Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, July 31, 2008

Pesona Royal Belum










Ketika tiba di Pulau Banding, di kawasan hutan simpanan negeri Perak, kami terus memutuskan untuk tidur sahaja di 'Resort Rain Forest', kepunyaan Emkay, atau Tan Sri Mustafa Kamal. Biasanya, kami tak suka tinggal di tempat yang mewah-mewah apabila buat penggambaran hutan Malaysia, tetapi mengenangkan pekan Gerik agak jauh juga dari pulau itu dan kawasan itu sentiasa berkabus dan kami pula tak berapa biasa, terpaksa sahaja kami tidur di resort itu. Semasa tiba pun, dah lewat. Hampir sembilan malam. Apa yang kami lihat semasa dalam perjalanan, memang ada tanda gambar gajah yang terletak di tepi jalan raya, menandakan kawasan itu selalu didatangi Sang Gajah! Malam tu, kami cuba meronda-ronda di sekitar kawasan Pulau Banding, tapi malangnya terlalu gelap. Esok paginya, sebaik sahaja kami bersarapan di ruang makan yang disediakan, kami pun bertolak menaiki bot yang kami tempah untuk terus ke Kampung Kejar Hilir, yang terletak sekitar lebih satu jam perjalanan menaiki bot, merentasi Tasik Temenggor. Sepanjang perjalanan yang bercuaca sejuk dan berkabus tebal, saya terasa tenang walaupun ada ketika terasa ngeri, terutama apabila diberitahu oleh jurupandu kami (Sham dan Basri) bahawa tasik itu mempunyai kedalaman sekitar 300 meter! Tasik Temenggor mempunyai 80 pulau kecil. Dari bot, semasa merentasi tasik itu, kami dapat melihat hutan Belum dengan jelas. Selain daripada ke kampung kaum Jahai di Kampung Kejar, kami juga memanjat kawasan tinggi untuk melihat bunga padma atau raflesia. Kami juga pergi ke kawasan air terjun. Macam-macam pokok hutan yang kami temui, termasuk tongkat ali. kami cuba mencari gajah, tapi hanya mampu menemui najis, bekas tapaknya, termasuk bekas tapak harimau. Memang tak mudah untuk bertemu dengan binatang liar ini walaupun sebenarnya mereka sentiasa berkeliaran di sekitar kawasan hutan yang seluas 300, 00 hektar itu!

Ketika dalam perjalanan balik ke jeti resort, tiba-tiba hujan lebat dan angin ribut, mengancam perjalanan kami. Ketika itu, memang terasa takut! Maklumlah, tasiknya dalam... entah ada apa di dalamnya, kami pun tak tahu. Kami basah kuyup dan hanya apabila tiba di resort, barulah dapat ambil gambar beramai-ramai. Tapi... semua dah lenjun.

Sekalipun kami tak sempat bertemu dengan Sang Gajah, kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan Resort Rain Forest kerana memberi layanan yang istimewa! Insya-Allah, kami akan cuba ke sana lagi... tak puas sebab tak jumpa gajah!

Wednesday, July 30, 2008

Lupa Daratan!

Kebanyakan kita tak punyai perasaan malu, janganlah cerita tentang perasaan patriotik! Memang pelik. Kita sanggup bersusah payah pergi ke stadium semata-mata nak sokong pasukan luar, pasukan Mat Salih! Tak kisahlah kalau kita memang pun fan kelab pasukan bola itu, tapi apabila pasukan luar itu bermain dengan pasukan negara, takkanlah kita tak ada langsung perasaan patriotik? Lupa ke kita yang sebenarnya kita memang pun makan belacan, bukan makan keju. Nak makan keju, makanlah, tapi janganlah bila dah makan keju terlupa yang kita juga sukakan belacan! Janganlah sampai lupa daratan. Kesian Malaysia. Sekalipun pasukan bola sepak kita tak hebat mana, tapi siapa lagi yang nak sokong negara kita kalau bukan kita? nak tunggu orang Cina dari China ke? Atau nak tunggu orang India dari India? Malangnya, jangankan orang lain, orang Melayu pun sama... malah lagi teruk. Terasa macam Mat Salih! meluatnya. Kita ni macam cerita 'Si Tanggang'... lupa daratan. Tak mahu mengaku ini negara kita... lagi seronok nak jerit nak sokong orang luar! janganlah macam tu. Bayangkan kalau kita tiba-tiba kena serang dengan negara asing. Macam mana? Semangat patriotik dah tak ada lagi. Takkan nak sokong orang lain kot? Matilah kita. Atau kita dah memang tak peduli lagi? Mungkin kita semua terlalu materialistik... inilah akibatnya. Tak ada semangat apa-apa lagi. Kesiannya kita.

P.S.
Lagi teruk, sebab malam tadi ialah malam Israk Mikraj. Ramai yang ada di stadium, terpekik-pekik... bangga dengan team 'Chelsea' mereka! Sepatutnya kita menyambut malam yang penuh erti buat umat Islam!

Thursday, July 24, 2008

Jika diizinkan Tuhan

Insya-Allah, jika diizinkan Tuhan, kami akan berangkat ke Grik, Perak, esok. Awal pagi (sekitar 6.30 pagi) hari Sabtu, kami akan menaiki bot meredah Tasik Temenggor untuk ke Royal Belum. Semoga semuanya selamat dan harap-harap juga kami dapat rakamkan foto dan video seperti yang kami rancangkan. Doakanlah.

Monday, July 21, 2008

Belum Tahu Ke BELUM

Hahaha... macam tajuk entri yang pelik bunyinya. Sebenarnya, kami hendak ke Hutan Royal Belum pada hujung minggu ini. Tapi, tak siap lagi atur caranya. Jadi... tak tahu lagi pergi ke tidak hujung minggu ini. Insya-Allah jadi. Saya tak pernah ke sana lagi, itulah yang tak sabar-sabar nak ke sana. Ke hujung utara Perak, menghala ke Ampangan Temenggor. Katanya nak ke sana selama tiga hari. Katanya, hutan itu ada lebih daripada 3,000 spesies fauna dan flora. Dahsyat tu! Ada juga kaum orang asli Jahai... Kalau ikutkan, sepatutnya ada juga binatang yang bergelar gajah! Tapi saya tahu, tak mungkin akan kami temuinya.

Wednesday, July 16, 2008

Indahnya di Lenjang, Pahang





Lenjang Yang Mencabar!

Sehari sebelum saya ke Pahang, saya telah melayari Internet dan entah macam mana, sekalipun Pos Lenjang duduk terceruk di kawasan pedalaman, saya masih dapat maklumat tentang tempat ini. Saya telah berjaya menghubungi seorang guru sekolah di Pos Lenjang, tetapi malangnya... Cikgu Ahmad Shamsul dan rakan-rakannya telah keluar dari pos itu untuk pulang ke kampung masing-masing pada hujung minggu itu. Tapi tak apalah, kerana Achum (rakan Semai Pahang) menunggu kami di Pos Koyan.

Pada hari Sabtu yang lepas, sebaik bersolat subuh, kami beredar dari Nilai ke Pos Koyan, melalui Lebuh Raya Karak, Bentong dan Raub. Kami singgah di pekan Raub sekitar 8.30 pagi untuk bersarapan dan kemudian terus ke Koyan. Achum menunggu kami sebaik sahaja tiba sekitar 9.30 pagi. Kami membeli makanan tengah hari di gerai terdekat dan terus ke Pos Betau. Sebaik sahaja tiba di pos itu, kami mula memasuki laluan tanah merah (jalan balak) untuk menghala ke Pos Lenjang!

Sepanjang hidup saya, mungkin itu merupakan salah satu laluan yang paling tercabar buat saya dan anak-anak. Kebetulan hari hujan pada malam sebelum kami tiba (Tiap-tiap hari hujan sebenarnya) dan kerana itu, jalan becak! Apa lagi, ada ketika, laluan tanah merah yang sememangnya menggerunkan itu, kerana ada yang curam dan sempit, menjadi bertambah rumit. Kami terpaksa turun beberapa kali untuk pastikan kereta pacuan 4 roda kami memasuki garisan yang tepat semasa menyeberangi laluan. Kami juga berhenti seketika kerana ada pokok yang ditebang dan menutup jalan. Terpaksalah berkelah sambil menunggu pemuda-pemuda Semai menyudahkan kerja mereka. Dalam perjalanan, kami singgah di Kampung Gajah (bukan yang di Perak!) dan Kampung Pakar. Di Kampung Gajah, kami makan tengah hari di tepi sungai. Memang seronok.

Akhirnya, selama tiga jam di atas jalan yang sempit dan rumit, kami pun tibalah di Pos Lenjang. Kami terpaksa bermalam di sana kerana dah lewat dan tak mungkin dapat meneruskan perjalanan pada petang itu juga. Kami berehat dan alhamdulillah, Achum berjaya dapatkan kami sebuah rumah tumpangan (rumah buluh orang asli) yang dijaga oleh Pihak JHEOA.

Saya tak mahu bercerita panjang di sini kerana semuanya akan direkodkan dalam buku dokumentari kami nanti. Hanya untuk makluman, semasa dalam perjalanan balik, kereta kami tersangkut. Mujurlah tak terlalu lama. Saya sertakan beberapa imej untuk tatapan pembaca blog saya.

Friday, July 11, 2008

KUALA LIPIS, POS KOYAN, POS BETAU

Esok, insya-Allah saya, Faiz, Irfan dan Ammar, akan ke Kuala Lipis. Kami akan keluar awal pagi, sebelum subuh dan dijangka akan bertemu dengan Acum (Rakan Semai Pahang) di pekan Sungai Koyan. Kemudian kami akan ke Pos Betau dan terus masuk ke Pos Lenjang. Mungkin anda yang pernah membaca buku saya, 'AURA CINTA' teringat kepada latar belakang novel itu.

Tempat-tempat inilah yang telah menjadi latarnya. Kali ini, saya akan ke sana kerana untuk dapatkan maklumat dan jalan cerita tentang kehidupan kaum Asli di kawasan pedalaman itu. Kami juga akan mengambil foto-foto dan membuat penggambaran video. Kemungkinan besar, kalau tak sempat keluar, kami akan bermalam di sana. Maklumlah, untuk masuk ke Pos Lenjang, tidak mudah. Jalan tanah merah dan berbukit-bukit hanya mampu dimasukki kenderaan '4-wheel drive' sahaja dan lagi, masa yang akan diambil agak lama juga. Kami sedang menyediakan fakta untuk buku-doko yang sedang diuruskan, juga untuk video-doko.

Entah mengapa, tetapi sejak dua-tiga hari ini, saya berdebar-debar. Mungkin sebab dah lama tak ke sana. Masih teringat lagi keindahan alam semula jadi di sekitar kawasan itu. Air sungai yang jernih, air terjun yang mengagumkan, pohon tropika yang mengelilinginya, unggas yang berlagu-lagu, dan kabus pagi yang menutup gunung-ganang, tentu akan membuat sesiapa sahaja terpesona. Saya dah tak sabar nak ke sana!

Wednesday, July 09, 2008

Jawatan Kosong

"Kamu nak pohon jawatan tu, Mamat?" soal Minah.

"Kenapa? Aku tak layak ke?" Jawab Mamat dengan menyoal balik.

"Kamu rasa kamu layak ke? Eh... depa nak hak pandai dan hak tahu agama. Pandai pun, bukan hak pandai sikit-sikit, tapi mesti bijak pandai. Dah tu, depa kata mesti bersih. Mamat... kamu bersih ke?"

"Aku tak tahulah. Pandai tu... bolehlah sikit-sikit, alim pun aku taklah alim sangat... tapi aku sembahyang dengan puasa. Haji... belum cukup duit. Lagipun, tak ada seru lagi. Hak bersih tu... yang tu payah sikit."

"Kamu nak tunggu seru, Mamat? Yang kamu dok ulang-alik ke Bangkok, Jakarta, Amsterdam... tu ada pun duit? Hah! tahu pun yang kamu tu tak bersih sangat. Kenapa, Mamat? Kenapa kamu boleh jadi tak bersih?"

"Alah, aku kerja kat tempat tu. Bos tak bersih, semua kami pakat dok ikutlah. Dah lama, dah jadi sebati dalam diri. Payah dah nak bersihkan diri. Jadi budaya kami, Minah." Jawab Mamat selamba.

"Baik kamu jangan minta jawatan tu, Mamat. Kamu memang tak layak pun."

"Tapi... kalau nak, aku boleh uruskan. Kalau tak aku, kamu pun boleh, Minah." Saran Mamat sambil tersengih-sengih.

Minah menjeling meluat. "Aku perempuan, Mamat. Tak payahlah. Biar yang jantan saja, cukuplah. Tapi... soal urus tu... itu yang aku tak suka dengar ni. Kamu nak main kerja kotor ya? Berdosa tau, Mamat. Orang memang tak tahu, tapi Tuhan kan tahu? Kamu tak malu ke? lagipun, sepatutnya jawatan tu biar orang ramai yang pilih siapa depa rasa patut pegang, bukan kamu yang sibuk nak lobi-lobi. Bila kamu lobi, itu yang jadi kotor giler!" Minah membebel.

"Aku tak peduli, Minah. Itu cita-cita aku. Orang lain boleh, kenapa aku pulak tak boleh? Siapa-siapa pun boleh." Tiba-tiba dia tergelak besar.

Tuesday, July 08, 2008

Nak Percaya Pada Siapa?

Kata seorang teman Minah yang dah lama merantau. "Orang kita ni, pelik betul."

"Apa yang peliknya?" soal Minah.

"Dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis dengan cerita yang memalukan. Kita kan orang Islam, tapi tak habis-habis dengan skandal yang mengaibkan." Keluhnya.

"Orang Melayu kan macam tu. Itulah yang menyeronokkan mereka. Biar orang kita tak ada apa-apa di bumi sendiri, asalkan kita bertikam sama sendiri."

"Kenapa orang Cina tak macam tu, ya?" soal teman Minah lagi.

"Entahlah. Orang Cina pun bukannya tak ada skandal, tapi kalau ada pun, tak adalah teruk macam kita ni. Orang kita lagi seronok berentap sama sendiri, nak tunjuk kuasa siapa yang kuat, sedangkan isu yang sebenarnya tak juga kita selesaikan. Orang Melayu masih ramai yang miskin, masih ramai yang sengsara. Yang pentingnya, di bumi sendiri, kita macam menumpang je. Isu itu, kita tak kisah pun. Sebab tu lah, kita macam ni."

"Sebab tu lah, aku lagi suka tinggal merantau di tempat orang. Aku geli-geleman dengan cara orang kita, yang tak pernah tahu malu. Bayangkanlah, Minah... apa agaknya orang luar mengata pasal kita? Mesti ada yang ketawa terbahak-bahak... skandal kita pelik-pelik. Orang putih pun tak hebat macam kita!" Temannya senyum sinis. "Aku dah penat, Minah... nak explain pada teman-teman aku di sana. Mereka rasa kelakar dengan apa yang mereka dengar. Aku pulak, rasa macam nak menyorok di bawah meja."

"Buat apa kau nak rasa macam tu? kalau orang yang berkenaan tak kisah, buat apa kita yang nak rasa malu?" bentak Minah.

"Tapi... kita nak percaya pada siapa, Minah?"

"Tak usah percaya pada semua! Tak ada yang bezanya. Semua mereka tu serupa."

Sunday, July 06, 2008

Sandiwara Radio

Opah memberi tumpuan kepada sandiwara yang sedang berkumandang dari radio buruknya. Walaupun sudah diminta berkali-kali agar opah tukar saja radionya itu, opah tak mahu. Katanya radio buruknya ada 'nilai sentimental'.

"Kamu tahu apa? Kamu ingat barang lama semuanya tak berguna. Radio ni... tak pernah tipu aku." Kata opah.

"Tak pernah tipu? Apa benda yang opah cakap ni?" Soal Minah, tak faham.

"Kamu dengar ni, Minah... sandiwara yang aku dengar ni. Mana ada tipu macam sandiwara orang-orang sekarang." Bentaknya.

Minah cuba pula mendengar sandiwara yang terkeluar dari corong radio opah.

Memang lakonannya terasa macam hidup. Sekalipun hanya suara sahaja yang kedengaran, namun daripada intonasi dan ekspresi suara, Minah terasa macam 'real'. 'Betul kata opah.' Bisik hatinya. "Ini radio stesen mana, opah?" soal Minah lagi, agak hairan mendengar sandiwara seperti itu. Masih ada lagi ke sandiwara macam ni dimainkan di radio? Dia cukup hairan.

"Stesen radio untuk orang-orang lama macam aku saja! Orang kena lama, radio pun kena radio lama. Orang macam kamu, memang tak dapat dengar sandiwara macam ni. Orang macam kamu, kena dengar sandiwara yang dikhaskan untuk orang-orang macam kamu."

"Apa opah cakap ni?"

"Radio ke, TV ke... sekarang ni pernah ke kamu dengar cerita yang tulen? Semuanya sandiwara yang diatur supaya kamu semua senang kena tipu. Pelakonnya ramai, tapi tak satu pun cakap betul. Masing-masing penipu! kamu ingat kalau dia orang menipu, tak ada sebab ke? kalau kamu nak tahu, Minah... sebabnya semua sama. Kalau tak sebab nak kuasa, maknanya sebab nak duit. Sebab 'wang' ni, Minah... semua pun boleh dibuatnya. Dah tak ada neraka dengan syurga lagi! Tuhan pun dibuat main-mainkan. Bersumpah sana sini. Masing-masing kelabu mata, kelabu hati. Hah, tulah sandiwara hari ini, Minah. sebab tu lah opah simpan saja radio buruk aku ni. Radio aku tak menipu! Tak buat sandiwara untuk penipu!"

Minah terpinga-pinga. Tapi dalam hati, Minah faham perasaan opah itu, kerana Minah juga terasa apa yang opah rasa.

Wednesday, July 02, 2008

Budaya Satira

Mungkin ramai yang belum biasa dengan ungkapan 'satira' yang saya maksudkan. Dalam bahasa Inggerisnya ialah 'satire'. Satira bermaksud sebuah karya (prosa atau puisi) yang dilakar secara menyindir atau secara persendaan. Lebih mudah, satira boleh dijelaskan sebagai 'karya sindiran' yang membawa maksud lebih dalam daripada apa yang dipaparkan.

Mungkin kita sudah biasa dengan tulisan 'blogger' dan rata-rata kita faham apa yang dituliskan oleh para 'blogger', namun kini sudah ada budaya baru di mana para blogger lebih seronok menyampaikan maklumat melalui karya yang berbentuk satira. Mereka yang menulis karya seperti ini, dikatakan para 'satirawan', iaitu penulis satira.

Karya berbentuk satira memerlukan kefahaman dan memerlukan tumpuan pembacanya. Ia bukan sekadar tulisan 'biasa-biasa' dan kerana itu juga tulisan berbentuk satira lebih mencabar minda. Hari ini, dalam keadaan di mana penulis tidak diberi kebebasan menulis, karya-karya satiralah yang menjadi pilihan mereka. Mungkin ramai di luar sana lebih senang membaca karya berbentuk ini kerana ia sebenarnya membuat kita lebih banyak berfikir dan berteka-teki. Secara tak langsung, tulisan begini memberi kita kepuasan.

Tuesday, July 01, 2008

Konspirasi Siapa?

Minah bersembang dengan Asyid. "Kau percaya ke cerita ni?" soal Minah.

"Apa ke tidaknya? Manusia kan macam-macam, Minah? Apa saja pun boleh dibuatnya."

"Eh, takkanlah dia sanggup nak kecoh-kecohkan ofis kita sampai jadi macam ni? Ini tuduhan saja, aku tak tahu pun Si Melor tu perangainya macam tu?" Soal Minah balik.

"Kau tengok Melor tu lembut, bertudung litup, tapi... tak semestinya dia baik." Keluh Asyid.

"Iyalah... tapi mana Si Tijah tu tahu semua ni? Dia pergi mengintai ke?"

"Alah... Si Mail yang mengaku. Dia kata Si Melor tu nampak aje macam alim, tapi ... gedik bukan main!"

"Ah, sedap mulut kau aje. Kot saja Mail nak cakap macam tu. Si Tijah tu kan adik sepupu dia? Dia takut Tijah tak dapat naik pangkat, jadi dia buat cerita burukkan Si Melor tu. Bukan ke Tijah dengan Melor sedang berentap nak dapatkan jawatan kosong jadi pembantu bos?"

"Itu teori kau, Minah. Tapi aku tak rasa macam tu. Aku rasa Si Melor yang sengaja buat gedik-gedik macam tu, supaya orang buat kecoh pasal dia. Dia nakkan simpati bos sebenarnya. Kalau bos bersimpati dengan dia, habislah Si Tijah tu. Ini... satu konspirasi sebenarnya."

"Iya ke, Asyid. Entah-entah, kau pun sama." Minah menjeling, cuba membaca fikiran Asyid, yang kelihatan seperti tidak boleh dipercayai.

Namun dengan selamba, Asyid jawab. "Itu teori kau. Tapi... kita sama-sama kena fikir. Siapa sebenarnya yang buat konspirasi. Melor ke atau Si Tijah."

"Entah-entah bos kita, tak?"

Masing-masing berpandangan!