

Pernah dengar ke terma ini? Ia merupakan peribahasa orang Melayu yang sering digunakan masa dulu-dulu. Sekarang ini, mungkin orang tak kisah sangat kerana tak henti-henti kita dengar kisah orang yang menjatuhkan talak!
Gila talak ini biasanya kita berikan kepada mereka yang memilih untuk bercerai, biasanya orang lelaki yang menceraikan isterinya (talak terletak pada tangan lelaki), dan sebaik sahaja melepaskan isterinya, dia pula hendakkan isterinya balik! Inilah yang dikatakan 'gila talak'. Dah diceraikan lepas tu nak balik. Apabila tidak dilayan oleh bekas isterinya, lelaki itu mulalah mengganggu. Dia terlupa yang setelah bercerai dia sudah kehilangan haknya. Selagi si tuan badan (dalam hal ini yang perempuanlah) tak bersetuju untuk balik kepadanya, maka tiadalah hak itu lagi.
Okey... orang 'gila talak' akan lakukan benda-benda yang mungkin memalukan dirinya sendiri. Ini cerita seorang kawan yang baru sahaja diceraikan suaminya.
"Kak... bukan saya yang nak bercerai, tapi dia. Dia kata saya ni tak guna lagi. Dia kata saya tak menyenangkan hidupnya lagi. Dia mengambil keputusan untuk menceraikan saya dan saya pun terimalah. Nak buat macam mana lagi, kak? saya ni kan perempuan."
Itulah katanya pada mula-mula. Kini dia bercerita lagi.
"Kak... dia asyik ganggu saya aje. Kejap-kejap hantar SMS."
"Habis tu, kau jawab ke?"
"Tak kuasa saya. Saya tak jawab, itu yang buat dia macam jadi orang sasau. Kejap-kejap SMS. Dia tak puas hati selagi saya tak jawab. Tapi memang saya tak akan jawab. Nak buat apa? dia yang mengata-ngata saya, saya tak kata pun dia. Pada hal kalau nak diikutkan, macam-macam saya boleh kata pasal dia. Akak nak tahu... dia tu malas nak mampus! Buat-buat macam bagus, tapi hanya Tuhan yang tahu. Saya bersyukur, kak sebab dia nak ceraikan saya. Bukan saya yang mintak. Saya dah terkeluar dari perangkap dia. Takkan nak perangkapkan diri saya lagi. Biarlah dia nak hantar SMS macam orang gila pun." Panjang lebar cerita teman saya itu.
"Kau tak takut ke kalau dia datang rumah kau nanti?"
"Saya duduk dengan mak ayah saya buat masa ni. Abang saya pun ada. Dia takkan berani, kak. Dia yang tak pandai bersyukur. Selama hari ini, macam-macam yang dah saya tolong dia, tapi dia tak nampak semua tu. Dulu... dia tak macam orang pun, kak. Saya yang buat dia jadi macam orang. Sekarang ni dia dah lupa diri. Biarkanlah... insya-Allah saya tak mati kalau tak ada dia. Hidup kita ni ditentukan Tuhan, kak... bukan manusia. Kalau kita ikhlas menyayangi Tuhan, insya-Allah Tuhan pun sayang kita. Jodoh, umur dan rezeki ditentukan-Nya. Saya reda."
Begitulah kisahnya. Saya tahu teman saya ini, dia berjiwa kental. Sejak dulu lagi. Insya-Allah, hidupnya akan diberkati Allah swt. Biarkanlah bekas suaminya itu 'gila talak'!