Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, February 11, 2010

Sang Gajah Oh Sang Gajah!



Pagi ini saya hendak bercerita tentang Sang gajah yang tinggal di sebuah hutan. Buat sekian lamanya, sang gajahlah merupakan ketua di hutan itu. Maklumlah, badannya besar, kakinya besar, ada belalai lagi... ada gading lagi, dah tu suaranya memang kuat. Maklumlah, gajah!

Sang gajah pun melaungkan suaranya yang kuat itu, "Wahai haiwan-haiwan lain yang berada di hutan tropika ini. Ingatlah semua... akulah yang terbesar sekali di hutan ini. Kamu semua kecil dan tak kuat macam aku. Kamu tak ada kuasa macam aku. Kamu tak besar dan dan tegap macam aku. Sebab itu... akulah yang jadi 'leader' kamu semua. Aku lead kamu, kamu ikut saja. Kalau kamu tak dengar cakap aku, aku akan pijak kamu! Kalau rasa susah, tinggalkan saja hutan ini. Kamu memang payah nak hidup pun!" Dengan bangga dan megahnya sang gajah menakut-nakutkan binatang lain yang berada di hutan tropika itu. Tentulah yang kecil-kecil seperti arnab, rusa, tupai, monyet, siamang, termasuk juga harimau, berasa gerun dengan sang gajah. Suaranya sahaja sudah menggentarkan mereka semua.

Sang kancil dan sang kijang pun bersembang-sembang. Kata Sang kijang,"Dengar tak tu? macam mana kita nak hidup dalam hutan ini? matilah kita. Gajah memang tak suka dengan kita ni. Nanti dipijak-pijaknya kita, matilah. Kamu yang akan mati cepat sekali, kancil. Kamu yang kecil sekali. Kalau gajah pijak kamu, memang sah kamu akan mati. Penyek!"

Sang Kancil termenung buat seketika. "Tapi... aku percaya pada kuasa Tuhan. Allah SWT yang jadikan aku dalam hutan ni. Tentu aku boleh hidup dan tentu aku akan selamat. Gajah bolehlah takut-takutkan kita semua, tetapi hidup dan mati kita ditentukan Tuhan. Rezeki kita pun ditentukan Tuhan. Biar kita kecil, tapi akal kita sama saja. Kalau kita fikir betul-betul, apa saja kita boleh buat di hutan ni. Lagi pun, sang kijang... Tuhan tak suka pada makhluk yang sombong. Kalau sombong, itu bererti kita berasakan yang diri kita berkuasa. Dalam dunia ini, Tuhan yang berkuasa, bukan kita!"

Kijang terpinga-pinga. Percaya dengan tak percaya sahaja. Dia masih berasakan yang kata-kata gajah itu ada kebenaran.Dia masih berasa takut kerana memang gajah nampak besar pun.

Sang kancil teruskan kehidupannya di hutan itu. Walaupun kecil, tetapi dia tetap bijak. Macam-macam yang dilakukan di hutan itu untuk membuka mata semua binatang-binatang yang lain. Dia penuh dengan idea baru dan sekalipun kecil, kancil berani mencuba sesuatu yang baru.Dia tidak jemu pergi ke merata-rata tempat untuk membawa kemajuan kepada hutan. Akhirnya, semua binatang di hutan mula terpengaruh dan terpesona dengan kebijaksanaan kancil. Masing-masing suka berdampingan dengannya kerana mereka terasa bijak juga.

Suatu pagi, apabila gajah bangun dari tidur, dia tersedar yang sudah tiada binatang di hutan itu yang gentar dengannya lagi. Si harimau sudah berani menggigit kakinya semalam dan gajah tak dapat memijaknya. Malah, sang monyet memanjat kepalanya dan dia terkapai-kapai, tak dapat berbuat apa-apa lagi. Gajah mula sedar yang sekalipun dia besar dan gagah, namun sang kancil yang kecil semakin popular di hutan. Terpaksalah gajah menerima hakikat yang dirinya bukanlah 'leader' sebenarnya. Siapa-siapa pun boleh jadi leader. Suka tak suka terpaksalah gajah akur dengan kenyataan.

"Okeylah kancil... walaupun aku kata aku'leader', aku terpaksa terima hakikat yang aku terpaksa ikut cara kamu. Aku terpaksa copycat cara kamu. Sebab nampaknya, makhluk dalam hutan ini lebih suka cara kamu. Mungkin 'trendy' dan berkualiti. Mulai sekarang, aku nak ikut kamu... walaupun aku tetap dengan pendirian aku yang aku masih 'leader'. Badan aku kan besar, malulah kalau aku nak kata pada haiwan-haiwan lain yang aku terpaksa ikut cara kamu!"

Hehehe... sang kancil tergelak. Sang kijang berada di sebelahnya."Kan aku dah kata dah... dunia ini bukan dia yang punya. Tak kira besar atau kecil, kalau kita usahakan, kecil macam aku pun boleh hidup. Tak payahlah kita takut-takutkan makhluk lain. Takut pada Tuhan." Sang kancil tersengih-sengih.