Sekadar hiasan
Salam
Semalam saya sibuk kerana tiba-tiba sahaja ibu saya tak sihat. Kalutlah juga, sebab saya terpaksa bergegas ke klinik. Alhamdulillah, ibu saya tak apa-apa, mungkin perut dia masuk angin (maklumlah berpuasa), jadi angin tu buat dia sesak dada. Sekarang ni ibu saya dah okey. Adik-adik saya pun kelam-kabut datang dari Gombak. Semalam juga saya telah rancang untuk sediakan makanan untuk surau dekat rumah saya, jadi bertambahlah sibuk. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
Hari ini, kami kesibukan sekali lagi kerana ramai ahli keluarga yang akan datang berbuka puasa dengan kami semua. Insya-Allah, rakan-rakan Yemen yang belajar di sini juga akan berbuka puasa dengan kami. Hari ini menunya ialah beriani kambing (suami saya yang akan masak - dibantu oleh saya dan adik). Ibu saya (walaupun semalam tak sihat, hari ini dah bersemangat untuk masak) sedang menyediakan 'mahsyi' ia itu sejenis masakan Arab (daging cincang disalut dengan sayuran seperti kubis, timun dan terung). Pencuci mulut pula akan ditaja oleh adik-adik ipar saya (pelbagailah agaknya). Yang menariknya, kami semua akan berkumpul dan tentunya mengingatkan kami di zaman kanak-kanak yang pernah kami lalui bertahun-tahun yang lalu.
Mungkin anda juga begitu, kan? Bila hujung minggu, tentu ada perancangan untuk berkumpul dengan ahli keluarga di bulan Ramadhan yang mulia. Kalau anda mempunyai ibu dan ayah yang sudah berusia, memang eloklah pergi melawat mereka. Kehadiran anak-anak dan cucu-cucu tentunya akan menyeronokkan mereka. Kadang-kadang memang penat bila orang datang ke rumah kita, tetapi keseronokan yang akan wujud nanti mampu melupakan segala rasa penat yang ada. Biasanya bila sanak-saudara saya rancang untuk berkumpul, saya akan tanya dulu apa yang mereka rancang nak bawa (kalau adalah) supaya saya akan sediakan yang lain-lain, supaya tidaklah nanti terlalu banyak makanan yang disediakan.
Semoga anda sekelian bergembira sambil beribadah di bulan yang mulia.
Wassalam.