Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, October 18, 2013

Rasa Diri Dizalimi

Assalam

Saya sibuk menulis, tapi bukan manuskrip novel. Saya sibuk siapkan beberapa proposal untuk drama TV dan juga skrip drama. Novel yang mana satu, saya tak boleh nak cakap lagi... kena tunggu.

Apa pun, hari ini saya kesibukan lagi sebab saya ada urusan di Kuala Lumpur. Jadi, tak dapatlah nak fokus pada penulisan sahaja.

Kebetulan, semalam saya sempat membaca. Macam biasalah, walaupun sibuk menulis, saya tak boleh terlepas daripada membaca. Saya membaca tentang kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. yang pernah berpesan agar umatnya tidak cuba melakukan ibadah yang keterlaluan hingga tak mampu menanggungnya. Misalnya, tak perlu menghatam al-Quran setiap tiga hari, atau berpuasa lebih daripada selang sehari sepanjang tahun. Malah, baginda berpesan agar umatnya tidak cuba menandingi ibadah beliau kerana baginda adalah seorang Rasul dan segalanya adalah rahsia Allah SWT.

Cuba kita melihat pada diri kita, memang terlalu ramai yang mahu mengikut sunnah Nabi, namun ramai yang gagal kerana mungkin niat itu tidak tepat, sekadar ikut-ikutan sahaja. Seelok-eloknya, kalau kita mahu mengikut sunnah Nabi, buatlah apa yang kita mampu lakukan dan tidak lebih daripada itu, jangan kita cuba bersaing dengan kekasih Allah SWT yang teristimewa itu kerana betapa sekali kita rasa hebat, tak mungkin kita mampu melakukan apa sahaja yang baginda lakukan. Masya-Allah.

Ada di antara kita pasti tertanya-tanya, mengapakah dirinya terasa seperti dizalimi. Mungkin agaknya diri itu terlupa kerana dia juga pernah menzalimi orang lain sebelum terasa dirinya dizalimi. Subhanallah.

Sebaik-baiknya, kita bersangka baik pada Allah SWT kerana agama Islam tidak pernah menzalimi umatnya, tetapi manusia itu yang selalu berlaku zalim, dengan sengaja atau tidak. Allah menduga kita dengan ujian yang berpatutan dengan kesanggupan kita, namun kadang-kadang manusia itu yang lupa daratan. Terlalu banyak kepentingan dirinya sendiri hingga tidak kisah hati orang lain yang disakitinya. Allah SWT tidak suka kita menyakiti hati orang lain, termasuk jiran tetangga, rakan-rakan, ahli keluarga dan semua orang yang ada kaitan dengan kita. Biarlah kita jadi manusia yang celik mata dan hatinya, tidak sengaja membutakannya.

Wallahuaklam.