Assalam
Semalam, kami sibuk melayan si kecil Syed Tawfiq, walaupun baru setahun tetapi sudah faham yang dirinya sedang diraikan. Siap bertepuk-tepuk tangan dia kerana seronok sangat. Alhamdulillah.
Pagi tadi, kami bersembang-sembang di meja makan sambil bersarapan. Irfan yang memaklumkan kepada kami tentang satu laporan 'real estate' atau 'hartanah' di Malaysia. Rata-rata harga rumah naik melambung tinggi, sedangkan pendapatan bulanan setiap keluarga tidaklah tinggi mana. Paling teruk ialah di Kuala Lumpur, walaupun jumlah everage pendapatan sekeluarga ialah sekitar RM10,000, namun harga rumah mampu milik ialah sekitar RM815,000. Tinggi tu! Maknanya kalau anda tinggal di Kuala Lumpur tetapi pendapatan satu keluarga ialah kurang dari RM10,000 anda sedang berada dalam keadaan yang sempit dan meruncing. Kalau belum ada rumah, mungkin tak mampu nak beli di KL. Sekadar menyewa sahaja.
Di luar Kuala Lumpur pula, misalnya di Negeri Sembilan, purata pendapatan keluarga ialah RM4,000 dan harga rumah mampu milik ialah RM 350,000. Bermakna kalau pendapatan anda lebih daripada itu, anda hidup sangat selesa apatah lagi harga rumah agak berpatutan. Jangan lupa, kedudukan Negeri Sembilan terutama beberapa bandar dan pekan tidaklah jauh dari Kuala Lumpur. Jadi... fikir-fikirkanlah.
Negeri seperti Kelantan dan Sabah, rata-rata pendapatan sekeluarga sangat rendah. Walaupun mungkin harga rumah tidaklah terlalu tinggi, namun rata-rata kadar kemiskinan juga tinggi.
Namun kalau anda merupakan seorang yang bijak, anda akan mampu untuk mengaturkan kehidupan anda mengikut pilihan tempat tinggal dan juga pekerjaan yang anda lakukan. Jangan sampai terperangkap dan terjerat kerana ingin berada di tempat yang kelihatan sofistikated atau 'up market'! Kalau anda tak mampu, jauh lagi baik kalau anda pilih tempat yang bersesuaian dengan pendapatan anda sekeluarga. Biar hidup selesa, jangan biarkan hidup sengsara.
Lagipun jangan lupa, kalau anda mahukan satu kehidupan yang jauh lagi sihat, pilihlah tempat yang lebih banyak kehijauannya, bukan yang dipenuhi dengan hiasan konkrit!
Wassalam.
Aman damai penuh kehijauan


