Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, September 02, 2011

Kot Iya Pun Beraya...

Salam,

Sajalah saya nak bercerita tentang orang kita menyambut Hari Raya. Memang tak dinafikan kebanyakan orang kita meyambut hari raya beriya-iya. Mana tidaknya, cuba tengok cara orang kita berbelanja untuk sambut hari raya, macamkan barang-barang semuanya nak habis, berebut-rebut membeli, termasuklah perhiasan rumah, kuih-muih, pakaian dan macam-macam lagi. Ada juga yang sempat beli barang kemas baru. Ada tu, siap renovate rumah lagi (yang berbajet besarlah).

Tak kisahlah nak sambut macam mana pun. Tapi memang elok kalau kita menyambut secara sederhana dan ikut kemampuan. Kalau tak mampu, tak usahlah ikut nafsu. Tak salah pun kalau kita beraya secara bersederhana sahaja. Ala kadar. Saya sendiri tak ada baju raya. Pakai aje baju lama. Anak-anak dan cucu sibuk nak ikut tema warna, kita ikut juga, tapi masih pakai baju lama... hehe. Seelok-eloknya, tak usahlah kisah pasal tema atau warna. Kalau kebetulan ada, pakailah. Kalau tak ada, biarlah!

Kuih pun macam tu. Saya tak beli apa sangat. Yang ada tu semuanya orang yang bagi. Alhamdulillah. Balik Johor pun kita dapat lagi. Syukran. Kuih yang ada tu kita buat jamu orang pulak.

Tapi ini saya nak tegur sikit. Bukannya nak mengata, hanya sekadar nak mengingatkan dan saya harap apa yang saya tulis ini dapat membantu kita sama-sama. Ini ialah hal berkemas dan kebersihan. Ada juga yang saya perhatikan, tak ambil kisah untuk kemaskan rumah. Beraya sakan, tapi rumah tunggang-langgang, tak ambil pot pun untuk bersihkan. Sebenarnya kalau kita tak berduit pun tak apa, sebab untuk kemas rumah dan bersihkan rumah bukannya perlukan bajet besar. Cuma guna tenaga dan semangat. Tetapi ianya sangat penting kerana ini merupakan 'kualiti kehidupan' kita. Bukan sekadar untuk tetamu yang datang tetapi untuk diri kita dan keluarga.



Jangan biarkan bilik air kita berbau dan berlendir. Jangan sampai tetamu pun nak termuntah bila nak tumpang bilik air kita. Ajarlah anak-anak guna bilik air dan tandas dengan cara yang betul dan pastikan anak-anak jaga kebersihan. Jangan biarkan rumah kita sesak dengan barang entah apa-apa hinggakan nak masuk ke dalam rumah pun susah. Tak kisahlah rumah kecil atau besar, tapi kalau kita rajin mengemas, tentulah rumah kita tak macam keadaan yang sedang dalam peperangan. Macam tongkang pecah! Aduh mak!



Saya pernah pergi ke rumah flat (harga murah), tapi bila masuk, saya terlupa yang itu rumah kos murah, sebab tuannya kemaskan rumah dan aturkan rumahnya macam itu sebuah rumah yang harga tinggi. Bukan maksud saya kita kena berbelanja besar untuk hias rumah, tetapi kita boleh lakukannya dengan mengemas rumah kita elok-elok sekalipun tak ada perabot! Yang penting, biarlah rumah kita bersih, bilik airnya bersih dan tidak berbau! Jangan biarkan rumah berbau hapak atau bau tengik atau masam! Jangan biarkan ruang dapur kita berselerak dan macam baru lepas banjir besar!



Hati dan jiwa jadi tenteram bila kita lihat keadaan sekeliling kita nyaman, teratur dan bersih. Biar tak ada apa sangat yang kita jamu tetamu, tetapi tetamu berasa selesa dengan persekitaran rumah kita. Biar rumah kita kosong tak ada apa-apa daripada rumah penuh sesak sampaikan tak nampak apa-apa!

Okeylah... esok-esok saya cerita lagi. Bukan tujuan saya nak kecilkan siapa-siapa atau nak rendahkan siapa-siapa, sekadar untuk sama-sama ingatkan diri kita agar utamakan kebersihan dan keselesaan. Sebenarnya ini adalah tuntutan agama Islam. Tingkatlah kualiti hidup kita dengan sedikit usaha dan semangat. Jangan nak beraya sakan, tetapi kita lupakan asas kehidupan.

Wallahua'lam.