Jalan yang bengkok
Assalamualaikum
Pernah tak anda rasa takut?
Sejak kebelakangan ini, kadang-kadang rasa takut yang datang, sungguh menakutkan. Kenapa perasaan bimbang itu sering sangat datang mengacau jiwa, menggoyahkan segala denyutan di tubuh badan?
Mungkin anda fikir bahawa saya sedang berdepan dengan masalah personal, betul tak?
Alhamdulillah, tidak. Cuma sebagai seorang Muslim yang sudah matang, saya risau tengok dan melihat keadaan kita hari ini. Rata-rata manusia yang hidup di negara ini sudah jadi manusia yang mendahulukan 'wang-ringgit', bukan Allah SWT. Masing-masing takut kalau hidup tak berduit dan kerana duit, manusia bertukar kulit dan ada yang sanggup lakukan apa-apa sahaja di atas nama 'Duit'. Astaghfirullah alazim.
Bila kita mahu lakukan sesuatu, adakah kita sentiasa beringat? "Aku lakukan ini kerana Allah," sekalipun mungkin kita sedang berusaha untuk cari rezeki. Anda mungkin terasa yang saya ini sangat 'over', tapi biarlah saya bagi satu contoh yang 'simple'. Ada seorang kenalan (buat bisnes construction) sangat fanatik dan taksub dengan fahaman politik sesuatu party itu. Malah, party yang dia tidak suka akan dikutuk bergantang-gantang. Malangnya, dia dapat banyak job melalui party yang dia benci tu. Saya pun kelirulah bila dengar cara dia bekerja. Maknanya, bila bab duit, dia sanggup lakukan apa sahaja, walaupun ia bertentangan dengan semangat 'party' dan prinsip hidupnya. Yang penting, dia mesti dapat buat banyak duit!
Perkara beginilah yang sangat menakutkan saya. Buat masa ini, saya melihat bagaimana terlalu ramai orang kita yang terjerat dek kerana mahu hidup senang. Biar berusaha sikit, janji cepat kaya. Kita tak mahu pun berusaha keras kerana kita tidak sabar menunggu. Kerana rasa yang tidak sabar itulah, kadang-kadang membuat kita jadi 'tamak'. Kita sanggup 'pancung' orang lain, kita sanggup juga menabur fitnah. Kadang-kadang kita sanggup 'bertopeng', seolah-olah kita merupakan orang yang baik-baik. Allahuakbar!
Inilah yang merisaukan saya. Kebanyakan kita tersesat jalan. Kita takut orang lain (sama bangsa dan agama dengan kita) lebih beruntung daripada kita dan kerana itu, kita tidak mahu 'support'. Kita lebih senang melihat bangsa dan agama kita jatuh merudum, kerana bagi kita, itulah musuh kita!
Saya berasa ngeri melihat keadaan di sekeliling kita. Kita sama kita tidak lagi bersatu. Kita akan kutuk sesama sendiri, tikam sesama sendiri dan kita biarkan orang lain bertepuk tangan, kerana mereka tak perlu lagi buat apa-apa untuk jatuhkan kita. Orang Melayu yang beragama Islam itu sedang punahkan diri mereka sendiri dan akhirnya nanti akan hancurlah...
Ya Allah ya Tuhanku... biarlah kita buka mata dan hati kita. Biarlah apa sahaja yang kita mahu lakukan di dunia ini, kita lakukan di atas nama Tuhan kita, Allah SWT, tidak bertuhan pada yang lain. Tiada kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah SWT.
Wassalam.
