Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, April 07, 2010

Hidup dengan Kesyukuran



Salam,

Pagi ini ada amaran tsunami di utara Pantai Barat Semenanjung, kerana di katakan kepulauan Sumatra Barat dilanda gempa bumi berskala 7.7. Namun, mengikut berita di Yahoo, kemungkinan besar tiada sebarang tsunami akan berlaku. Apa-apa pun, lebih baik berjaga-jaga daripada tidak ambil tahu.

Saya teringat semasa di Sumatera Barat baru-baru ini. Saya bersembang dengan salah seorang pemandu teksi dan bertanyakan tentang perasaannya kalau berlaku gempa bumi lagi. Katanya, "Ini semua kerja Tuhan, kak. Kalau sememangnya sudah diajalkan kami dilanda gempa bumi lagi, kami terima dengan reda. Kami tak mahu hidup dengan ketakutan. Kalau asyik takut, kami tak boleh nak cari makan. Kami teruskan hidup macam biasa saja."

Mungkin betul katanya. Kalau kita sentiasa hidup dalam ketakutan, payahlah nak hidup macam biasa. Apa sekalipun keadaannya, kita tak boleh takut dengan sebuah kematian. Sebagai makhluk Allah swt, kita akan mati jua, cumanya sebagai orang Islam, kita wajib bersedia agar kematian kita itu akan membawa kita ke pintu syurga. Sebagai orang Islam, kita wajib mentaati perintah Allah dan bersedia bila-bila masa sahaja untuk kembali kepada-Nya. Dalam begitu, hidup perlu kita teruskan. Rezeki perlu kita cari, kebahagiaan perlu menjadi objektif kehidupan, dan kasih sayang terus kita tanamkan dalam sifat kita ini.

Buat yang terbaik untuk orang lain juga, bukan sekadar menjadi manusia yang tamak lagi bersifat dengki. Setiap kebaikan yang kita lakukan buat insan lain, semestinya ada ganjaran, kalau tidak di dunia ini, tentulah di akhirat nanti. Kuatkanlah iman... cintailah Allah swt dan Rasul kita, Muhammad SAW, semoga setiap saat kita hidup, tidak kita sia-siakan.

Bersyukurlah kerana kita masih hidup pada hari ini. Masih ada masa dan sekali lagi, jangan disia-siakan masa kita dengan dipenuhi perasaan sakit dan dengki.