kes jenayah dah turun di negara ini? Adoi... ada orang tak buat kerja ke, atau matanya letak di mana, atau mungkin main tembak-tembak sahaja?

Saya bukan nak perli siapa-siapa tetapi bukankah ini realiti dan kenapa kita mesti berdalih dan mengatakan bahawa 'everything is okay and not so bad' sedangkan setiap hari kita hidup dengan kebimbangan. Pelik bin ajaib bila ada yang cuba menafikan. Apa salahnya kalau kita mengaku sahaja bahawa kita mempunyai masalah untuk menurunkan kadar jenayah di negara ini?

Saya tak tahu kenapa ada pihak yang suka menyorok di belakang tabir dan buat-buat cerita yang semuanya okey. Nak tipu siapa eh?

Semasa kawan saya pulang dari luar negara, itulah yang dia tanya saya. "Betul ke kat Malaysia sekarang ni dah tak ada orang miskin dan kadar jenayah dan turun?" Kawan saya memegang jawatan penting di luar negara dan dia menerima maklumat yang begitu.

Saya memang terkejut dan saya berkata kepadanya, "Ada orang saja nak buat cerita kot. Senanglah kerja dia dan agaknya juga dia saja nak cari 'points' supaya nampak macam dia buat kerja. Tapi malanglah ya, sebab kerajaan percaya pada cakap dia. Kalau tanya saya, saya kata saja yang dia ni kaki 'kelentong'!"

Seketika kemudian, kawan saya pun percaya cakap saya kerana dia agak terkejut juga bila melihat program TV di mana terdapat kumpulan tertentu berusaha untuk memberi makan percuma kepada golongan miskin dan daif yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur tanpa tempat tinggal. Mereka hidup di tepi-tepi jalan atau di bawah jambatan, pendek kata mereka hidup bergelandangan.

"Tentu lagi banyak yang miskin di luar Kuala Lumpur, kan?" Kata kawan saya.

"Iyalah, mungkin kita tidak kebuluran macam kat Somalia tu, tapi masih ramai yang miskin dan papa kedana. Kita nak tipu siapa, kan? Takkan nak tipu diri sendiri kot." Kata saya.

Itulah yang sedihnya bila ada pihak tertentu yang pandai buat cerita konon-kononnya kita tak ada apa-apa masalah. Apa salahnya kita mengaku yang kita juga ada masalah macam negara lain juga? Kita bukan negara yang 'sempurna', dan tak salah kalau kita mengaku lalu kita usahakan agar negara ini dapat mengatasi masalah yang ada. Tapi kalau kita 'buat-buat' macam semuanya 'sempurna' itulah yang akan jadi lebih banyak masalah, kerana kita tidak akan cuba mengatasi masalah yang ada.

Semoga kita semua renung-renungkan isu yang saya bangkitkan ini dan semoga kita semua sedar akan keadaan realiti yang ada dan semoga kita sama-sama dapat menolong untuk mengatasinya.

Oh, ya... ada yang sibuk nak tahu tentang cerita skandal dunia buku yang saya sebut dalam entri sebelum ini. Sabarlah, beb... nanti saya ceritakan berperingkat-peringkat, sebab memang banyak ceritanya. Mungkin ada yang akan terkejut!

Insya-Allah, kita jumpa lagi pada hujung minggu ini. Wassalam.



















Thursday, August 25, 2011

Ada Apa Dengan Orang Turki dan Orang Asli?







Salam Ramadhan,

Kalau diikutkan hati, ada banyak perkara yang hendak saya bangkitkan dalam blog saya ini, terutama hal-hal dunia buku. Termasuklah kisah-kisah skandal dunia buku hari ini. Juga saya ingin bercerita tentang hal kereta Honda Hybrid saya - berhubung dengan Honda dan Kah Motors. Tetapi mengenangkan ini bulan Ramadhan, saya akan tundakan kisah-kisah ini sehingga masuk bulan Syawal nanti. Memang banyak yang hendak saya sembangkan.

Pagi ini saya teringat kepada sebuah negara yang terletak di antara benua Eropah dan Asia. Malah, kota Istanbul yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 14 juta itu, mempunyai bahagian kotanya yang terletak di Eropah dan juga Asia. Negara yang pernah diperintah oleh kerajaan Ottoman itu ada hubungannya dengan diri saya ini. Allayarham ayah saya, walaupun merupakan berketurunan Arab, namun dia juga merupakan rakyat Turki dan pernah tinggal di sana (dibawah pemerintahan Ottoman) suatu ketika dahulu.

Hari ini kita semua tahu bahawa dunia Barat sedang dilanda krisis kewangan yang agak berat dan teruk, namun peliknya, telah dikhabarkan bahawa negara Turki pula sedang rancak dan mengembang keadaan ekonominya. Oleh kerana itu juga, Turki sangat aktif dan mengambil berat tentang peperangan yang terjadi kepada jiran-jirannya, termasuklah masalah di negara Syria. Turki mampu membantu dan itulah yang sedang dilakukan mereka. Malah, bukan sekadar keadaan ekonominya yang sedang maju jaya, malah Turki yang suatu ketikanya merupakan sebuah negara Islam yang agak moden dan ketinggalan dari segi keagamaannya, kini mula bangkit semula. Islam sedang berkembang dengan pesatnya dan ini juga kita dapat lihat ketika berada di kota Mekah dan Madinah. Terlalu banyak kumpulan orang Turki yang datang ke tanah suci untuk kerjakan ibadah Umrah. Malah, mereka merupakan kumpulan-kumpulan yang bersemangat tinggi dan mereka tunjukkan semangat itu di tanah suci, alhamdulillah. Saya tumpang berbangga.

Dikatakan juga bahawa Turki sedang bekerja keras untuk menjadi wakil 'bersuara' bagi umat Islam sedunia. Merekalah yang selalu ke depan untuk membantu orang-orang Islam yang sedang menimpa musibah di mana-mana di dunia ini, termasuklah di Palestin. Semasa saya di Acheh, itulah yang saya lihat tentang sumbangan negara Turki buat negara jiran ketika mereka ditimpa musibah Tsunami. Dalam hal sumbangan, sejak kebelakangan ini Turki mampu kalahkan negara-negara Arab.

Buat masa ini, saya sangat teringin untuk ke sana. Saya pernah berhenti di lapangan terbang di Istanbul (buat seketika sahaja) semasa dalam perjalanan pergi balik ke Sepanyol. Insya-Allah, akan saya usahakan untuk ke sana suatu hari nanti. Adik-beradik saya, ramai yang sudah ke sana, termasuklah anak sulung saya. Kata mereka, Turki memang cantik.

Mungkin dulu saya kurang terpanggil untuk ke sana, tetapi kini perasaan saya berubah, tiba-tiba terasa teramat sangat untuk ke sana. Saya tahu yang arwah ayah saya sangat berbangga dengan negaranya itu.

Kebetulan juga, semalam saya sedang menonton sebuah program masak di televisyen (rasanya RTM1) dan saya tersinggung apabila tetamu program itu (seorang pelakon drama) berkata sesuatu yang bagi saya merupakan satu penghinaan buat kaum orang asli di negara ini. Hos program (juga seorang pelakon) sedang cuba bercakap mengikut loghat tetamunya itu (orang negeri Pahang) dan sebaik mencuba, tetamunya berkata, "Alah, dah bunyi macam orang asli pulak dah,". Isy, isy, isy... memang dia tak tahu bercakap dan malang sungguh kerana siaran itu tentunya ditonton oleh semua, termasuk mereka yang merupakan kaum orang asli. Saya tak faham kenapa golongan seleberiti terlalu tak ambil kisah dengan tutur kata mereka. Walaupun saya bukan orang asli, saya tersentuh dan tersinggung dengan cara mereka bercakap itu!

Semoga ini menjadi pengajaran buat kita semua. Apa sekalipun yang ingin kita tuturkan, jagalah bahasa kita, jangan sampai kita menyakiti orang lain. Janganlah kita sombong dan menganggap bahawa bangsa kita lebih tinggi mertabatnya dari kaum lain. Apalah dosa orang asli hinggakan kita perlu menghina mereka?

Mungkin saya sensitif, tetapi inilah realitinya masyarakat kita yang selalu sangat terlepas cakap.

Wallahua'lam.



















Wednesday, August 24, 2011

Iman, Duit dan Kemiskinan


Salam Ramadhan,

Selain hari ini, insya-Allah masih ada lagi lima hari untuk kita tunaikan ibadah puasa dan pagi ini saya suka untuk membincangkan hal iman, duit dan kemiskinan. Ada seseorang memberitahu saya bahawa seorang imam besar dari luar negara telah memaklumkan kepadanya bahawa untuk menjadi seorang Muslim yang baik, selepas iman yang kuat, kita harus ada duit. Dalam hal ini saya sangat bersetuju. Mungkin anda tertanya-tanya kenapa saya pentingkan duit pula sedangkan selama ini saya sering kali mengatakan bahawa kita jangan sekali-kali berkiblat kepada 'duit'. Iya betul. Saya tidak pernah letak duit di tangga yang teratas kerana sebagai seorang yang beragama Islam, sudah menjadi wajib bagi kita untuk utamakan keimanan kita, iaitu mendahulukan hal-hal kepercayaan kepada Allah SWT dan segala perintahnya.

Namun demikian, saya sentiasa mengajak pembaca saya untuk berusaha di dunia ini agar kita tidak ketinggalan. Apa jua halnya di dunia ini, kita perlukan 'harta' untuk hidup dan perlukan 'harta' untuk beramal. Mana mungkin kita membayar zakat dan bersedekah kalau diri kita sendiri sentiasa 'meminta-minta'. Dalam Islam, kedudukan orang yang memberi adalah lagi baik daripada yang meminta. Oleh kerana itulah kita wajib bekerja keras untuk mencari harta agar kedudukan kita di dunia ini lagi baik dan dengan itu insya-Allah dapat membantu orang lain juga.

Saya selalu berfikir, kenapa masih terlalu ramai orang Islam di negara ini yang dikira daif dan miskin? Kalau diikutkan, wang zakat harta dan zakat fitrah yang dibayar oleh orang ramai yang dikira sebagai berada, juga boleh dianggap banyak dan besar, jadi mengapa masih ada kemiskinan dan kedaifan dalam umat Islam? Cuba kita duduk dan hitung wang yang dikumpul. Apakah mungkin kita tidak mempunyai 'data base' yang cukup untuk dirujuk? Dan mungkin juga kita tidak menyediakan program yang baik untuk menolong mereka yang miskin dan daif? Misalnya, kita sekadar memberi wang tetapi tidak memberi modal untuk mereka perbaiki keadaan ekonomi mereka?

Memang banyak yang saya fikirkan. Kalau kita tengok di surat khabar dan peti televisyen, sememangnya ramai yang masih ketinggalan dari segi ekonomi dan dengan itu mereka mungkin ketinggalan dalam segala hal, termasuklah pelajaran dan peluang-peluang yang lain.

Memang tidak salah kalau kita berusaha keras untuk cari harta dan menjadi satu kesalahan besar kalau kita hanya duduk diam-diam tanpa usaha dan biarkan diri jadi miskin. Kemiskinan mampu hancurkan keimanan kita kerana banyak kes telah membuktikannya. Dengan itu, jauhkan diri dari jadi miskin dan daif.

Apa pun, jangan pula kita dahulukan 'duit' dan harta dari 'iman' kerana itu juga mampu menghancurkan kita. Insya-Allah, kalau kita sama-sama usahakan, kita mampu jadikan negara ini sebuah negara yang baik untuk bukan sekadar umat Islamnya tetapi mereka yang bukan beragama Islam juga.

Wallahua'lam.











Tuesday, August 23, 2011

Ya Tuhanku, Ampunkanlah dosaku


Salam Ramadhan,

Pagi ini di Nilai, hujan agak lebat juga, menyejukkan bumi yang mula-mulanya agak bercuaca panas. Alhamdulillah, setakat ini begitulah keadaan cuaca di bulan Ramadhan tahun ini. Berselang-seli, ada ketika matahari muncul bagai nak rak, mungkin untuk membenarkan kita semua menyidai pakaian yang dibasuh, menjemur apa-apa yang perlu dijemur. Ada ketika, hujan turun dengan lebat untuk menyejukkan kita di bulan puasa ini. Apa-apa pun, alhamdulillah ya Tuhanku, di atas rahmat-Mu di pagi hari ini.

Mungkin berkali-kali di bulan Ramadhan ini saya bercerita tentang kematian. Tentang sesuatu yang betul-betul terjadi (di atas teman, rakan dan kenalan yang pergi di bulan yang mulia ini), juga untuk mengingatkan diri kita sentiasa bahawa kita hanyalah menumpang di dunia ini. Bila tiba masanya nanti, kita akan dijemput untuk kembali kepada Tuhan Maha Agong. Hatta mempunyai harta segunung atau balaci-balaci satu batalion sekalipun, kita akan tetap tinggalkan semuanya. Yang menolong kita hanya amalan-amalan yang telah kita lakukan dan juga doa anak-anak yang salih, insya-Allah. Namun kita manusia, jarang-jarang mengingatkan diri tentang hal-hal ini.

Saya memang suka melihat berita yang disiarkan, tak kiralah di dalam negeri atau di luar negara. Banyak perkara yang buat saya fikir tak henti-henti terutama bila melihat betapa manusia di dunia terlalu rakus inginkan kekayaan yang tinggi menggunung, inginkan kuasa hinggakan terasa diri menjadi hebat dan kuat, seolah-olah masing-masing tak mampu dijatuhkan. Keadaan ekonomi di negara-negara Barat sangat meruncing dan kalau difikirkan, mengapa semua ini boleh berlaku? Bukankah kerana negara-negara ini berasa hebat lalu mereka lakukan apa sahaja untuk hebatkan lagi negara mereka? Tahu-tahu semua sudah terbelit dengan hutang yang teramat tinggi. Keadaan ini sedang merebak dan janganlah kita di Malaysia ambil ringan tentang hal ini, kerana kita pun tidak banyak beza dengan mereka di sana.

Lihat pula kepada individu-individu yang pernah merasakan bahawa diri mereka tidak boleh ditukar ganti. Hosni Mubarak, juga Muammar Gadafi dan Abdullah Salleh, antara manusia-manusia di tanah Arab yang merasakan bahawa mereka itu kebal. Kini, masing-masing ditumpaskan, bukan sekadar hilang kuasa, malah hilang maruah dan harga diri. Apakah harta dan kekayaan mampu menjaminkan kebahagiaan? Dan manusia-manusia ini, apakah mereka ambil peduli kepada rakyat dan adakah mereka menunaikan amanah Tuhan sebagai pemimpin negara? Sungguh malang apabila melihat keadaan Hosni Mubarak yang terpaksa terbaring dan diusung di dalam mahkamah!

Kisah-kisah ini sudah diceritakan Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran. Pelbagai contoh yang Tuhan bentangkan agar kita manusia sentiasa berwaspada.

Semoga di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita gunakan peluang yang ada untuk rujuk kepada kitab suci ini, bersihkan jiwa dan hati. Memang indah kalau kita usahakan untuk minta keampunan Tuhan di atas segala dosa kecil dan besar kita. Insya-Allah, kalau kita lakukan dengan hati yang ikhlas, Tuhan akan terima taubat kita. Sama-samalah kita berusaha agar umat Islam sentiasa dipeliharai Allah SWT dunia dan akhirat. Amin.









Monday, August 22, 2011

Pergi Lagi Seorang Novelis


Salam Ramadhan,

Semalam, pergi lagi seorang karyawan yang kita gelar sebagai penulis dan novelis. Suatu kehilangan yang besar. Al-Fatihah buat Azizi Hj. Abdullah.  Telah dikhabarkan bahawa Allahayarham Azizi Hj Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi semalam.

Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan dirawat di hospital berkenaan. Allahyarham menjani pembedahan jantung pada bulan April yang lalu dan mengalami sedikit masalah berkaitan buah pinggang dan berada di hospital sehingga kematian beliau.

Bagi mereka yang tidak mengenali Allahyarham, tema penulisan Azizi biasanya berintikan agama dan rohani dan antara karya beliau yg terkenal ialah "Seorang Tua Di kaki Gunung" yang diangkat menjadi buku teks dan drama TV. 

Semoga rohnya dirahmati Allah SWT.

Sunday, August 21, 2011

Beratkan Yang Positif



Salam,

Pernahkah anda duduk dan fikirkan tentang diri anda dan merasakan bahawa 'Kenapa susah nak mengecapi kesenangan atau kebahagiaan? Kenapa payah nak tidur malam? Kenapa ada-ada sahaja yang terjadi pada diri hinggakan kadang-kadang terasa malas hendak hidup. Mungkin terasa yang diri tidak disayangi Tuhan, tidak seperti orang lain yang kita lihat sangat senang dan bahagia?'

Pernah tak kita menyoal begitu?

Saya selalu mendapat e-mel yang bertanyakan soalan-soalan seperti itu, seolah-olah diri yang bertanya payah sungguh nak 'cemerlang' dalam hidupnya. Hampir semuanya tak bagus belaka.

Sebenarnya, memang banyak orang rasa begitu, kerana sebenarnya kita kurang tahu akan masalah orang lain. Kita tahu apa yang kita hadapi tetapi kita tak tahu apa yang orang lain sedang hadapi. Kita tahu apa yang kita rasa tetapi kita tak tahu apa orang lain rasa. Sebab itulah kita selalu bersangka buruk pada diri kita sendiri.

Lagipun, rata-rata manusia ini, jarang-jarang mahu bersyukur dengan apa yang mereka ada, dan jarang-jarang mahu berpuas hati dengan apa yang mereka ada. Sentiasa terasa tak cukup dan kurang, sentiasa mahukan lebih. Itu mungkin sudah menjadi 'tabiat' buat kebanyakan kita, tak pernah rasa selesa dan puas. Kita suka buat perbandingan dengan orang lain. Mungkin dengan adik beradik kita, dengan kawan dan teman, dengan jiran, dengan rakan sekerja dan macam-macam lagi.

"Suami saya tak sebaik suami adik saya. Dia tu malas. Tak rajin nak tolong saya kat rumah. Asyik melepak aje. Kalau suami adik saya, semuanya dia buat. Angkat tong sampah ke depan, tolong basuh dan sidai kain baju, tolong kemas rumah." Kata seorang teman.

"Tak ada apa-apa yang best ke tentang suami you ni?"

"Entahlah. Mmm... mungkin dia suka bawak saya makan kat luar. Kadang-kadang bila dapat bonus ke, dia rajin jugak bawak saya makan angin. Sekali tu, dia bawak saya ke Bali. Selama hidup saya ni, naik kapal terbang pun saya tak pernah. Merasalah jugak pergi ke negara orang."

"Kira okeylah tu. Taklah teruk sangat dia. Suami adik you rajin ke bawak isteri dia makan angin macam tu?"

"Entahlah. Suami dia tu suka balik kampung. Dia tu anak emak. Manja. Maklumlah anak bongsu emak dia."

"Alhamdulillah. Ada juga dia emak, kan? Biarlah dia buat baik pada emak dia sementara masih ada lagi hayat emak dia."

Begitulah kita, kan? Lebih suka bercakap dan fikirkan tentang yang negatif. Yang positif kadang-kadang kita tolak tepi seolah-olah yang negatif lebih berkesan dalam hidup kita, padahal kalau kita fikir baik-baik dan timbangkan betul-betul, banyak yang positif dalam hidup kita ini. Mungkin kita terlupa.

Mungkin elok kalau kia belajar untuk beratkan positif dalam hidup kita.

Apa pun, eloklah kita bersangka baik kepada Allah SWT, kerana sebenarnya kalau kita sentiasa ingatkan-Nya lalu beramal, Tuhan akan sediakan yang terbaik juga untuk kita, insya-Allah. Cuma kita sebagai manusia, perlulah bersabar. Segala yang kurang dan tak elok itu, mungkin ada hikmah dan hidayahnya, hanya Tuhan yang tahu.

Wallahua'lam.





















Friday, August 19, 2011

Biar Puasa Lagi Hebat Dari Raya


Salam Hari Jumaat,

Hari ini merupakan hari ke 19 kita berpuasa, tapi nampaknya mood raya dah tinggi sangat-sangat hinggakan banyak pejabat, kakitangannya dah malas nak buat kerja. Adoi. Lambat lagi nak raya ni. Lagipun, takkanlah kita nak beraya sakan sedangkan puasa pun tak habis lagi. Tapi, memang dah jadi fesyen kot, lebih ramai orang yang pentingkan raya daripada puasa. Mungkin juga ada yang puasa sebabkan nak raya. Hehe... macam budak-budak! Saya ingat, dulu-dulu memang ibu bapa akan pujuk anak-anak supaya rajin berpuasa sebab kalau tak puasa katanya tak boleh raya.

Sebut pasal hal ini, memang agak peliklah juga bila kita tengok ada orang yang tak ambil kisah pasal puasa, tahu-tahu beraya sakan. Ah, jangan ingat tak ada tahu, memang ramai yang macam tu. Dalam bulan puasa, mereka tak puasa, siap boleh makan lagi bila ingat orang tak nampak, tapi bila bab raya ni, dia sambut raya lebih hebat daripada mereka yang mengerjakan ibadah puasa. Mungkin bagi mereka ini, raya itu lagi penting dari puasa. Adoi, sedihnya.

Saya bukan saja-saja buat cerita, tetapi sekadar mengingatkan kita agar hormatilah bulan Ramadhan. Sebenarnya kalau kita faham hidayah dan hikmahnya, mungkin kita tak mahu bulan Ramadhan jauh dari kita. Setiap kali kita tempuhi bulan Ramadhan, kita bersyukurlah kerana kita belum tahu lagi sama ada kita akan bertemu dengan Ramadhan lagi. Banyak yang kita boleh lakukan pada bulan yang mulia ini dan apa sahaja amal yang kita lakukan, ganjarannya juga amat tinggi, insya-Allah.

Dalam pada itu, sukalah saya mengingatkan anda sekelian yang sedang bersiap-siap untuk beraya sakan, ingat-ingatkanlah juga umat Islam yang berada di negara daif seperti Somalia yang kini sedang berdepan dengan kemarau dan kebuluran. Berpuluh ribu kanak-kanak yang mati begitu sahaja kerana tidak mempunyai makanan. Mungkin bagi yang ada lebih itu, hulur-hulurkanlah kepada tabung-tabung yang sedang membantu mereka di sana. Insya-Allah, setiap apa yang kita lakukan di atas nama Allah SWT, akan ada ganjarannya, kalau tidak di dunia, di akhirat nanti.

Okeylah, berbalik kepada ibadah puasa, semoga kita sama-sama menghayati bulan Ramadhan dan gunalah peluang yang ada untuk tambahkan pahala pada hari-hari pengakhir Ramadhan tahun ini. Semoga Tuhan rahmati kita semua dan selamat dunia akhirat. Insya-Allah.









Thursday, August 18, 2011

Menang Daripada Kegagalan

    Kathryn Stockett

Salam Ramadhan

Pada bulan yang mulia ini, mungkin elok juga kalau kita renung-renungkan diri kita. Kalau anda masih muda, mungkin bila anda berdepan dengan masalah, anda rasa masalah yang kecil itu sungguh besar dan membebankan. Namun, sekiranya anda terus berada di bumi ini dan meningkat umur, perlahan-lahan anda akan sedar bahawa sebagai manusia kita tak akan lari daripada melalui rintangan dan bebanan yang kita anggap sebagai masalah. Tapi... mungkin hidup kita jadi mendatar sahaja kalau kita tidak berdepan dengan ribut dan taufan. Mungkin kita tidak belajar apa-apa sekiranya kita tidak dibebankan dengan masalah. Mungkin kita tidak menjadi orang yang berfikir kalau kita tidak pernah menempuh kegagalan. Kegagalan kerapa kali berjaya untuk mendewasakan fikiran kita. Kegagalan sering kali membawa kejayaan yang sebenarnya.

Sudah berkali-kali saya bercerita tentang pengalaman yang dilalui oleh penulis terkenal kepada siri buku-buku 'Harry Potter', iaitu J.K. Rowling. Bagi saya sebagai penulis, saya suka mendengar kisah yang diceritakan Joanne (nama sebenarnya) bagaimana kegagalan mampu untuk mendatangkan idea kepadanya lalu berjaya untuk menjadikan karyanya satu fenomena bagi remaja di seluruh dunia. Joanne terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan selepas 12 kali gagal untuk terbitkan karyanya, kali yang ketiga belas dia berjaya. Malah, agent yang menerima karyanya itu telah mengingatkannya bahawa buku kanak-kanak biasanya tidak cemerlang di pasaran. Namun, semuanya berubah buat wanita yang pernah gagal dan mengalami kemurungan, apabila remaja seluruh dunia menggilai karyanya itu.

Beberapa minggu yang lepas, saya juga membaca kisah seorang lagi penulis wanita yang bernama Kathryn Stockett yang berjaya menjadikan karyanya 'The Help' sebagai 'Best Seller' di Amerika Syarikat. Namun, Kathryn terpaksa menunggu lebih dari lima tahun dan hanya kali ke 61 barulah karyanya itu diterima untuk diterbitkan. Kini, 'The Help' telah diangkat untuk dijadikan sebuah filem. Saya juga tabik kepada wanita ini kerana tidak patah semangat dan putus asa walaupun karyanya pernah di reject berpuluh-puluh kali.

Mungkin elok juga kalau kita lihat pada diri kita dan bertanya, adakah kita takut kepada kegagalan? Apakah mungkin kita senang berputus asa sekiranya kita gagal dalam apa jua perkara yang kita tempuhi di dunia ini? Saya percaya, dalam banyak perkara, kalau kita terus berusaha dan cekalkan semangat, insya-Allah, kegagalan akan mampu membuat kita lebih matang dan seterusnya menjadi kental, lalu apa-apa sahaja yang kita lalui itu akan membawa kita kepada kejayaan. Wallahua'lam.

Dari kecil hingga dewasa, kita takut untuk gagal peperiksaan. Kita mahu lulus semua ujian. Kita jauhkan diri daripada segala apa yang dikatakan 'tumpas', termasuklah dalam hal bercinta dan perkahwinan. Namun dalam hidup sebenarnya, segala kegagalan yang mungkin kita tempuhi itu, insya-Allah akan menjadikan kita orang yang kuat dan lebih bersemangat. Kegagalan atau kekalahan tentunya akan membawa kita kepada kejayaan dan kemenangan, sekiranya kita bersabar, terus berusaha dan yakin. Insya-Allah.









Wednesday, August 17, 2011

Sabotaj?

    Gambar Datuk Siti yang saya cilok dari Yahoo

Salam

Salawat kepada Nabi Muhammad (SAW) dan selamat menyambut Nuzul Quran, semoga kita sentiasa dekatkan diri dan amal membaca kitab suci ini, insya-Allah.

Tentu ramai yang berehat-rehat pada hari ini, atau mungkin bagi mereka yang bercuti, sibuk pergi shopping untuk persediaan hari raya. Bagi saya, lebih selesa duduk di rumah sahaja, seperti biasa. Memang dah lama saya tak kisah sangat pasal hari raya ini. Apa-apa yang ada, sudah cukup baik dah. Malah, kuih dan sajian yang lain, saya serahkan pada anak perempuan saya untuk buat pesanan. Apa yang dia pesan, itulah yang saya sajikan, insya-Allah.

Saya ingin bercerita tentang dunia bisnes hari ini. Malah, kisah perniagaan ini bukan merupakan perkara baru. Nabi junjungan kita (SAW) juga merupakan ahli perniagaan dan macam-macam kerenah dalam dunia bisnes. Baru-baru ini, saya terbaca tentang kisah 'sabotaj' yang mungkin dialami oleh penyanyi terkenal Malaysia, iaitu Datuk Siti Nurhaliza. Dikatakan kemungkinan besar bisnesnya 'SimplySiti' sedang berdepan dengan satu kejadian 'sabotaj' bila tiba-tiba sahaja dihebahkan bahawa produk kosmetiknya itu ada kaitan dengan 'bulu babi'.

Bukan tujuan saya nak bercerita tentang Datuk Siti dengan bisnesnya, tetapi saya ingin bualkan tentang kisah 'sabotaj' dalam dunia bisnes. Mungkin perkara ini berlaku di mana-mana sahaja, tetapi memang di negara kita, perkara seperti ini seolah-olah dah jadi satu kebiasaan. Apa sahaja produk atau 'bisnes' yang sedang diusahakan, memang sering tidak lari daripada 'sabotaj' pesaing. Ada-ada sahaja. Kadang-kadang mungkin menjadi sesuatu yang 'trendy'. Sabotaj boleh berlaku dalam pelbagai segi termasuklah cucuk-menyucuk, bayar rasuah, dan sebarkan fitnah. Masalahnya, dalam dunia bisnes orang-orang Muslim juga perkara ini berlaku dengan mudah. Bila hal sabotaj dikaitkan, banyak orang akan ketepikan prinsip dalam agama. Asal sahaja bisnes mereka boleh naik dan berkembang, mereka akan lakukan apa sahaja. Nauzubillah.

Saya tidak berniat untuk bercerita tentang siapa-siapa, hanya sekadar mengingatkan diri kita semua, bahawa dunia ini sekadar pinjaman sahaja. Esok lusa kita boleh diambil pergi dan tinggallah segala-galanya, tak kira harta atau sanak saudara. Kalau kita mencari rezeki dengan cara yang kotor, sekalipun kita menjadi kaya-raya, namun barakahnya belum tentu ada. Seelok-eloknya, biarlah kita berjaga-jaga, jangan sampai sanggup lakukan apa sahaja kerana mahukan harta dunia dan jatuhkan orang lain!

Wallahua'lam.








Tuesday, August 16, 2011

Makan dan Kesabaran di Bulan Ramadhan


Salam

Ada dua perkara yang saya nak bangkitkan dalam entri saya kali ini. Yang pertama ialah tentang makan dan makanan, Saya tak tahulah kenapa bila masuk sahaja bulan Ramadhan, antara perkara penting yang selalu dibual orang ialah tentang makan. Setiap hari, ada-ada sahaja tentang makan dan makanan menjadi isu masyarakat kita. Malah, dari segi komersialnya, semua restoran dan hotel-hotel menyediakan 'makan istimewa' untuk pelanggannya, hinggakan ada tempat menyediakan sampai lebih seratus macam jenis makanan yang dijadikan menu buffet mereka. Malah, harga buffet untuk setiap orang ada yang melebihi RM100-RM150. Hebat tu. Kata puasa, tapi bila sampai untuk berbuka puasa nampaknya tekak kita jadi berubah, seolah-olah inilah masanya kita nak 'melantak' sebanyak mungkin.

Adoi. Dah jadi kebiasaan dan mungkin satu tradisi bagi orang-orang korporat dan orang kota untuk meraikan bulan Ramadhan sebegitu rupa. Kalau dah makan berlambak-lambak macam tu, boleh ke kita solat lepas tu? Takut ada yang seronok makan daripada nak kerjakan solat Maghrib. Minta-minta jangan ada yang begitu.

Itu cerita restoran dan hotel, tetapi di rumah pun banyak yang serupa. Setiap hari mesti kena sediakan makanan yang istimewa. Kalau pada hari biasa-biasa kita makan sedang-sedang, hari-hari di bulan Ramadhan mula berubah. Setiap hari mesti ada pelbagai makanan hinggakan kadang-kadang tak terhabis untuk dimakan. Ada pula tu, siap memborong di pasar ramadhan, apa sahaja yang nampak sedap, mesti dibelinya. Akhirnya makanan itu lebih banyak masuk tong sampah daripada masuk perut! Malah, nak minum air pun mesti kena minum air istimewa, tak main minum air kosong aje.

Adoi. Saya bukan cakap pasal orang, tetapi pasal diri saya juga. Sekarang ini, saya elakkan diri dari ke pasar ramadhan dan saya juga elakkan diri dari berbuka puasa di luar. Bukannya apa, saya takut tak terkawal perbuatan pembaziran di bulan Ramadhan. Di rumah pun, masing-masing ada macam-macam request, nak makan itulah, nak makan inilah... asal habis dan tak membazir, okeylah. Bila membazir dan tengok pula berita di Al Jazeera, bagaimana mereka di Somalia sedang kelaparan, saya berasa teramat sedih. Tambah pula bila melihat pelbagai jenis makanan yang ditawarkan di muka-muka surat khabar.

Okeylah, selain dari cerita makan, saya hendak juga sentuh tentang satu perkara ini. Iaitu tentang kesabaran. Bagi mereka yang masih muda dan tidak melalui pelbagai dugaan, mungkin perkataan 'sabar' itu tidak membawa banyak ertinya, tetapi bagi orang macam saya, saya sudah tahu nilai dan erti 'sabar' dalam hidup kita insya-Allah. Setiap apa sahaja yang kita lalui (baik dan buruk), belajarlah untuk bersabar. Malah, dengan kesabaranlah kita akan belajar untuk menilai dan menghayati hidup kita sebagai Muslim, isya-Allah. Dengan kesabaranlah kita dapat dekatkan diri kita kepada Tuhan, kuatkan iman kita dan kuatkan takwa kita dalam urusan agama, insya-Allah. Tanpa kesabaran, kita akan sentiasa hidup dengan kebimbangan dan ketakutan.

 Dalam bulan yang mulia ini, marilah kita cuba mencari nilai 'kesabaran' itu agar apa sahaja dugaan yang datang, kita akan terus bertenang. Insya-Allah.

Wallahua'lam.










Monday, August 15, 2011

Cinta Muka Buku



Salam

Saya bukan nak bualkan pasal lagu (saya tahu ada lagu yang berjudul macam ini) tetapi tentang laman sosial yang dah lama menghantui cara hidup kita (saya daftar selama tiga hari saja). Di mana-mana pun, ada-ada sahaja cerita tentang aktiviti laman sosial ini, termasuk juga Twitter. Malah, ramai juga yang cuba mencari jodoh di laman-laman seperti ini. Maklumlah, orang sekarang rata-rata banyak menghabiskan masa di depan komputer. Waktu pejabat, masa belajar dan juga masa senggang. Seolah-olah hidup tanpa komputer macam tak ada makna dah.

Macam-macam cerita cinta yang kita dengar melalui muka buku ini. Ada yang jadi, tetapi lebih banyak yang tak menjadi. Malah, ramai juga yang kena tipu bulat-bulat. Maklumlah ramai yang suka mengambil kesempatan. Tetapi yang paling berat, banyak juga yang percaya apa sahaja yang dikata oleh orang di luar sana yang cuba memujuk mangsa-mangsanya.

Ada banyak perkara yang baik tentang muka buku ini kalau kita betul-betul urusakn dengan baik, tetapi kalau kita kurang bijak, laman sosial ini mungkin akan memakan diri kita juga akhirnya. Mana tidaknya, kalau kita tulis apa sahaja ikut sedap hati. Kita mengumpat orang, kita luahkan perasaan, kadang-kadang mengaibkan diri kita dan juga orang lain. Kita paparkan benda-benda tak elok, konon-konon itu adalah perkara benar. Ada juga yang jadi ketagih dengan laman sosial seperti ini, hingga tak boleh buat kerja lain. Kerana itu juga ada yang mengguna waktu pejabat untuk bersosial di laman itu.

Hujung minggu lepas, saya ada terbaca di surat khabar kisah-kisah orang perempuan yang suka mengumpat-ngumpat di laman sosial. Mereka mengumpat rakan kerja mereka dan ada juga yang mengumpat tentang bos mereka. Memang malang sungguh kerana laman itu terbuka luas dan akhirnya orang-orang yang dimaksudkan itu mula berkelahi, malah ada yang dipanggil bos. Adoi! Kan tak bijak namanya tu.

Saya tak tahu kenapa ada yang suka menabur fitnah atau seronok sangat bergosip di laman sosial. Tidakkah mereka tahu (orang yang buat macam tu lah) bahawa apa yang mereka tulis itu akan tersebar luas. Bukankah laman seperti itu menghubungkan kita dengan orang lain juga?

Memang tak bijaklah tu kalau kita fikir orang lain tak akan tahu apa yang kita buat di laman sosial.

Berbalik pada cerita cinta di laman muka buku. Memang tak salah untuk cari teman di laman seperti ini, tapi kita perlu berjaga-jaga, jangan terlalu mudah untuk percaya siapa sahaja! Sudah banyak sangat yang terkena. Tak sudah-sudah kita dengar kisah yang kena tipu di laman sosial muka buku!













Sunday, August 14, 2011

Ibu Oh Ibu


Salam Ramadhan

Saya tabik pada anak-anak lelaki yang sudi menjaga ibu dan ayah tua mereka. Pada zaman sekarang ini, payah hendak melihat anak-anak lelaki yang ambil berat tentang ibu bapa mereka. Terlalu ramai di luar sana yang tidak ambil kisah tentang ibu bapa mereka. Sakit ke, sunyi ke, nyanyuk ke, tak ada pakai dan makan ke, semuanya tidak diambil peduli.

Ada anak-anak yang sangat risau kalau ibu bapa tinggal dengan mereka, mungkin takut kurang rezeki, tak cukup pakai dan makan, malas nak jaga kerenah ibu bapa dan macam-macam lagi. Memang sedih.

Saya terharu apabila membaca kisah dua beradik lelaki yang menjaga ibu mereka yang sakit, sehinggalah ibu mereka menemui ajalnya. Bukan sekadar menyuap makan, tetapi juga memandikan, menukar lampin dan pakaian untuk ibu mereka kerana kebetulan mereka tidak mempunyai adik-beradik perempuan. Alhamdulillah. Saya memang tabik mereka berdua.

Pun begitu, bagaikan satu perkara biasa buat anak-anak lelaki melepaskan tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu atau bapa yang sudah uzur. Dibiarkan anak-anak perempuan yang uruskan, hingga ada yang terus merasakan itu adalah tanggungjawab anak-anak perempuan.

Setahu saya, tanggungjawab untuk menguruskan ibu bapa adalah wajib pada anak-anak lelaki, walaupun anak perempuan boleh sahaja memilih untuk membantu. Saya sendiri menerima ibu saya tinggal dengan saya (sudah berpuluh tahun - sejak ayah tiada), dan bukan ibu sahaja tetapi adik perempuan saya yang kebetulan cacat pendengaran. Ada hikmahnya mereka tinggal dengan saya kerana selama ini, anak-anak saya sentiasa ada orang yang jaga mereka di rumah dan kini, kami sentiasa merupakan keluarga yang besar. Saya tak pernah rasa rumah saya sempit kerana kehadiran ibu dan adik saya. Malah, suatu ketika dahulu (ketika adik-adik saya belum berumah tangga), ramai yang tinggal dengan saya (ketika itu saya sudah berumah tangga). Suami saya tak pernah kisah dan tak pernah berkira. Baginya, Tuhan sentiasa sediakan kita rezeki dan saya juga percaya, kita tidak terbeban sekalipun menjaga ibu dan adik.

Saya sering mendengar komen orang lain tentang privasi. Kata mereka, kalau ada ibu atau ayah tinggal bersama kita, mestilah tiada privasi. Bagi saya, pandai-pandailah kita cari privasi. Kalau kita mahu berkira-kira, sampai mati pun kita akan begitu, sentiasa ada alasan. Sentiasa akan berkira-kira.

Ibu kita adalah ibu kita. Dia yang melahirkan kita, menyusukan kita, menjaga kita sampai kita besar. Takkanlah bila dia dah tua, kita biarkan ibu atau ayah kita begitu sahaja. Takkan kita mahu ibu kita hidup kesunyian, tak terjaga dan tak terurus dirinya. Biarlah dia tinggal dalam keadaan yang ceria, berbumbung, dengan makan minum yang sempurna, seperti mana dia cuba berikan yang terbaik buat kita suatu ketika dahulu.

Janganlah berkira untung rugi, kerana memang tak rugi menjaga ibu dan bapa.

Bagi anak-anak yang tidak memelihara ibu atau ayah mereka, jangan pula lepas tangan begitu sahaja. Datang-datanglah menjenguk mereka. Suatu hari nanti, mereka akan pergi buat selama-lamanya. Mungkin juga kita yang akan pergi dulu buat selama-lamanya. Janganlah kita terkilan di kemudian hari. Kita tak tahu apa yang ada di hati ibu dan ayah kita. Insya-Allah, mereka sentiasa doakan yang baik-baik untuk anak-anak mereka, biarlah kita sebagai anak-anak turut mengambil berat dan doa yang terbaik untuk ibu bapa kita.

Suatu hari nanti, kita juga akan tua dan uzur seperti mereka.

Wallahua'lam.














Friday, August 12, 2011

Kehilangan Yang Memeritkan



Salam,

Pagi ini saya kesedihan sekali lagi. Saya baru sahaja dapat berita bahawa cucu (bayi dua bulan) jiran saya di Bangi, meninggal dunia dua hari yang lepas. Anak jiran saya itu tinggal di Shah Alam dan bayinya meninggal dunia semasa berada di rumah pengasuhnya.

Pagi tadi, saya menghubungi jiran saya (Kamisah) dan mendengar cerita tentang kematian cucu kecilnya itu. Saya berasa sedih teramat sangat kerana anak-anak jiran saya sememangnya rapat dengan kami. Saya mengenali mereka sejak mereka kecil lagi hinggalah mereka semua bekerja dan berkahwin.

Tak dapat saya menahan sebak bila jiran saya bercerita bagaimana anaknya Amy (Hilmi) memeluknya dan menangis sebaik sahaja jiran saya tiba di hospital (bayi itu telah dibawa ke Hospital Kelang). Malah, saya bertambah sedih bila mendengar bagaimana Amy memandikan jenazah bayi kecilnya dan seterusnya mengangkat jenazah anaknya untuk dikebumikan. Sekalipun kecil, namun hati ayah dan ibunya begitu perit untuk berpisah dengan baby Haziq.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Amy dan isterinya Nadya mengendalikan hati mereka yang tiba-tiba sahaja kehilangan anak kecil mereka itu (baby itu tidak sakit atau mempunyai sebarang komplikasi). Mengikut kata jiran saya, Nadya menyusu badan dan sudah pun mengumpul berpuluh-puluh bekas susu yang disimpan untuk bayi kecilnya itu. Hanya doa sahaja yang dapat saya panjatkan kepada Allah SWT agar kedua-duanya akan bersabar untuk berdepan dengan sebuah kehilangan yang tidak diduga.

Mungkin kata-kata pujuk bahawa baby Haziq akan menunggu mereka di pintu syurga dapat memberi kekuatan kepada kedua-dua Amy dan Nadya. Hanya Tuhan yang tahu akan hikmah di atas kehilangan bayi kecil mereka itu.

Semoga kesabaran menjadi kekuatan diri dan keteguhan iman. Sebuah kehilangan yang memeritkan.







Thursday, August 11, 2011

Semoga Tuhan Ampunkan

 Salam

Di bulan Ramadhan yang mulia in, eloklah kalau kita bersembang-sembang tentang perkara yang baik-baik untuk semua. Dalam hal ini, saya sangat suka membaca apa-apa artikel positif tentang agama kita. Saya tertarik dengan semangat 'merendahkan diri' dalam pelbagai hal tentang perhubungan kita dengan manusia yang lain kerana itulah yang dikehendaki Allah SWT. Kita bukan sekadar mahukan perhubungan yang baik dengan Tuhan kita, tetapi perhubungan yang baik dengan manusia yang lain.

Kita tahu Allah itu al-Ghaffar, Maha Pengampun yang amat sangat, tetapi, kita sering terlupa. Lalu begitu ramai di antara kita yang terlalu mudah dan pantas menjatuhkan hukuman berdasarkan emosi sehingga membunuh keinginan manusia kembali ke rahmat Allah SWT. Ringannya lidah mengungkapkan, “Rosak akidah kamu!”, “Kamu bukan lagi muslim!”, “Kamu kafir, sesat!”, “Allah tidak akan mengampunkan kamu!” Sedarkah kita, berat yang ditanggung akibat lidah yang tidak dijaga ini?

Ketahuilah, Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa.”(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi dalam hadis yang lain pula yang bermaksud, “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis-hadis ini sebagai peringatan kepada sesiapa yang merendahkan orang lain seakan tidak mendapat rahmat, maka nantilah kebinasaan Allah buatnya.

Kata-kata di atas ini saya ambil dari sebuah artikel yang saya baca. Tujuan saya 'highlight'kan hal ini sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan mereka yang rapat dengan saya (termasuk anda yang membaca entri ini). Sama-samalah kita bersangka baik dengan insan yang lain, dan biarlah Tuhan yang menghukum mereka yang melakukan kejahatan. Seperti yang dijelaskan, kita sama-sama orang Islam perlu sentiasa berdakwah, tetapi itu tidak bermakna kita perlu menghukum orang.

Selaku Muslim, kita yang seharusnya mencorak dakwah agama agar masyarakat lebih mesra dengan Islam. Jadikan ia bukan hanya untuk orang-orang masjid dan surau sahaja, bahkan untuk semua anak-anak jalanan, muda-mudi di pusat hiburan dan di pentas pemerentahan.

Saya pernah tanya seseorang yang tinggal tidak jauh dari surau kawasan perumahannya. "Rajinlah kamu ke surau, ya?"

Katanya kepada saya. "Ah, tak mahulah saya ke surau tu. Setiap hari saya dengar ceramah yang disampaikan (memang boleh dengar dari rumahnya), tak ada apa-apa yang positif pun untuk orang macam saya. Ceramahnya asyik menghentam orang, seolah-olah orang yang bercakap itu dah rasa macam dirinya Tuhan. Asyik cerita tentang dosa orang, seolah-olah dia tak pernah buat dosa!"

Adoi. Saya terdiam juga mendengar kata-katanya itu.

Saya teringat kepada perbualan saya dengan suami tentang seorang imam di masjid yang berdekatan dengan rumah kami. Kata suami saya, "I suka bila dia beri ceramah. Dia suka puji orang yang hadir di masjid itu dan jarang-jarang kita dengar dia keluarkan kata-kata negatif tentang sifat manusia. Bila dia buat macam tu, kita akan berfikir sendiri dan kerana dia buat kita rasa bagus, tentunya kita mahu jadi seorang Muslim yang bagus. Alhamdulillah."

Memang tepat. Imam yang suami saya maksudkan itu memang bijak orangnya. Tak pernah kami dengar dia mengeluarkan kata-kata negatif dan dia sangat rendah diri hingga membuatkan kita mahu jadi sepertinya juga.

Okeylah... semoga kita sentiasa renung-renungkan tentang hal ini. Mungkin ada baiknya kalau kita tidak sibuk untuk menyukat salah silap orang lain tetapi perhatikan apa kebaikan yang boleh kita lakukan sebagai seorang Muslim yang mencintai Tuhannya. Masya-Allah.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan jadikan kita manusia yang beriman dan bertakwa kepad-Nya. Insya-Allah.













 






 




Wednesday, August 10, 2011

Nikmat Yang Tuhan Berikan


Salam semua,

Sengaja saya letakkan kisah ini untuk anda semua.

Isteri:   You tahu tak, suami Lina tu sayang sungguh pada isteri dia.

Suami: Ya? Apa yang dia buat?

Isteri:  Dia bagi isteri dia bawak kereta baru mereka. Suaminya bawak saja kereta yang lama.

Suami: Habis, you ingat I tak cukup sayang you ke? Kan I bawak you pergi tempat kerja setiap pagi dan lepas tu I jemput you setiap petang. Tak cukup bagus ke tu?

Isteri: A'ah ya. I terlupa. Betul yang you cakap ni. You lagi sayangkan I, kan? I duduk relaks aje, you yang kena bawak kereta. (Isteri ketawa kerana terasa malu sendiri)

Cerita di atas ini ialah kisah saya sendiri ketika saya masih bekerja dan muda lagi. Ketika itu, saya tidak tahu memandu kereta. Tetapi suami saya dengan senang hati menghantar dan mengambil saya dari tempat kerja setiap hari. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah kadang-kadang kita tidak sedar dengan nikmat yang kita ada tetapi kita nampak nikmat orang lain.

Suatu ketika dahulu, memang saya terlalu dimanjakan. Semuanya saya tak tahu nak buat dan terpaksa bergantung pada suami. Saya mula memandu kereta di akhir umur 30an. Suatu ketika dahulu, bila suami saya bertukar tempat kerja, maka tidak praktikal untuk saya meminta dia menghantar dan mengambil saya ke tempat kerja. Kebetulan, saya mula menumpang seorang teman. Tiba-tiba suatu hari, teman saya terlupa untuk menunggu saya lalu terus pulang dan saya pula terkapai-kapai di pejabat tanpa kenderaan untuk balik ke rumah.

Selepas itu, saya nekad untuk cuba memandu. Kebetulan memang kami mempunyai dua kereta dan mulai saat itu, saya main redah saya (bawa kereta automatik memang tak susah). Setiap hari saya berlatih memandu dan anak-anak saya yang menemani saya. Akhirnya saya berjaya untuk menjadi seorang pemandu yang yakin, alhamdulillah. Selepas itu, ke mana sahaja pun saya boleh pergi. Saya biasa memandu sendiri ke utara dan ke selatan semenanjung tanpa berasa takut lagi.

Malah, ketika suami saya menjalankan projek di Pulau Langkawi (sekitar enam bulan), saya terpaksa berdikari dan lakukan semuanya sendiri. Alhamdulillah. Saya percaya, kita boleh lakukan apa sahaja yang kita impikan kalau kita bekerja keras untuk lakukannya. Nikmat Tuhan sentiasa ada apabila kita tahu untuk bersyukur. Insya-Allah.





.








Tuesday, August 09, 2011

Jangan Jadi Macam Yahudi!


Salam semua,

Alhamdulillah saya sudah pun pergi ke Temerloh dan kembali dari tempat itu. Semuanya berjalan lancar dan walaupun kampung Jay terletak di kawasan Felda, namun suasana di kampungya boleh dikatakan ceria, cuma mungkin sedikit suram kerana ahli kampung mereka telah pulang ke Rahmatullah. Apa pun, kematian di bulan Ramadhan biasanya dinantikan oleh kebanyakan orang. Semoga roh ayah Jay diterima Allah SWT sebagai antara mereka yang beriman.

Okeylah yang mati tetap mati, namun yang tinggal ini masih banyak lagi hal yang terpaksa ditempuhi. Saya ingin membawa kisah krisis kewangan yang sedang melanda dunia. Bukan sekadar di Amerika Syarikat sahaja, tetapi juga negara-negara Eropah dan tidak ketinggalan negara China. Kata seorang teman saya, keadaan ekonomi yang teruk di Amerika sebenarnya sudah lama berlaku, ketika di zaman Bush lagi, namun kini perkara itu dijadikan lebih teruk kerana keadaan politik hari ini. Rata-rata, Yahudi di Amerika tidak senang dengan kehadiran Obama dan kerana itu, mereka membiarkan masalah kewangan di negara itu dijadikan sesuatu yang sangat panas, seolah-olah Obama tidak bijak menguruskan kewangan negara. Apatah lagi, tahun hadapan Amerika akan berdepan dengan 'election' lagi.

Di Eropah pula, masing-masing sibuk menukar wang mereka kepada matawang negara Swiss (Swiss Franc) dan kerana keadaan itu juga, ekonomi negara Swiss diramalkan akan turut tergugat. Malah, di negara China, oleh kerana China telah membeli terlalu banyak bond Amerika, ekonomi mereka juga turut terjejas. Dan semestinya apabila negara-negara ini mengalami masalah ekonomi yang teruk, negara-negara lain di dunia akan turut terjejas!

Apa pun yang kita lakukan, jauhkanlah daripada berasa hebat, kerana dalam hal perniagaan dan bisnes, mereka yang mengamalkan cara perniagaan orang-orang Yahudi sahaja yang sanggup bermegah-megah dan guna strategi menggahkan diri. Strategi pemasaran yang 'cakap besar' ini semestinya merupakan sesuatu yang tidak Islami sekalipun apa yang kita jual atau niagakan adalah produk yang kita katakan sebagai Islami. Seelok-eloknya kita berjaga-jaga dan biarlah berendah diri kerana kita tidak tahu apa akan berlaku dalam masa yang terdekat ini.

Hari ini dunia global sedang terumbang-ambing, tidak tentu lagi keadaannya. Segala-galanya naik harga dan manusia semakin tertekan. Kemungkinan besar, mata wang yang kita guna sekarang ini tidak mempunyai nilainya lagi. Apa-apa pun boleh terjadi.

Dalam bulan yang mulia ini, marilah kita berdoa agar Tuhan pelihara kita semua dan semoga apa sekalipun keadaan ekonomi dunia, biarlah kita mampu bertahan. Insya-Allah.











Monday, August 08, 2011

Takziah Buat Jay

Salam

Esok pagi-pagi, insya-Allah saya akan ke Temerloh, Pahang untuk melawat jenazah ayah staf KarnaDya yang bernama Noraizan Ibrahim atau Jay (nama glamornya). Kami baru sahaja dapat berita yang ayahnya, Encik Ibrahim telah pun pulang ke Rahmatullah. Al-Fatihah, semoga rohnya dirahmati Allah SWT.


Saat Terakhir


Salam pagi Isnin buat semua

Ada yang bertanya pada saya, ada novel baru tak? Huhu... jawabnya belum ada lagi. Malah, dah lama juga saya tak berkesempatan untuk menulis panjang-panjang. Buat masa sekarang ini, saya memang sibuk sangat-sangat. Insya-Allah, akan saya usahakan untuk selesaikan kerja-kerja penulisan saya.

Dalam pada itu, saya juga sedang fikir-fikirkan untuk luaskan lagi 'genre' penulisan saya. Kata orang, sebagai penulis ni kadang-kadang kita rasa jemu juga dengan 'genre' yang agak serupa. Sebenarnya saya sudah mencuba pelbagai 'genre' juga bila hal penulisan dikaitkan, namun masih ada beberapa 'idea' yang datang untuk mengajak saya berubah haluan. Tengoklah macam mana nanti. Kalau rasa macam okey, akan saya cubalah nanti. Insya-Allah.

Dalam pada itu, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, macam-macam hal juga yang datang mengajak saya berfikir-fikir. Maklumlah, inilah bulan yang memberi peluang kepada kita untuk dekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung. Sebagai manusia, kita tak lari daripada melakukan dosa-dosa tak kira kecil atau besar. Bulan Ramadhan mengajak kita 'menilai' diri kita ini. Siapalah diri kita dan apakah juga tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim. Sudahkah kita lakukan yang terbaik untuk Tuhan kita? Atau kita terlalu ralit mencari salah silap orang lain, mengira dosa orang dan menjatuhkan hukuman kepada orang, sedangkan diri kita, kita abaikan? Nauzubillah.

Semoga kita renung-renungkanlah dan carilah masa untuk lakukan solat Taubat. Kalau dapat, biarlah setiap hari kita lakukannya supaya diri kita diberikan jalan yang lurus seperti yang disebutkan Allah SWT dalam Al-Quran. Itulah jalan yang terbaik buat kita.

Kalau kita melihat berita setiap hari, kita juga dapat rasakan kekejaman yang berlaku di sekeliling kita. Ada-ada sahaja kes pembunuhan, kebuluran (di Somalia), kematian kerana bencana alam dan kemalangan. Terlalu banyak kejahatan yang dilakukan manusia dan kadang-kadang kita berasa gerun dan takut. Mungkin kita rasa senang hidup di sini, tetapi perhatikanlah mereka yang sedang kelaparan dan berdepan dengan peperangan dan musibah.

Di bulan yang mulia ini juga, saya teringat kepada teman-teman yang sudah tinggalkan saya buat selama-lamanya. Ada yang sudah pergi agak lama juga, namun mereka tetap di hati saya. Tentunya saya teringat kepada Allahyarham ayah, nenek, bapa-bapa saudara saya, ibu-ibu tiri saya,  ayah dan ibu mertua saya dan kakak ipar saya, yang sudah lama pergi meninggalkan alam ini.

Ayah mertua saya meninggal dunia di bulan Ramadhan. Saya masih ingat lagi, bila kami diberitahu bahawa dia sudah pergi. Semasa itu, kami baru lagi pulang dari UK. Tentunya setiap bulan Ramadhan tiba, kami semua teringat kepadanya, yang merupakan seorang lelaki yang tak pernah cerewet. Dia suka ke pasar dan sangat suka memasak untuk anak-cucunya. Malah, banyak karakter Allahyarham bapa mertua saya yang turun kepada suami saya. Suami saya sangat suka ke pasar dan rajin masak di hujung minggu untuk anak-anak, menantu-menantu dan sekarang ini, insya-Allah untuk cucu-cucu. Semalam, itulah yang dilakukannya, masak untuk semua. Alhamdulillah.

Semoga kita semua menghargai masa yang ada ini dan lakukan yang terbaik buat dunia dan akhirat kita, kerana kita tidak akan tahu bila merupakan saat terakhir kita untuk berada di bumi ini.

Wassalam.

Friday, August 05, 2011

Main Hantar-Hantar


Salam Pagi Jumaat,

Memang banyak kisah yang menjadi kenangan semasa bulan Ramadhan. Dulu-dulu, memang tak sah kalau tak menghantar makanan ke rumah jiran-jiran semasa bulan puasa. Kadang-kadang, jadi berpinggan-pinggan. Kerana itu juga, bila kita masak, kita kena sedia makanan yang lebih kerana nak hantar pada jiran-jiran kita. Bagi saya, ada baik dan ada tak eloknya. Baik kerana kita ingat pada jiran dan jiran mungkin dapat rasa apa yang kita masak. Tak eloknya, kerana dengan cara itu maka makanan jadi terlalu banyak dan kerana itu mungkin jadi satu pembaziran.

Masa saya tinggal di Bangi dulu, memang selalu saya main hantar-hantar dengan jiran sebelah rumah. Saya masih ingat lagi, suami jiran saya sangat suka kalau emak saya masak nasi ulam (cara Utara). Jadi, kalau emak saya masak nasi ulam memang tak pernah lupa nak beri pada jiran kami itu. Malah, masa bulan lain pun emak saya akan hantar ke rumah mereka. Jiran saya pula memang terror buat karipap. Bagi anak-anak saya, karipap buatan 'Aunty Kamisah' memang the best in the world!

Sekarang ini, saya selalu juga ke rumah jiran lama saya itu, tetapi kami memang selalu berhubungan melalui telefon. Alhamdulillah, mereka dah jadi macam saudara kami juga. Bila emak saya masak nasi ulam, kami masih ingatkan mereka dan bila makan karipap (belilah), anak-anak saya mesti teringat karipap 'Aunty Kamisah' mereka!

Tinggal di Nilai ni, kami jarang main hantar-hantar makanan. Kalau nak berhantar pun, kami selalu hantar ke rumah belakang kerana mereka merupakan keluarga besar dan mereka suka bila emak saya masak kari. Anak dara jiran saya juga memang pandai masak pelbagai jenis kuih moden, jadi kami seringlah merasa. Jiran sebelah rumah kami selalu keluar, jarang-jarang ada rumah, jadi kami pun jarang-jaranglah menghantar ke rumahnya. Sekarang ini pula, rumah sebelah kiri pula kosong. Dulu rumah itu didiami keluarga berketurunan Cina, sekarang in rumah itu sudah dibeli teman baik saya. Cuma, teman baik saya sedang bertugas di luar negara. Jadi, tunggu dia balik nanti bolehlah saya main hantar-hantar, hehe.

Anda pula macam mana? Masih amalkan tradisi ini? Apa pun, pastikan kita jangan membazir.

Insya-Allah, biasanya pada hujung minggu, kami akan kesibukan kerana biasanya juga kami akan dikunjungi tetamu untuk berbuka puasa dengan kami sekeluarga.

Syukran kerana kita masih di sini, sedang merasai Ramadhan tahun ini dan insya-Allah dapat beramal sebaik-baiknya.

Thursday, August 04, 2011

Kerana Novelnya Aku Jadi Bersemangat



Salam

Suatu ketika dahulu, hampir sembilan tahun yang lampau (begitu pantas masa berlalu), saya telah diminta oleh seorang teman baik unuk ke sebuah penerbit yang terletak di kawasan Sri Gombak. Ketika itu, saya memang sedang rancang untuk menulis dan kawan saya menyuruh saya ke sana untuk dapatkan nasihat tentang produk yang boleh dipasarkan. Semasa itu saya sudah pun menulis beberapa buah cerpen (tetapi tidak dihantar ke mana-mana dan kemudiannya saya kumpul dan muatkan dalam buku saya yang berjudul Semalam Kubermimpi).

Ketika saya datang untuk bertemu dengan tuan punya syarikat penerbit, beliau telah menunjukkan sebuah novel tebal. Judulnya ialah 'Bukan Puteri Lindungan Bulan'. Ketika itu saya memang tak berapa tahu tentang novel-novel Melayu, jadi saya agak terkejut juga melihat novel Melayu yang tebal itu. Ketika itulah saya tahu akan nama penulisnya, iaitu Liana Afiera Malik. Saya bertanya kepada tuan syarikat penerbit, "Novel macam ni memang orang suka baca ke?"

Katanya, "Sekarang ini memang dah jadi trend."

Saya tak pasti, tetapi saya berkata kepadanya, "Saya tak ada hal untuk tulis novel macam ni. Saya dah ada banyak cerita  kat kepala ini."

Selepas itu, saya menyinggah di beberapa buah kedai buku untuk melihat novel-novel Melayu. Ketika itulah saya melihat nama-nama penulis seperti Norhayati Berahim dan yang lain-lain. Saya terus bersemangat untuk menulis dan seterusnya menyiapkan manuskrip pertama saya yang kemudiannya telah diterima oleh pihak Alaf21 dan diberi judul 'Sesuci Cinta'.


Selepas itu, saya memang tak pernah lupa nama 'Lieana Afiera Malik' walaupun saya tak pernah berkesempatan untuk mengenalinya. Saya juga tak pernah membaca novelnya. Apa pun, bagi saya, namanya itu telah berjaya untuk membuat saya mahu menulis.

Mungkin kerana itu juga saya terkilan bila mendengar berita yang penulis itu sudah pun meninggal dunia. Dalam usia yang masih muda (jauh lebih muda daripada saya), dia terpaksa meninggalkan segala-galanya termasuk anak-anak yang masih kecil.

Saya telah dimaklumkan oleh seorang pembaca (hardcore) yang kebetulan juga pernah rapat dengan Allahyarham Liana Afiera Malik. Seterusnya, kami telah menghubungi Ahadiat Akashah untuk mendapatkan maklumat seterusnya.

Semoga rohnya dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah.

Wednesday, August 03, 2011

ALFATIHAH...

Alfatihah buat roh Liana Afiera Malik yang pulang ke Rahmatullah, dikatakan pada hari pertama Ramadhan. Walaupun secara peribadi saya tidak mengenali Allahyarham, namun di atas tiket penulisan saya memanjangkan takziah buat keluarganya.

Tak Boleh Korek Hidung, Beb!


Salam Ramadhan

Di bulan yang mulia ini, kerap kali memori lama datang menjengah, maklumlah umur pun dah banyak, tentulah banyak kisah-kisah silam yang  menjadi kenangan. Memang dulu-dulu, masa zaman saya kecil, bulan Ramadhan sungguh istimewa, terutama masa saya berpuasa di kampung nenek saya di Sungai Dua (Seberang Perai). Saya selalu ikut nenek saya ke masjid. Di masjid, orang kampung dah sediakan TV besar untuk mereka tonton tilawah al-quran. Kami budak-budak pula, bila dah penat menonton, akan bermain-main di kawasan perkuburan. Kebetulan, kawasan perkuburan sememangnya di pekarangan masjid, jadi kami memang dah biasa. Dalam pada itu, saya selalu menjenguk pusara datuk lelaki saya yang juga berada di situ.

Saya juga teringat, sejak dulu lagi, kami selalu takut nak korek hidung, sebab konon-kononnya puasa boleh batal kalau hidung dikorek! Huhu... arwah ayah saya (dia orang Arab) selalu marah kami sebab suka percaya benda-benda yang karut ni. Dia kata puasa tak boleh batal kalau kami korek hidung. Rupa-rupanya hal ini berlanjutan sampai saya ke dewasa, kepercayaan yang puasa boleh terbatal kalau korek hidung juga menjadi hal utama semasa anak-anak saya kecil. Entah mana mereka dapat info macam tu, saya pun tak tahu.

Apa pun, saya selalu dengar tentang hal ini. Masa puasa tak boleh korek hidung!

Ayoyo, memang tak manis lah kalau kita korek hidung depan orang, buruk rupa! Tapi kan... tahi hidung bukannya najis pun, tapi orang kita yang suka sangat besarkan hal kecil seprti itu.

Banyak lagi cerita-cerita lama yang boleh buat saya tersenyum seorang diri. Tapi juga, bulan Ramadhan semestinya sangat istimewa. Inilah bulan yang digalakkan untuk kita semua buat kerja amal, bersedekah, membaca kitab suci al-quran, sembahyang sunat dan macam-macam lagi, sebab ganjarannya besar. Namun, kalau kita cintakan Tuhan kita, lakukan apa-apa yang baik tak kira bulan apa pun. Jadilah umat yang baik. Insya-Allah, selamatlah kita dunia akhirat. Amin.

Tuesday, August 02, 2011

Syukran Kerana Aku Bertemu Dia



Salam Ramadhan, semua

Semoga kita diberkati Allah SWT di bulan yang mulia ini. Mesti ada yang tertanya-tanya kenapa saya tak update blog... hehe memang sibuk. Bukan tentang soal kereta saya sahaja, tetapi saya juga sibuk dengan urusan rumah dan cucu-cucu saya. Tetapi alhamdulillah, tiada apa-apa yang tak boleh diuruskan, atas kehendak Allah SWT, semuanya okey.

Banyak yang bertanya tentang masalah kereta saya, ada juga yang nak tahu sama ada kereta Honda Insight Hybrid juga akan berdepan dengan masalah yang saya hadapi... oh oh... yang tu pergilah tanya pihak Honda. Kalau bateri IMA yang sama digunakan, saya rasa samalah tu...

Okeylah... saya kesibukan dengan taman di rumah saya. Sebenarnya bukannya apa, saya tak larat nak jaga rumputnya, jadi saya ubah landskapnya... mungkin boleh tengok pada gambar yang saya attach ni.

Alhamdulillah, di bulan Ramadhan ini, semangat saya masih tinggi dan macam-macam yang saya dapat lakukan, insya-Allah bukan sekadar untuk di dunia tetapi juga Akhirat. Di bulan yang mulia begini, mungkin kita sama-sama dapat fikirkan perjalanan hidup kita, di sini dan bekalan untuk ke sana. Apa sekalipun yang kita rancang di dunia ini, pastikan kita mempunyai bekalan yang cukup untuk Akhirat.

Hujung minggu yang lepas, saya telah meraikan hari ulang tahun perkahwinan saya yang sudah mencecah 33 tahun, alhamdulillah. Saya ingin katakan di sini bahawa saya amat bersyukur kerana Tuhan telah izinkan saya bertemu dan berkahwin dengan suami saya. Semoga kami akan terus kekal hingga ke akhir hayat dan ke syurga. Insya-Allah.

Syukur, ya Allah... kerana aku bertemu dia.