Assalam
Saya tak tahulah anda semua, tapi mungkin normal kot kalau kita tanya diri sendiri sama ada kita cukup Islam atau pun tidak. Kalau selalu buat benda yang bertentangan dengan ajaran Islam, pasti lagi banyak yang kita soalkan pada diri sendiri, betul tak? Atau mungkin kita tak kisah pun. Lantaklah... cukup Islam atau tidak tak penting pun, janji orang luar ingat kita Islam. Mungkin kita juga terlupa yang apa yang tersorok dan tersirat dalam hati itulah yang jauh lagi penting daripada apa yang kita hendak orang lain fikirkan tentang kita melalui apa yang kita pakai.
Memang biasa kita lihat orang yang beria-ia pakai kelengkapan yang membayangkan dia sangat alim atau warak. Kalau wanita Islam, lagilah biasa macam tu. Ada tu beria-ia pakai tudung labuh tapi tidak kisah tentang kebersihan. Sanggup buang sampah sana sini. Serupa juga dengan mamat yang siap berserban, tapi rupa-rupanya kaki ganja. Orang makan ganja dengan orang minum arak, memang tak banyak beza pun. Begitu juga dengan orang yang kaki judi. Tarafnya sama saja... lebih kurang statusnya. Sama juga dengan orang yang makan benda haram macam makan babi atau serupa dengannya. Misalnya makan rasuah. Malah, makan rasuah itu mungkin kedudukannya lagi teruk kot... kerana melibatkan orang lain sama, termasuk melibatkan negara, bangsa dan pastinya imej agama.
Biasakan kita lihat wanita yang bekerja di pejabat, terutamanya di badan-badan kerajaan atau syarikat swasta yang besar? Mereka berbaju sopan dan memakai tudung. Begitulah kebanyakannya. Alhamdulillah kalau pakaian mereka melambangkan akhlak mereka yang sebenar.
Tapi... ada juga wanita yang beria-ia pakai tudung dan buat-buat macam warak, tetapi di luar pejabat, mereka sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk! Ada tu, mereka lelong badan dengan harga yang murah di luar waktu pejabat, janji badan mereka itu digunapakai oleh orang lain... terutamanya lelaki. Tetapi bila di tempat kerja, mereka berlagak sopan. Konon-konon merekalah wanita Melayu yang terakhir. Nauzubillah minzalik. Saya bukan buat cerita dogeng, tetapi hanya mahu berkongsi satu realiti yang mungkin terjadi di depan kita, di belakang kita, dalam keluarga kita atau di mana-mana sahaja. Kadang-kadang kita tak sedar pun yang kita sedang berkawan dengan orang yang seperti itu! Atau mungkin.... kita yang macam tu? Nauzubillah, minta disimpangkan.
Islamkah kita kalau sekadar pandai berkata-kata aku Islam, tetapi hati kita tak pernah jujur pada Allah? Kita sukat orang lain di luar sana, konon-konon mereka pakai seksi atau tunjukkan aurat, tetapi kita yang berkelumbung ini tak punyai akhlak dan hati budi yang tinggi. Kerja kita hanya suka mencaci, merendah-rendahkan orang lain, terutama mereka yang tidak sama imam dengan kita. Sedangkan pada realitinya, tak kisahlah imam kita siapa, tapi kita tak jalankan tanggungjawab kita sebagai mana yang dituntut, sekadar pandai memperdayakan orang lain dengan lagak dan pakaian sahaja! Nauzubillah min zalik.
Sudah Islamkah kita ini? In syaa Allah kita jadi orang Islam yang baik kalau kita pastikan hati kita bersih, bukan sekadar berlakon baik sahaja, kerana lakonan hanya ditontoni orang di luar, tetapi Allah swt tahu apa yang ada di dalam hati kita.
Jangan takut dengan musibah kerana musibah itu datang dari Allah swt dan datangnya juga dengan hikmah. Tetapi takutlah kalau kita tidak mahu dekatkan diri dengan Allah swt, sekadar menjadi manusia plastik yang pura-pura soleh atau solehah. Takutlah kalau Islam kita hanya luaran sahaja tetapi tidak ada di dalam hati.
Wassalam.