Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, March 06, 2006

Ami dan Tante

Pagi ini, emel yang dikirimkan oleh sepupu saya, Nilofar dari California, membuatkan air mata saya mengalir. Dia telah bersusah payah menterjemahkan satu salasilah lama keluarga agar kami semua dapat membacanya. Sebenarnya ini adalah permintaan anak saya, Faiz yang berada di UK. Dia yang beriya-iya mahu tahu dari mana datangnya nama keturunan kami(sebelah saya) iaitu Al Nasry. Salasilah lama itu kini berada dengan bapa saudara saya, yang saya panggil Ami Mustafa. Beliau adalah adik bongsu ayah saya yang tinggal di Amerika Syarikat.
Salasilah itu telah menjejaki semua keturunan keluarga kami sehingga kepada Nabi Muhammad SAW, bapanya dan datuknya juga. Itulah yang membuatkan saya terharu. Semestinya saya sudah tahu dari kecil lagi, tetapi bila melihat salasilah itu tertera di depan mata, itulah yang membuat saya berasa sedih.
Saya kembali terkenangkan Ami saya itu. Baru-baru ini, dia telah datang dari Amerika untuk melawat kami semua. Umurnya sudah mencecah 84 tahun. Kalau ayah saya masih hidup, umurnya kini ialah 1o9 tahun. Ami saya itu selalu mengingatkan kami agar sentiasa menghubungi di antara satu dengan yang lain. Maklumlah, ahli keluarga kami bukan hanya besar tetapi bertaburan di merata ceruk dunia ini. Yang paling ramai ialah di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kami masih ada ahli keluarga yang tinggal di Saudi, di Turkey, Australia, UK, selain daripada USA.
Pernah suatu ketika dahulu, Ami saya itu menyuruh saya ke Indonesia untuk melawat Tante saya, yang tidak pernah saya bertemu sebelum ini. Ami telah berkata kepada saya, "kamu boleh pergi tempat-tempat yang jauh, tetapi begitu susahnya kamu nak ke Indonesia. Tante Amnah adalah ibu saudara kamu yang terakhir yang masih hidup."
Saya rasa bersalah. Satu hari, sekitar tiga tahun yang lepas (saya pernah ke Indonesia semasa remaja, tetapi atas urusan universiti saya dulu) tiba-tiba sahaja saya mengajak suami saya ke Indonesia.
"Jom kita ke Jakarta Jumaat ini."
Suami saya tidak kisah. Kami terus tempah tiket dan pergi ke Jakarta. Saya mempunyai ramai sepupu di sana. Kemudian saya telah ke Bogor untuk melawat abang sulung saya, Omar, yang kini sudah berusia sekitar 80-an. Kami seterusnya ke Bandung untuk bertemu Tante Amnah. Ibu saudara saya itu kini berumur 89 tahun. Dia adalah seorang wanita yang sungguh cantik. Matanya berwarna kelabu (ibunya, iaitu ibu yang sama dengan Ami Mustafa, adalah dari keturunan Syria). Memang saya terharu, kerana baru tergerak untuk datang melawatnya.
Tahun berikutnya, saya datang lagi dengan semua anak-anak saya untuk mengunjungi saudara mara di Jakarta, Bandung dan Bogor. Tahun lepas, saya telah ke Surabaya untuk bertemu kakak saya yang tinggal di Pulau Madura. Kakak saya berumur 71 tahun.
Kini saya tahu mengapa Ami saya sentiasa mengingatkan kami agar berusaha untuk menghubungi ahli-ahli keluarga. Pertalian ini sebenarnya begitu tinggi sekali nilainya. Satu hari nanti, Ami dan Tante saya akan meninggalkan dunia ini, dan kami, anak-anak saudaranya akan menjadi pengganti mereka. Semangat untuk mengekalkan silaturahin itu mesti ada, kalau tidak, kami tidak akan tahu siapa diri kami sebenarnya. Insya-Allah, saya dan adik-adik, dan juga anak-anak, akan berusaha untuk menghubungi kaum kerabat, di mana sahaja mereka berada.