Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, May 31, 2007

SAMAN

"Saman?" soal saya.
"Bunyi macam tajuk novel, kan? Tapi bukan. Ini saman yang betul-betul." Katanya.
"Kenapa sampai nak saman?" Saya bertanya.
"Penerbit saya enggan bayar royalti seperti yang dijanjikan. Perjanjian dah ditandatangani, buku pun dah dijual. Tapi bila saya tanya tentang duit royalti selepas tempoh bayaran itu berlalu, pihak penerbit kata, 'negatif'. Tentu saya tak puas hati. Mana boleh macam tu. Jadi sekarang ni saya sedang ambil tindakan untuk membawa mereka ke mahkamah." Kata rakan penulis itu.
"Bagus. Puan patut buat begitu. Mana boleh dibiarkan." Kata saya lagi, terus teringat kepada artikel yang ditulis Puan Salbiah Hani dari Berita Harian sekitar seminggu dua yang lepas. Puan Salbiah mengatakan bahawa banyak penulis dianiayai oleh penerbit mereka dengan pelbagai cara. Tentu sekali perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan.
Namun paling menarik bila saya juga mendapat panggilan daripada seorang teman penulis yang agak rapat juga dengan saya. Katanya, "Saya sedang berunding dengan peguam saya untuk menyaman beberapa orang yang terlibat 'mengaibkan' saya di laman blog mereka."
"Hal Internet?" saya bertanya.
"Betul tu. Ingat tak... kes yang pernah saya cerita dulu tu?" dia berbicara lagi.
Tentu saya tidak pernah lupa akan hal itu yang terjadi pada tahun lepas. Heboh perkara itu dibicarakan sana sini. Rakan penulis itu bukan hanya mendapat kritikan teruk tentang bukunya tetapi dirinya juga turut diaibkan. Berbulan-bulan dia berdepan dengan keadaan yang menekankan hinggakan dia tidak dapat menulis lagi.
"Peguam saya kata, saya boleh ambil tindakan kerana apa yang berlaku telah menjejaskan kerjaya saya sebagai penulis profesional."
"Tahu siapa yang menulis dalam blog itu?" soal saya lagi.
"Pada mula dulu, kami tidak pasti. Saya syak itu dan ini. Tapi sekarang kami dah tahu siapa dalangnya. Ada bukti. Sekarang ini, bukan susah nak dapat bukti pun. Orang yang melakukannya itu bukan seorang." Dia memberitahu.
"Ada lagi bukti yang menunjukkan mereka sengaja mahu menjatuhkan maruah dan juga kerjaya, Puan?" soal saya lagi macam seorang pegawai polis.
"Mereka telah sengaja menyebarkan tentang alamat blog itu dan meminta semua orang melayari dan melihat apa yang mereka tulis tentang buku-buku saya dan diri saya di blog mereka itu. Memang satu perbuatan yang zalim. Bukan hanya mereka mahu menjatuhkan saya sebagai penulis, mereka juga sengaja mahu mengaibkan saya."
Saya tahu tindakan kawan saya itu tepat. Kalau perkara seperti itu terjadi kepada saya, saya juga akan mengambil tindakan yang sama. Sebarang kritikan kalau mahu dilakukan oleh sesiapapun, biarlah sekadar mengkritik buku sahaja, dan kalau boleh biarlah beri kritikan yang membina, bukan dengan niat mahu memusnahkan kerjaya dan imej seseorang itu. Tentu sekali perbuatan mereka yang mengendalikan blog itu satu perbuatan jenayah. Tentu juga satu perbuatan yang tidak 'Islamik'.
Sekalipun mereka tidak senang dengan cara penulisannya, mereka sebenarnya tiada hak untuk menghina rakan penulis itu. Paling malang kerana mereka yang terlibat dalam perbuatan ini merupakan mereka yang terlibat dalam dunia penulisan juga. Tentu sekali kawan saya itu mempunyai 'kes' kerana nyata sekali tujuan mereka melakukan perbuatan terkutuk itu adalah kerana mereka mahu menjatuhkan rakan saya yang juga seorang penulis dan mungkin juga mahu menconteng arang pada penerbit yang menerbitkan bukunya. Tentu sekali niat mereka bukan niat yang membangun.
"Apa akan terjadi kalau blog itu dihapuskan mereka kerana takut?" soal saya lagi, ingin tahu.
"Tak ada hal. Kes ini sudahpun menjadi kes polis. Mereka sudahpun mengambil maklumat yang berkaitan. Malah, kes ini di bawah penguasaan Bukit Aman." Jawab rakan saya lagi.
"Tak sangka, ya..." saya mengeluh. Aduh... memang macam tak percaya bila rakan saya menyebut nama-nama mereka yang terlibat. Mungkin orang lain juga seperti saya, tak akan percaya dengan maklumat yang saya perolehi itu. Namun, kerana ini merupakan satu kes yang sedang dalam penyiasatan lagi, saya tidak mahu memanjangkannya. Semoga rakan saya itu berjaya dalam 'kes' ini. Saya doakan agar hatinya juga akan terubat nanti. Hanya Tuhan yang tahu betapa perbuatan orang-orang yang tidak bertanggungjawab itu telah memusnahkan semangatnya sebagai seorang penulis!