Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, December 31, 2014

Bye-Bye 2014 dan Hello 2015

Assalam

Pagi tadi saya sempat 'join' jiran-jiran di surau untuk buat doa selamat untuk kawan-kawan yang akan kerjakan ibadah umrah tak lama lagi. In syaa Allah, semoga mereka akan mendapat umrah yang mabrur.

Kebetulan juga, esok pagi-pagi kami pula akan ke Jakarta sekali lagi. Saya, suami, anak perempuan, adik perempuan dan seorang cucu, kami akan ke Jakarta untuk hadir majlis perkahwinan anak sepupu pada hari Sabtu nanti.Sebetulnya majlis perkahwinan ialah di Surabaya hujung minggu lepas, tetapi kami tak dapat ke sana. Kami pilih untuk ke Jakarta bagi majlis menyambut menantu.

Jadi, saya tak akan update blog ini hingga minggu hadapan. Hari ini ialah hari terakhir buat tahun 2014. Bagi saya, tak ada bezanya tahun mana pun, waktu tetap berjalan setiap detik. Umur kita akan terus meningkat. Sekalipun kita berasa muda hari ini, waktu tetap berjalan dan kematian akan terus menghampiri. Sekarang ini kita pun tak tahu bila kita akan pergi, muda atau tua belum pasti. Yang penting, selagi Allah izinkan umur buat kita, biarlah kita jadi manusia yang beramal dan beribadah, manusia yang rajin buat baik mencari pahala, bukan manusia yang suka buat kejahatan untuk memperbanyakkan dosa. Nauzubillah.

Setiap musibah yang datang itu sebenarnya mahu mengingatkan kita semua, agar terus bersabar dan beramal selain daripada mendekatkan diri dengan-Nya. Biarlah kita jadi manusia yang disayangi Allah swt, bukan manusia yang dibenci-Nya.

Hari ini tutuplah tirai buat tahun 2014, maka datanglah pula tahun 2015. Mungkin banyak yang terjadi buat negara ini. Tapi inilah realiti. Malaysia juga seperti negara lain, tak akan lari dari ujian dan musibah. Tak kiralah betapa hebat rakyatnya merasakan, namun Allah lagi maha Besar, Dia yang mengetahui segala-gala-Nya. Biarlah kita jadi manusia yang rendah diri, yang tidak materialistik, tidak busuk hati, tidak tamak haloba, tidak makan rasuah, tidak keji akhlaknya, tidak suka pada maksiat, tidak rapat dengan syaitan, tidak syirik pada Allah swt.

Di tahun mana pun, jadilah manusia yang baik hati. Jadilah manusia yang tidak zalim. Jadilah manusia yang pandai menyayangi insan lain. Kalau anda seorang wanita, jadilah wanita yang mulia dan tinggi akhlaknya. Kalau anda ada anak perempuan, didiklah mereka untuk jadi wanita solehah.Begitu juga anak-anak lelaki, biar mereka jadi manusia yang soleh.

Rajinlah kita beribadah, rajinlah membaca kitab suci al-Quran, rajinlah jadi manusia yang bersedekah dan menginfak hartanya. Jadilah manusia yang suka memberi bukan suka meminta. Subhanallah. Semoga Allah kuatkan iman kita, teguhkan semangat kita, selamat dunia dan akhirat kita. Semoga Allah berikan kesihatan yang baik dan rezeki yang halal serta akhlak yang mulia sebagai Muslim dan Muslimah. Aamiin ya Robil alamin.

Salam cinta kita buat Nabi agong, Rasulullah kekasih Allah, Muhammad SAW, semoga kita akan bertemu baginda di Syurga.

Wassalam