Sekadar hiasan
Salam
Kawan saya bertanya, "Tahu tak blog ..........?"
Saya jawab, "Tak tahu. Tapi rasa macam pernah ternampak. Ada apa?"
"Itulah tempat depa duk letak gosip hangat pasal orang."
"Oh, ya ke?"
Alhamdulillah, walaupun dah tahu tu, saya tidak pula teringin untuk menjenguk. Kadang-kadang, bila meronda-ronda di alam maya ada juga terhinggap di tempat orang duk bergosip. Kalau saya nampak macam semacam aje, saya pun akan keluar dari blog berkenaan. Bukannya apa, saya takut juga baca pasal 'AIB' orang ni. Takut tak sahih. Takut juga kalau ia adalah benar tetapi kita yang membacanya akan terlibat sama dalam hal untuk menyebar fitnah tentang insan lain. Sebab itulah kalau saya bercerita tentang orang lain (yang tak elok), saya tak menyebut namanya. Kalau bercerita pun, sekadar untuk mengingatkan kita, bukan untuk menjaja aib orang.
Saya tak tahulah kenapa ada orang suka sangat menayang cerita-cerita panas di blognya. Tentulah yang paling seronok bila dapat bercerita tentang selebriti. Iyalah kalau mengisahkan tentang 'minah' atau 'mamat' yang orang tak kenal, nak buat apa, kan? Paling seronok kalau mereka dapat paparkan kisah-kisah yang memalukan, terutama sekali ada kaitan dengan pelbagai skandal seperti 'seks', tentang 'aurat', akhlak, tentang alaman yang bertentangan dengan agama, dan macam-macam lagi yang tentunya dikatakan 'AIB' orang.
Kalau ada yang menegur atau merungut tentang perbuatan menayang aib orang ini, alasannya ialah "Kita kenalah tegur orang yang buat tak betul ni." Ataupun alasannya ialah "Alah, dia kan selebriti, orang mestilah nak tahu." Atau, "Kita sesama Islam mestilah nak kena jaga agar perbuatan yang tak elok ini tidak dijadikan ikutan." Dan macam-macam lagi alasannya.
Mungkin betul lah kita nak tegur orang, tapi adakah itu caranya dengan memaparkan 'AIB' mereka di alam maya? Sekalipun mereka adalah selebriti, itu tidak bermakna mereka tidak ada maruah, tidak ada perasaan! Sekalipun mereka sedang lakukan perbuatan yang tak betul atau tak manis, itu juga bukan caranya untuk membetulkan jalan mereka yang yang tak betul.
Kadang-kadang kita nak menegur akhlak orang lain, sedangkan akhlak kita juga tak betul. Jadi bagaimana mungkin kita nak bawa mereka ke jalan yang lebih baik? Sebenarnya memang tak ada untung apa-apa pun (kecuali mungkin iklan kita laku kerana ramai yang nak baca gosip) sekiranya kita 'menjual' atau 'menjaja' 'AIB' orang di alam maya, apa yang kita dapat ialah satu kerugian, kerana kita mungkin membuat fitnah dengan melakarkan sebuah cerita 'tak benar' kalau memang itu sebuah cerita yang 'tak benar', dan kalau kita menyebarkan sebuah cerita yang benar dengan cara 'menjatuhkan maruhnya', kita tetap bersalah di sisi agama kerana kita 'MENGAIBKAN' orang lain.
Cuba bayangkan kalau kita sendiri yang berada di situasi seperti itu, di mana orang lain pula menjaja 'pekung di dada' kita untuk tatapan alam maya. Apakah perasaan kita? Kalau tidak kita, mungkin anak-anak kita, adik-adik kita, ibu bapa kita dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan kita. Aduh... mesti kita bengang, kan?
Seelok-eloknya kalau nak bercerita apa-apa tentang aib orang, mungkin kita berlapik, mengisahkan sesuatu tanpa menyebut nama siapa-siapa pun. Dengan cara itu, kita tidak mengaibkan orang lain. Kita kena ingat bahawa Allah SWT Maha Pengampun Lagi Penyayang. Orang yang buat salah mungkin akan diampunkan dosanya kalau mereka betul-betul buat salah dan minta ampun pada Tuhan. Tapi orang yang 'mengaibkan' orang lain, belum tahu lagi keadaannya. Orang yang membaca 'gosip panas' dan mengedarkannya mungkin menambahkan dosa yang sudah ada. Wallahua'lam.
Wassalam.